Proses kehamilan dan melahirkan anak sememangnya menjadikan seseorang wanita itu cukup sempurna kejadiannya.
Pun begitu, proses ini tentu sekali mengubah penampilan fizikal kita. Contohnya perubahan bentuk badan, kesan regangan kulit, saiz payudara yang membesar dan kondisi vagina selepas bersalin.
Buat pasangan berkahwin, vagina merupakan aset yang sangat penting untuk suami. Tapi beberapa perubahan Miss V ini adalah hakikat yang mesti pasangan anda terima selepas ia melalui trauma bersalin yang menyakitkan.
(a) Perubahan Warna
Warna Miss V anak gadis dengan wanita yang pernah melahirkan anak tentu sekali jauh berbeza. Hal ini disebabkan luka atau regangan kulit pada kawasan tersebut sewaktu bersalin. Anda akan dapat melihat perubahan warna yang ketara di bahagian vulva vagina dan juga labia yang berubah kehitaman.
(b) Lebih lebar dan longgar
Tidak perlu mempertikaikan mengapa Miss V isteri tidak seketat dahulu. Proses melahirkan anak bukanlah proses yang mudah, malah kesakitannya bersamaan 20 tulang yang dipatahkan serentak.
Apabila mengeluarkan bayi dari dalam perut melalui vagina tentu akan menyebabkan ia melebar. Otot-otot di kawasan itu juga turut longgar. Namun ia akan beransur-ansur sempit semula selepas setahun melahirkan, jadi kerapkan berlatih senaman Kegel untuk menguatkan lantai pelvis.
(c) Terasa ngilu
Ramai wanita yang mengeluh tentang rasa ngilu ini. Ia berlaku disebabkan kesan luka episiotomi iaitu potongan yang dilakukan di kawasan perineum agar bukaan lebih luas untuk bayi keluar. DIsebabkan itu, proses berpantang amat penting untuk penyembuhan vagina namun ia masih boleh menyebabkan ngilu sewaktu sesi bersama.
(d) Kekeringan vagina
Selepas melahirkan, Miss V akan terasa kering disebabkan penurunan hormon estrogen dalam fasa penyusuan anak. Bantuan produk pelincir sangat penting untuk keselesaan pasangan ketika bersama, selain mengurangkan rasa pedih yang mungkin dialami.
(e) Pendarahan
Pendarahan ini mungkin berupa campuran darah, cecair di dalam vagina dan lendir yang sering disebut nifas. Darah yang keluar berasal daripada rahim dan tempoh pembersihan Miss V biasanya berlangsung selama 40 hari atau 6 minggu. Ia adalah normal dalam tempoh tersebut.
Demikianlah 5 perubahan yang biasanya terjadi pada vagina selepas melahirkan. Jangan tergesa-gesa membeli produk yang suka memperdayakan pengguna dengan kata-kata manis untuk mengembalikan rupa fizikal vagina kerana ini adalah lumrah seorang ibu. Semoga bermanfaat. Norzalina Mohd Alias