Setiap pasangan suami isteri tentunya memiliki cara yang tersendiri untuk menunjukkan kemesraan kepada pasangan. Ini dapat dilihat dan ditunjukkan dalam bentuk fizikal mahupun emosi.
Namun seiring dengan perubahan waktu, hubungan suami isteri boleh menjadi renggang serta tidak ‘sehangat’ seperti sebelumnya. Adakah hubungan anda dan pasangan sudah tidak rapat seperti dulu? Semak tanda-tanda berikut.
LEBIH PENTINGKAN KERJA MASING-MASING
Kalau selama ini anda dan pasangan hanya mementingkan kerja ini bermakna ada silap dalam hubungan. Dalam sebuah perkahwinan, suami dan isteri sememangnya memiliki peranan dan tanggungjawab masing-masing tetapi itu tidak bermakna perlu dilakukan sendiri-sendiri tanpa mempedulikan antara satu sama lain.
Ingat, anda dan pasangan adalah dua insan yang ada komitmen dalam perkahwinan. Cubalah berbincang dengan pasangan bagaimana penyelesaian terbaik. Jika dibiarkan berterusan akan menjadi masalah lebih besar dalam rumahtangga.
TIDAK TERBUKA DENGAN PASANGAN
Ketika membuat keputusan untuk bernikah, apa yang anda berdua harus belajar ialah tentang sikap keterbukaan yang menjadi kunci utama demi menjaga hubungan perkahwinan. Apa jua yang sedang anda rasakan terhadap pasangan sama ada positif atau negatif sebaiknya diluahkan dan dibincangkan bersama.
Menyimpan perasaan negatif boleh menjadi faktor munculnya berbagai masalah yang akhirnya menjadikan hubungan anda dan pasangan renggang. Jangan biarkan sikap ini merosakkan perkahwinan anda. Komunikasi yang baik, jujur dan terbuka menjadi salah satu cara penyelesaian masalah paling efektif dalam sesebuah hubungan. Maka, berterus teranglah dari sekarang.
MERASA PASANGAN TIDAK MEMAHAMI
Saling memahami dan mengerti adalah modal penting dalam hubungan suami isteri. Namun, jika anda mula merasakan pasangan tidak lagi memahami maka tanpa menunggu waktu yang lama pertengkaran akan muncul. Akhirnya, memberi kesan terhadap mood anda dalam menjalani hubungan. Kemungkinan aka nada jarak antara anda berdua termasuklah kurang tertarik untuk berhubungan intim seterusnya menjadi bosan.
Berkomunikasi dengan pasangan adalah penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan. Mungkin pasangan turut merasai apa yang anda rasa iaitu saling tidak memahami. Cubalah untuk terus belajar dan memahami cara berfikir pasangan anda untuk mencari kembali keintiman yang kian berkurangan kerana tidak saling memahami.
SEMAKIN JARANG BERGURAU SENDA
Hubungan suami isteri seperti senda gurau menjadi salah satu perkara utama dalam perkahwinan kerana ia memberi banyak manfaat baik secara fizikal mahupun emosi. Antara beberapa manfaatnya ialah mengukuhkan komitmen hubungan, meningkatkan harga diri, menjadikan tidur lebih nyenyak dan sebagainya.
TIDAK SALING MENDENGAR KETIKA BERTENGKAR
Pertengkaran dalam hubungan suami isteri merupakan perkara yang normal. Ini terjadi kerana masing-masing saling mempertahankan pendapat sendiri. Biasanya, ketika seseorang sedang marah ego yang dimilikinya akan semakin meninggi. Secara tidak sedar masing-masing mahu semuanya didengari dan dituruti. Jika kedua-duanya ego maka pertengkaran akan semakin besar.
Ini menunjukkan bahawa hubungan anda berdua sedang memasuki fasa krisis. Sedarlah, ia sama sekali tidak mendatangkan sebarang faedah untuk anda dan pasangan. Cubalah untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian dalam keadaan yang tenang agar perkahwinan anda kembali mesra dan erat.