5 Selebriti Hollywood Pencinta Sajian Salad. Cuba Resipi Salad Ini Untuk Kekal Langsing!

Salad sememangnya menjadi hidangan popular di kalangan mereka yang sedang berdiet. Juga, menjadi santapan kegemaran bagi kebanyakan para selebriti di dalam mahupun luar negara. Antaranya Beyonce, Madonna, Victoria Beckham, Megan Fox dan Katy Perry.

Menerusi laman web The Blonde Salad, Beyonce enggan mengambil makanan yang mengandungi protein daging tetapi lebih kepada pengambilan zat nutrisi sayur-sayuran untuk mengekalkan bentuk tubuh. Sementara Madonna pula mengamalkan diet macrobiotic yang bebas gandum, telur dan daging serta produk tenusu. Penyanyi evergreen ini dikatakan hanya menikmati sayur-sayuran marin seperti rumpai laut.

Bagi Victoria Beckham, meskipun mengamalkan pelbagai jenis diet namun yang paling digemarinya adalah diet alkali iaitu pengambilan makanan yang mengekalkan keseimbangan PH badan di antara 7.35 hingga 7.45. Agak complicated

, bukan? Caranya dengan menikmati sayur-sayuran, menyingkirkan pengambilan daging merah dan minum banyak air.

Bintang Transformers, Megan Fox pula mengakui selain aktif melakukan senaman, salah satu cara dia mengekalkan kesihatan dan kelangsingan tubuh adalah dengan mengambil lima sajian setiap hari yang mengandungi kombinasi air, vitamin dan protein yang dimasak dalam masa hanya lima minit.

Selain sayur-sayuran hijau yang dipraktikkan selebriti antarabangsa ini, Katy Perry juga mengambil diet yang berbeza iaitu dengan menikmati juadah cendawan. Menurutnya, dia hanya akan menikmati salad cendawan untuk hidangan makan tengah hari atau makan malam saja selama sekurang-kurangnya 14 hari.

SEAFOOD SALAD

Bahan-bahan seafood salad:

  • 1 ekor udang galah
  • 5 keping ikan salmon (dihiris)
  • ½ batang timun (dipotong dadu & halus)
  • 2 keping keju
  • 2 keping rumpai laut hitam
  • 2 ulas bawang putih

Bahan-bahan sos:

  • 1 biji buah lemon
  • 1 sudu teh minyak kacang soya
  • 1 sudu teh minyak kacang soya shoyu
  • ½ sudu teh minyak bijan
  • 50 gram gula
  • 10 gram bawang putih (diparut)
  • Garam

Cara membuat:

Rebus udang hingga separuh masak dan kemudian rendamkan ke dalam air sejuk untuk seketika. Buang kulit dan ambil isi udang dengan berhati-hati. Potong udang kepada kepingan berbentuk rama-rama. Lapiskan dengan rumpai laut dan letakkan ikan salmon yang siap dihiris bersama keju serta timun. Gulung kemas dan bungkus bahan-bahan tadi dengan pembalut plastik. Seterusnya, masukkan ke dalam peti sejuk selama 30 minit hingga sejam. Apabila sudah sebati dan mengeras, potong kepada bahagian kecil mengikut cita rasa. Untuk membuat sos, campurkan semua bahan dan kacau sebati. Perasakan dengan garam secukupnya. Siap untuk dihidang bersama seafood salad yang telah siap tadi.

SEAFOOD CITRUS SALAD

Bahan-bahan:

  • 3 ekor udang
  • 3 ekor sotong
  • 4 – 5 biji anggur
  • 1 biji buah oren
  • 1 batang zucchini kuning
  • 1 biji bawang besar
  • Sedikit timun jeruk
  • 1 batang saderi
  • 1 sudu teh cuka
  • 1 sudu teh lada hitam
  • Sos mustard
  • Minyak zaitun
  • Garam
  • Lada sulah

Cara membuat:

Celur udang dan sotong kemudian asingkan. Kupas kulit anggur dan oren. Ambil isinya sahaja. Anggur boleh dibelah dua dan oren dipotong ke bahagian kecil mengikut cita rasa. Hiris bawang, timun jeruk, saderi dan campurkan bersama dalam satu bekas. Bubuh garam, minyak zaitun, lada sulah dan cuka. Seterusnya, celur zucchini dan lapiskan bersama timun jeruk, saderi, bawang, anggur dan oren sebelum digulung kemas. Letakkan udang dan sotong di atas gulungan tadi dan diakhiri dengan buah zaitun yang dibelah dua. Cucuk dan kemaskan mengguna lidi. Jika mahu, hiaskan dengan daun salad dan nikmati bersama sos mustard.

Resipi: TERIMA KASIH EKSEKUTIF PEMASARAN HOLIDAY INN KUALA LUMPUR GLENMARIE, FAHMI MOHD FAUZI

 

Share
Published by
Suzi