Kata orang You Are What You Eat. So, apa sahaja yang kita makan akan terkesan pada tubuh. Kalau lebih pengambilan karbohidrat tapi tidak menyingkirkan kembali lebihan karbohidrat yang diperlukan oleh tubuh pasti akan menempel menjadi lemak yang tidak diingini. Sebenarnya dalam kehidupan ini perlu melakukan segala-galanya secara seimbang.
Kita mesti seimbang dalam pengambilan makanan untuk mendapat berat badan yang ideal. Raja Eliza Raja Razman, seorang PR Konsultant dan juga kerabat diraja Selangor ini turut bersetuju dengan pengambilan pemakanan seimbang demi mencapai gaya hidup yang sihat.
“Bagi mengamalkan gaya hidup sihat kita perlu tahu apa yang diperlukan oleh tubuh sendiri. Macam saya sendiri, mengamalkan diet protein iaitu hanya makan protein food sahaja. Kebanyakan pengambilan makanan saya lebih kepada ayam dan satur-sayuran sahaja. Daging merah pun saya tak berapa makan. Nasi memang saya tak sentuh langsung,” tuturnya.
Apabila diajukan pertanyaan kenapa beliau tidak makan nasi, jawabnya sambil tersenyum, “Sebenarnya memang sejak kecil lagi saya tak suka makan nasi. Ramai yang ingat saya menolak nasi kerana diet semata-mata, salah tanggap mereka itu. Sehingga ke hari ini sudah 5 tahun saya tidak sentuh nasi.
Saya mula tidak mengambil nasi apabila sedar nasi mengandungi kadar gula yang tinggi. Semua orang tahu kalau lebihan gula dalam darah akan mengundang penyakit diabetes. Lagipun saya seorang coffee lover. Setiap hari saya mesti ambil kopi. Minum kopi tanpa gula dan susu bagai tak lengkapkan? So, saya seimbangkan pengambilan gula dengan minum kopi tetapi tidak ambil nasi,” tutur wanita yang mudah mesra ini.
Walaupun Raja Eliza tidak mengamalkan pengambilan nasi dalam pemakanan sehariannya, namun, beliau seorang yang gemar memasak. Seronok melihat video masakan yang sering dikongsinya di laman Instagram. “Saya memang suka masak namun biasanya saya masak lauk-pauk Melayu ataupun masakan Barat untuk tetamu yang datang berkunjung ke rumah dan untuk hidangan anak tunggal saya,” jelas Raja Eliza.
Wanita yang berusia 35 tahun ini juga dilihat sangat konsisten bersenam demi menjalani gaya hidup sihat. “Secara jujurnya saya sudah lapan tahun konsisten bersenam. Bersenam ini sangat penting tidak kira buat wanita mahupun lelaki. Bagi pendapat saya sendiri bersenam ini wajib dilakukan kalau tidak badan akan jadi lembik dan tidak bermaya.
Saya sendiri akan mengikuti senaman di gym 3 kali seminggu. Di gym kita akan dipandu oleh mereka yang arif tentang senaman dan melakukan senaman dengan cara yang betul. Ramai juga yang bersenam tetapi dengan cara yang salah. Sangat penting untuk tahu cara bersenam dengan cara yang betul,” ujarnya.
Wanita ini bukan sahaja bersandarkan senaman yang dilakukan di gym malah turut melakukan senaman sendiri. “Saya memang suka curi-curi waktu untuk bersenam. Saya akan buat squat di mana sahaja mengikut keselasaan tempat dan masa. Biasanya ketika tengah mandi adalah masa yang paling praktikal untuk buat squat. Kadang-kadang jika saya sukar untuk tidur saya akan bangun daripada katil dan terus melakukan yoga. Lebih baik daripada berangan kan?” ungkap Raja Eliza sambil tertawa.
*kredit foto: Instagram @elizarazman