5 Tahun Menanti Zuriat, YNA SAKINAH Akhirnya Berjaya Hamil Walaupun Disahkan Rahim Terbalik

Sakinah Alfakhri atau Yna Sakinah, jurusolek profesional yang cukup dikenali di kalangan artis mahupun selebriti. Tahun lalu berita gembira tentang kehamilan anak pertamanya turut dikongsi di Instagram. Namun perkhabaran gembira itu hanya dikongsi oleh Yna setelah kandungannya memasuki usia lima bulan.

Bukan sekadar meluahkan keterujaannya yang bakal menimang cahayamata, apa yang paling menyentuh hati ialah bagaimana dia dan suami melalui detik-detik sukar untuk mendapatkan zuriat. Lebih-lebih lagi Yna disahkan mengalami rahim terbalik. Segala ikhtiar dilakukan, akhirnya doa mereka dimakbulkan.

LIMA TAHUN MENANTI ZURIAT

“Alhamdulillah hampir lima tahun saya dan suami menunggu. Inilah detik paling membahagiakan kami. Sebenarnya tahun pertama perkahwinan kami merancang untuk lakukan natural planning. Masuk tahun kedua kononnya dah ready sampailah masuk tahun ketiga kami dah mula tersedar. Hati saya mula terdetik “Eh tak ada rezeki lagi..”

Bohonglah kalau kata saya tak menangis, tak tertekan. Mujurlah suami seorang yang tenang. Kami mula berikhtiar. Namun saya faham perasaan suami yang terpaksa mencuba dan menanti dalam keadaan tanda tanya serta bimbang. Saya bersyukur kerana keluarga kami tak pernah bertanya malah mendesak untuk dapatkan zuriat.

Yna Sakinah ketika hamil.

Cuma rasa bimbang dan keinginan untuk memiliki zuriat tu sangat tinggi termasuk bagaimana rasanya menjadi seorang ibu, sakit bersalin dan macam-macam lagi. Masuk tahun keempat saya dah tak banyak fikir tentang hamil. Suami kerap bagi tazkirah agar saya lebih bersabar dan redha. Saya percaya terlalu tertekan dan badan penat juga antara punca.

Atas nasihat sahabat-sahabat, saya pergi buat pemeriksaan kesuburan. Alhamdulillah kami tiada masalah kesuburan namun saya disahkan mengalami Retroverted Uterus atau rahim terbalik. Namun menurut doktor saya masih boleh mengandung walaupun tanpa rawatan IUI atau IVF. Sedikit sebanyak ia melegakan perasaan saya. Ada suplemen dan cara tertentu yang perlu diamalkan. Sesetengah orang yang nak cepat mungkin akan terus buat IUI atau IVF. Tapi saya ambil keputusan untuk ikut prosedur normal.”

IKHTIAR PELBAGAI CARA

“Untuk kesuburan doktor bagi tempoh 60 hari untuk saya dan suami amalkan suplemen seperti minyak ikan, kalsium, magnesium, multivitamin, asid folik dan ubat hormon. Hubungan kelamin juga penting seeloknya 3 kali seminggu namun untuk kes saya (rahim terbalik) ada caranya.

Lepas tu kami checkup

lagi dengan doktor dan disahkan sihat. Doktor sarankan kami buat IUI tapi saya kata nak ikhtiar cara lain dulu. Kalau tak ada rezeki juga barulah saya proceed dengan IUI. Alhamdulillah saya disahkan hamil pada November 2018.
Bersama Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan Siti Aafiyah.

Saya turut ikhtiar cara rawatan Islam antaranya mengamalkan makanan dan minuman dengan surah-surah yang boleh saya amalkan termasuk mandian bunga yang dibacakan surah Ruqyah. Seterusnya saya amalkan minum air zam-zam.

Saya juga ada tukang urut peribadi yang memang pandai mengurut. Katanya urat saya bengkak dan bersimpul. Patutlah badan saya banyak angin dan mudah migrain. Tambah lagi wajah, tangan dan kaki juga pucat. Darah jadi tak lancar. Katanya dalaman tak cantik sebab tak dijaga dengan baik. Dalaman pun sejuk dan tak bagus untuk kesuburan.

Sebulan tiga kali saya mengurut. Kemudian jadi sebulan sekali. Ringannya badan…saya disuruh amalkan jamu. Mulanya saya cuba makan jamu yang diberi tapi tak serasi. Saya berhenti dan tukar kepada jamu Mutyara Beauty kerana kebetulan Tya Arifin bagi saya untuk cuba. Sedap sangat.

Saya amalkan 1 sudu pagi dan 1 sudu malam. Kesannya, hari pertama haid dari warna hitam dan berketul jadi merah dan cair. Senggugut pun makin kurang. Kitaran haid semakin teratur, keputihan makin kurang. Saya rasa lebih bertenaga.

Saya turut amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Lama-lama saya makin tenang sampailah disahkan hamil. Kesimpulannya, sebelum buat IUI atau IVF dalaman kita perlu sihat dulu.”

JANGAN PUTUS ASA

“Rezeki datang ketika kita mula redha di samping solat, doa, usaha dan tawakal. Amalkan juga sedekah kerana Allah SWT akan memberikan kita rezeki dengan pelbagai cara. Zuriat adalah rezeki paling nikmat.

Keluarga bahagia, Yna Sakinah bersama suami dan anak mereka, Aisyah yang kini berusia 2 tahun.

Dahulukan memberi kepada keluarga. Berehatlah secukupnya bagi yang terlalu kuat bekerja, luangkan masa bersama pasangan. Suami isteri perlu saling bekerjasama, bukan sebelah pihak saja.

Buat pasangan yang masih menanti semoga dengan izinNya segera dikurniakan zuriat, tepat pada waktunya. Sabar, usaha dan tawakal itu paling utama. Jangan putus asa. Apa pun semua berbalik kepada rezeki Allah SWT.”

Kredit Foto: Instagram Yna Sakinah

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad