Berada di dalam penerbangan adalah perkara yang disukai oleh ramai orang tapi bayangkan jika perlu duduk berjam-jam hingga tiba ke tempat yang dituju, pasti tak selesa bukan?
Oleh sebab itu, anda haruslah memakai pakaian yang paling selesa apabila berada di dalam perjalanan untuk mendapatkan pengalaman yang lebih baik.
Jom Nona kongsikan tip fesyen untuk berasa selesa dan bergaya semasa dalam penerbangan.
(a) ELAK PAKAI PAKAIAN YANG TERLALU KETAT
Anda digalakkan untuk memilih pakaian yang agak longgar untuk memastikan anda selesa dan senang untuk bergerak. Pakaian-pakaian ini tidak perlulah kelihatan terlalu besar. Satu langkah yang boleh diambil untuk menguji kesesuaiannya ialah mencuba pakaian yang dipilih itu, dan bayangkan anda sedang duduk di dalam penerbangan. Jika anda berasa selesa, anda boleh terus memakainya.
(b) PILIH RONA-RONA YANG NEUTRAL
Gabungan rona neutral yang elegan dan bergaya kelihatan lebih cantik berbanding warna-warna terang dan berani. Lebih-lebih lagi apabila anda tidak mempunyai ekspresi gembira untuk dipadankan dengannya akibat tempoh penerbangan yang sangat panjang. Pilihlah warna neutral apabila anda berada dalam penerbangan kerana rona ini adalah lebih mudah untuk dipadankan dan tidak terlalu menonjol.
(c) PILIHAN AKSESORI
Pilihlah aksesori yang senang ditanggalkan dan cuba untuk hanya memakai aksesori yang berguna seperti jam tangan. Lupakan tentang trend memakai barang kemas untuk sementara waktu. Anda boleh berbuat demikian setelah sampai di tempat yang dituju. Untuk tempoh penerbangan, pakailah aksesori seminima yang mungkin.
(d) KENAKAN BEBERAPA LAPISAN
Pastikan anda mengenakan beberapa lapisan di atas pakaian anda kerana suhu di dalam penerbangan boleh menjadi sangat sejuk. Anda tidak disarankan untuk memakai baju panas yang tebal dan besar kerana anda mungkin menuju ke destinasi yang mempunyai cuaca yang panas. Dengan mengenakan lapisan lain di atas pakaian anda, anda boleh menanggalkannya dengan mudah.
(e) MENGENAKAN PAKAIAN YANG RINGKAS
Pilihlah pakaian yang ringkas agar anda berasa lebih selesa dan memudahkan pergerakan anda. Pakaian yang ringkas tanpa perhiasan dan sehelai seluar paling selesa yang anda miliki dapat memberi keselesaan yang tiada tara. Ini merupakan pilihan yang sesuai dan amat bijak sebagai pakaian semasa dalam penerbangan.
This website uses cookies.