Sejak dahulu lagi, wanita telah memanfaatkan khasiat lemon yang kaya vitamin C untuk kecantikan dan kesihatan kulit.
Tapi selain aromanya yang segar dan sering dijadikan perisa minuman atau makanan, lemon juga mempunyai kegunaan lain yang jarang diketahui orang.
Terkenal sebagai sejenis buah serbaguna, semak 6 petua menggunakan lemon ini yang boleh anda praktikkan di rumah.
(1) Menghilangkan bau kasut
Adakah kasut sukan atau kasut kerja suami anda berbau busuk? Atasinya dengan kulit lemon. Simpan kulit lemon di dalam kasut selama semalaman dan esok pasti bau menyengat itu hilang.
(2) Mengharumkan rumah
Jimatkan duit dengan membuat sendiri pewangi lemon ini di rumah. Caranya, kupas kulit lemon dan campurkan dengan cuka. Simpan campuran ini dalam botol penyembur kosong dan semburlah ke ruangan kesukaan anda. Segarnya aroma!
(3) Mengatasi cela dan mencerahkan muka
Tak sempat buat facial? Gunakan lemon kerana ia bersifat antibakteria dan boleh merawat akne. Cuma hiris lemon dan perahkan jusnya. Ratakan jus tersebut atau gosok buah lemon terus ke serata kulit muka, lalu bilas dengan air. Cela akan pudar dan kulit akan nampak lebih cerah.
(4) Memutihkan ketiak
Masalah ketiak hitam memang memalukan wanita. Cuba petua ini, gosok lemon sebelum atau ketika mandi selama beberapa minit. Kemudian selepas dibilas, oles losen bagi mengelakkan kekeringan kulit. Amalkan 7 hari berturut-turut untuk melihat hasilnya. Awas, jangan lakukan jika ada luka cukuran ya, pedih!
(5) Memutihkan pakaian
Selain menggunakan peluntur pakaian, anda juga boleh mengekalkan keputihan baju sekolah anak-anak dengan lemon. Rendam cucian dalam baking soda yang dicampur dengan jus lemon selama 30 minit. Kemudian bilas seperti biasa dan cuci baju-baju putih itu seperti biasa.
(6) Mengusir serangga dan nyamuk
Untuk mencegah semut berkerumun di rumah, sembur jus lemon di celah-celah pintu atau lubang semut keluar masuk. Sementara untuk mengusir nyamuk pula, belah lemon kepada dua, lalu cucukkan cengkih di atasnya. Letakkan di sekitar atau penjuru bilik yang bernyamuk. Gabungan aroma lemon dan cengkih boleh menghalau nyamuk secara semula jadi. Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.