Setiap wanita pasti ingin kekal sihat dan cantik. Lebih-lebih lagi yang sudah berkahwin. Kurus atau berisi bukan masalah utama kerana apa yang penting sihat serta bebas dari sebarang penyakit. 6 selebriti cantik ini memilih untuk kekal kurus dan sihat.
Che Puan Sarimah Ibrahim dan Fasha Sandha memilih untuk workout serta menjaga pemakanan untuk kekal langsing. Manakala Datin Alyah, Datuk Aishah, Lufya Omar dan Melly Goeslaw pula memilih prosedur bariatrik atas faktor kesihatan sekaligus mengekalkan berat badan ideal.
CHE PUAN SARIMAH IBRAHIM
Pelakon dan penyanyi berketurunan Melayu-Ireland, Che Puan Sarimah Ibrahim kini makin langsing dan cantik persis anak dara. Walau usianya kini mencecah 44 tahun tetapi isteri Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar ini pandai jaga badan. CP Sarimah dikurniakan seorang puteri, Tunku Sofia Najihah yang kini berusia tiga tahun.
“Tiada istilah diet bagi saya sebab tak perlu pun kalau kita pandai jaga makan. Asalkan kerap tetapi sedikit. Banyak minum air kosong jangan air gula, tidur paling kurang enam jam dan sentiasa bergerak. Jangan duduk lama-lama nanti sakit belakang.
“Berat badan saya pernah cecah 73kg semasa hamil. Paling kurus 58kg. Kalau kurang lagi, saya akan nampak macam sakit. Yang penting bukan berat tapi komposisi badan kita sepenuhnya,” kongsi CP Sarimah.
DATIN ALYAH
Sebelum ini, ramai yang tahu berat badan penyanyi dan usahawan, Datin Alyah pernah mencecah sehingga 68kg dan menghidap pelbagai penyakit termasuk gastrik. Pelantun lagu ‘Sesal Separuh Nyawa’ ini juga dikatakan pernah menolak tawaran nyanyian disebabkan masalah ‘semput’ sehingga menjejaskan persembahannya.
Datin Alyah, 42, mendedahkan pernah melakukan pembedahan bariatrik atau pintasan usus pada Mac 2022. Alyah menjalani prosedur bariatrik atas faktor kesihatan. Menurut isteri Datuk Ramli MS ini, tiada apa yang perlu dimalukan jika seseorang mengambil keputusan melakukan pembedahan bariatrik kerana hanya diri sendiri yang tahu betapa seksanya menanggung kesakitan.
Datin Alyah atau nama lengkapnya Noor Hasliah Abu Hasan pernah dimasukkan ke hospital gara-gara mengalami gastrik yang teruk. Maka, beliau memilih prosedur itu atas faktor kesihatan.
FASHA SANDHA
Menerusi perkongsian di Instagram baru-baru ini, aktres jelita Fasha Sandha menjadi bualan warganet apabila memuat naik sebuah foto bersama suaminya yang juga pelakon, Aidil Aziz. Rata-rata warganet memberikan pelbagai reaksi di ruangan komen. Namun, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan membalas komen-komen itu dengan berhemah.
Akui genetik punca lambat kurus, Fasha Sandha mendedahkan kejayaannya mencapai berat badan ideal mengikut kadar Indeks Jisim Tubuh (BMI) dengan workout
secara konsisten setiap hari dan tak sentuh nasi 2 minggu.“Alhamdulillah tak makan nasi dua minggu dan hari-hari workout. Berat turun 3.8kg. Saya enggan menggunakan jalan pintas untuk kurus atau mendapat hasil yang cepat dan mudah. Alhamdulillah saya berjaya turunkan berat 10kg,” luah ibu tiga anak ini.
DATUK AISYAH
Penyanyi lagu ‘Janji Manismu’ ini pernah mencuba pelbagai usaha bagi menurunkan berat badan yang selama ini menjejaskan tenaga serta menurunkan tahap kesihatannya. Namun, segala usaha itu tidak menunjukkan perubahan termasuk bersenam yang akhirnya memberi kesan terhadap lututnya.
“Saya sudah cuba semua cara, tetapi turun sikit kemudian naik semula. Pernah dalam tempoh sebulan berat saya tak turun pun walau satu kilogram. Saya putus asa kerana lutut semakin sakit,” katanya.
Akhirnya, ibu kepada dua anak ini memutuskan untuk menjalani prosedur dengan saranan doktor. Datuk Aishah membuat pembedahan bariatrik pada 2018 dan berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 33kg dalam tempoh dua tahun.
LUFYA OMAR
Penyanyi dan pelakon Lufya Omar mendedahkan dia melakukan pembedahan bariatrik selepas berat badannya mencecah 85kg. Pelakon berusia 37 tahun ini nekad melakukan pembedahan pada November 2021 setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk diet dan bersenam.
Kata pemilik nama Lutfyah Sheikh Omar ini, dia sudah merujuk dengan ulama bagi mendapatkan kepastian. Katanya, pembedahan itu dibenarkan dalam Islam asalkan niat untuk kepentingan kesihatan.
MELLY GOESLAW
Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw kian langsing setelah menjalani pembedahan gastrik atau bariatrik. Pelantun lagu ‘Maybe’ ini dikatakan mengambil langkah drastik ini untuk menurunkan berat badan yang telah gagal diusahakannya selama 12 tahun.
Memetik perkongsian Melly Goeslaw dalam podcast bersama Melaney Ricardo baru-baru ini, dia kini hanya boleh makan satu sudu besar nasi atau makanan dan terus merasa kenyang. Menurutnya, satu sudu nasi itu perlu dihabiskan dengan mengunyah secara perlahan-lahan dan lama.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.