Cantiknya tema bunga-bungaan ni. Nampak elegan dan mewah! Menghadirkan tema bunga-bungaan atau floral pada interior rumah dapat mencetuskan suasana sejuk, segar dan feminin. Untuk menerapkannya tak semestinya perlu memasukkan tumbuhan hidup mahupun palsu tetapi juga boleh diadunkan dengan motif mahupun aksen bunga-bungaan segar.
Berikut bagaimana untuk mengaplikasikan tema bunga-bungaan dalam beberapa trik mudah. Ia pasti menyenangkan jiwa saat anda berada di rumah.
WARNA NEUTRAL
Sebaiknya pilih warna-warna neutral sama ada yang gelap atau terang. Tak semestinya perlu memilih warna-warna bunga yang cerah. Anda boleh menerapkan pola bunga dengan warna monokrom yang lebih memberi kesan santai serta tidak terlalu feminin.
PILIH WARNA SENADA
Pilih warna senada dengan perabot sedia ada. Atau, boleh juga memadankan dengan tema warna yang sudah diterapkan pada ruang tersebut. Ia akan membuatkan dekorasi rumah akan lebih seimbang.
UKURAN POLA
Pola bunga bungaan mempunyai banyak pilihan dari segi ukuran bermula dari yang kecil sehinggalah yang besar. Pola bunga berukuran kecil memberi kesan lebih feminin berbanding pola bunga berukuran besar.
MEMBERI KESAN SENI
Tak salah untuk memberi kesan atau sentuhan seni pada interior bertemakan bunga bungaan. Dengan sentuhan seni itu, interior ruang akan lebih kelihatan artistik. Contohnya, pola floral dalam bentuk lukisan atau aksen dekorasi tertentu.
KESAN MASKULIN
Agar tak terlalu kelihatan feminin, pola bunga bungaan boleh dipadankan dengan perabot yang mempunyai rekaan yang lebih maskulin. Contohnya dengan meja kopi yang berwarna neutral atau berunsurkan kayu.
RUANGAN PENUH BUNGA
Hadirkan seluruh ruangan dengan pola bunga bungaan melalui pemasangan wallpaper di sekeliling dinding. Ruangan akan menjadi semakin segar dan sejuk. Tema bunga bungaan yang diterapkan pada sekeliling ruangan juga dapat memberi efek yang menenangkan jiwa.
Masa Untuk ‘SAYANG’ Duit, TEMPOH Shopping Spree Perlu DIHENTIKAN!
Ramadan masih panjang tetapi ramai yang sudah berkira-kira untuk menyambut raya. Walaupun dalam tempoh PKP, ada saja cara nak menghabiskan duit secara atas talian. Kita perlu lebih peka, ramai pakar ekonomi meramalkan kejatuhan ekonomi teruk bakal berlaku. Belajar berjimat dari sekarang!
Jangan bawa wang!
Kalau ada kawan-kawan yang ajak ke rumah terbuka, jangan tolak. Selain eratkan hubungan, dapat juga makan percuma! Tapi, jika mereka ajak untuk makan di luar, cukup sekadar wang untuk bayar parking, makan dan tol. Tetapi seandainya PKP diteruskan, duduk saja di rumah ok.
Kurangkan penggunaan utiliti
Jimat-jimatlah penggunaan elektrik tambah-tambah lagi penghawa dingin. Pasanglah kipas jika boleh. Kalau terlalu panas, buka sekejap penghawa dingin sekadar untuk sejukkan bilik. Selepas itu tutup ok!
Keperluan dapur
Setiap awal bulan, berbelanja lebih banyak untuk keperluan dapur. Beli barang tahan lama. Setiap minggu anda hanya perlu membeli keperluan segar yang hanya boleh bertahan beberapa hari seperti susu, sayur-sayuran dan ikan.
Jualan murah
Sebagai ibu, anda perlu bijak mencari ruang untuk berbelanja murah. Perhatikan jualan gudang untuk keperluan anak-anak contohnya jualan penghabisan stok atau warehouse sale. Barangan berjenama yang dijual pada harga lebih rendah adalah pembelian yang sangat menjimatkan. Di samping ia tahan lama, ia juga datang daripada jenama yang diyakini.
Kad kredit
Hubungi talian kad kredit anda dan pohon untuk bayaran balik yang lebih rendah kadar faedah. Dengan bayaran balik yang rendah, sekurang-kurangnya anda boleh berjimat dari segi wang tunai.
Lampin kain
Sekiranya anak kecil anda yang masih memakai lampin hanya duduk di rumah, anda boleh memakai kain lampin. Namun, apabila berada di luar, gunakanlah lampin pakai buang. Anda cuma perlu rajin mencuci kain lampin untuk menikmati penjimatan yang lebih tinggi.
Makan di rumah
Jika anda tak tahu memasak, inilah masanya untuk belajar. Gunakan saja carian di internet atau rajin-rajinlah menuntut ilmu dengan ibu, ahli keluarga atau teman yang pandai memasak. Anda juga boleh minta jiran untuk mengajar anda memasak. Boleh eratkan silaturrahim.
Kumpul kupon
Terdapat banyak pasar raya yang menggunakan tawaran kupon dengan pembelian. Kenal pasti pasar raya yang mengumpul poin atau kupon dan berbelanjalah di sana. Bijak dan menjimatkan!
Barang mainan
Anak-anak kecil biasanya lebih tertarik untuk bermain dengan kotak, plastik atau botol. Sesekali mereka juga akan bermain permainan seperti anak patung mahupun kereta. Peringatan buat anda, jangan membeli terlalu banyak barang permainan kerana ia satu pembaziran.
Makanan dalam tin
Cuba buat carian Google untuk puri mudah dan berkhasiat. Apa salahnya luangkan masa untuk menyediakan sendiri puri untuk anak. Lebih jimat dan berkhasiat berbanding puri sejuk beku.
Recycle saja!
Gunakan semula barangan anak pertama untuk anak kedua dan seterusnya. Tak perlu beli baru kerana pasti masih ada yang elok. Lagipun, ia ada sentimental value!
“Menitis Air Mata Saya Melihat Suami Pulang Dalam Keadaan Menahan Lapar” USTAZAH FATIMAH SYARHA
“Semoga Allah SWT mengurniakannya syurga tertinggi” Itu antara cebisan kata-kata menyentuh hati daripada figura terkenal, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Di sebalik kelembutannya tersirat satu perasaan sukar diungkap. Ustazah Fatimah Syarha merupakan isteri kepada Dr Farhan Hadi yang kini berjuang sebagai frontliner memerangi wabak COVID-19.
Selayaknya Ustazah Fatimah Syarha digelar isteri solehah yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya. Bersama anak-anak, beliau yang kini berusia 36 tahun terus cekal mengharungi ujian ini bersama suami yang dikasihi.
Dr Farhan Hadi bertugas di bahagian kecemasan Hospital Pakar al Islam, Kampung Bharu Kuala Lumpur. Tugasnya, melakukan saringan pesakit-pesakit yang disyaki. Sekiranya didapati positif, Dr Farhan akan menghantarnya ke hospital kerajaan.
“Sebagai isteri seorang doktor, banyak perkara menyentuh hati saya. Sehari sebelum perintah PKP diumumkan, suami membuat perbincangan sama ada mahu menghantar saya dan anak-anak di kampung atau sebaliknya.
Sebagai frontliner suami mahu keluarga terselamat daripada risiko di mana seorang doktor mungkin membawa balik kuman dan virus setelah bertugas. Pada masa sama, suami juga mempertimbangkan saranan agama. Akhirnya, kami memutuskan untuk mengikut petunjuk agama agar tidak lari dari kawasan wabak.
Kami teguh di belakang perjuangan Abi (panggilan kepada suami) dan yang seangkatan dengan Abi! Saya lihat semangat suami untuk berbakti bukan hanya di hospital bahkan di rumah. Anak-anak juga faham erti kesabaran, menahan rindu terhadap Abi mereka.
Pernah menitis air mata saya melihat suami pulang lewat malam dalam keadaan menahan lapar. Katanya, sempat menjamah sedikit sahaja makanan hari itu. Sebelumnya, suami oncall semalaman, pulang sekejap waktu pagi dan tengahari masuk kerja lagi sampai tengah malam. Saya tak dapat bayangkan betapa penatnya dia. Di rumah, suami tak banyak berehat. Kerja bertali arus. MasyaAllah.
Sekarang ini suami bertolak ke hospital lebih awal daripada biasa dengan menaiki motorsikal bagi elak kesesakan jalan raya. Katanya, dia perlu menyiapkan diri dengan pakaian khas dan sentiasa dalam keadaan hygine. Kadang berhujan, kadang berpanas suami rempuhi jua. Katanya, “Abi perlu selamatkan nyawa“.
Apabila berinteraksi dengan ramai pesakit, suami perlu melalui proses saringan di hospital. Sebelum keputusan saringan keluar, suami banyak memencilkan diri di ruang pejabatnya di rumah kerana mahu elak risiko terhadap kami. Anak-anak sering bertanya, “Kenapa Abi tak macam dulu?” Saya jelaskan kepada mereka sambil ajak berdoa dan solat hajat bersama.
Suami berpesan kepada saya, “Kita perlu bersedia jika Abang kena kuarantin” Saya terus merasakan hakikat hidup ini sebentar cuma. Sekejap atau lama, cepat atau lambat, semua orang pasti akan diuji perpisahan. Hanya syurga tempat abadi yang tiada lagi kematian dan perpisahan.
Saya tak dapat bayangkan kerinduan anak-anak terutama yang berusia 6 dan 4 tahun andai ‘kuarantin’ itu benar-benar terjadi. Setiap malam mereka akan tercari-cari Abi. Mereka mahu tidur sambil dipeluk Abi. Kadang kala mereka menangis kerana ketiadaan Abi.
Syukur, keputusan saringan mengesahkan suami negatif COVID-19. Suami pernah memeriksa pesakit positif COVID-19 sehingga pihak hospital mempertimbangkan beliau untuk dikuarantin. Mujurlah saat itu suami lengkap berbaju khas. Risiko tetap ada namun boleh dikurangkan.
Bila saya mendengar rakan sejawatannya, seorang doktor wanita disahkan positif COVID-19 saya amat bersimpati namun pada masa sama menambah debaran saya setiap hari. Mujur ada Allah SWT tempat memohon perlindungan.
Anak-anak memang rapat dengan suami. Setiap kali dengar ekzos motor dengan pantas mereka akan berlari ke pintu dan menyangka itu Abi. Ketika pulang kerja, suami terpaksa menyorok mengikut laluan khas kerana bimbang diterkam anak-anak. Suami bimbang menularkan kuman kepada mereka. Selepas mandi sebersih-bersihnya dan menyiapkan diri, barulah suami akan luangkan masa bersama kami.
Saya kini dalam fasa akhir PhD, mengejar due date. Memandangkan tiada pembantu rumah, semua urusan rumahtangga kami buat bersama. Anak-anak yang besar (11 dan 9 tahun) tugasnya memajukan diri dan mendidik adik-adik. Tugas saya selain menyiapkan tesis PhD, perlu mengemas, menyapu dan memasak. Suami pula rajin uruskan kain baju walaupun sibuk di hospital. Bila memasak, suami selalu mahu turut serta memberikan sinergi. Ia menyebabkan saya sebak sendiri. Semoga Allah SWT memberinya syurga tertinggi.
PESANAN
Buat mereka yang pasangannya doktor seperti saya, ingatlah Allah Maha Pelindung, Maha Penjaga, Maha Pemelihara. Jaga zikir-zikir terpilih dalam al-Quran dan al-Sunnah seperti dalam al-Ma’thurat, Manzil atau Hisnul Muslim sebagai doa perlindungan pagi dan petang. Pujuk hati dengan keindahan maksudnya. Jadikan musibah ini asbab kita makin dekat dengan Allah SWT.
Saat Rasulullah SAW dipulau di perbukitan selama 3 tahun dalam keadaan lapar dan serba kekurangan isteri baginda, Khadijah menemani perjuangan dengan rela dan cinta. Kita cuma perlu berada di rumah, sabar sepanjang ketiadaan pasangan yang berjuang di barisan hadapan. Walaupun terpaksa menempuh kesukaran menguruskan anak-anak sendirian, insyaAllah inilah peluang kita meraih pahala syahid meskipun tidak mati, sebagai mana dikhabarkan dalam riwayat yang sahih.
Cipta bahagia di rumah bersama keluarga tersayang dan nikmati detik bersama. Rasai semua musibah ini, ada rahmat indah dari Ilahi. Biar pasangan pulang dalam keadaan bahagia dan terubat melihat anak-anak menerima jagaan dan pendidikan sebaiknya. InsyaAllah, kita juga sedang berjuang di medan kita.
Saya mohon dan merayu, patuhilah arahan PKP. Kasihani diri kita, insan yang kita sayangi dan insan lain yang mungkin terjejas. InsyaAllah, pelangi akan segera tiba andai kita sabar dan patuh dengan arahan ini.”
Ibu kepada 5 orang anak ini juga merupakan Jawatankuasa Majlis Perundingan Wanita, MAWAR YADIM. Ustazah Fatimah Syarha dan suami turut menguruskan syarikat penerbitan buku milik mereka iaitu Sebarkan Bahagia.
Kredit Foto: Instagram Ustazah Fatimah Syarha
Fazura Mahu Angkat Martabat Wanita Menerusi Produksi Sendiri, Jawab Spekulasi ‘Hilang’ Dari Dunia Seni
Nur Fazura antara bintang wanita yang cemerlang dalam bidang perniagaan mahupun lakonan. Berdiri sama tinggi dengan pelakon ternama yang lain, Fazura sentiasa menunduk ke bumi sejak di awal kemunculannya di layar skrin sehingga kini.
Namun, wajah aktres jelita ini kini dilihat sudah jarang kali menghiasi di kaca televisyen. Hingga menimbulkan beberapa spekulasi yang kurang enak didengari, adakah pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin atau lebih mesra diapa Faz memendam rasa kecewa terhadap industri seni tanah air?
Ini respon yang diberikan Faz bagi menepis spekulasi-spekulasi yang timbul berhubung peglibatanya sebagai anak seni.
Bukan Tak Mahu Berlakon, Tapi Faz Terkilan..
“Tidak dinafikan banyak juga, sedihlah setiap kali dapat tawaran saya gembira sangat, nak berlakon. Tetapi bila dapat skrip, alamak sama sahaja berebut lelaki. Agak terkilan sedikitlah. Itulah sebabnya saya sudah tidak lama berlakon. Jadi saya buatlah produksi sendiri sekarang, bolehlah buat apa-apa yang saya nak.
“Pastinya Fazura Pictures Sdn Bhd ini kita memang rancang untuk berkembang lagi. Faz pun sudah lama tidak berlakon kerana mungkin watak-watak yang diberikan adalah sama sahaja. Kebanyakan naskhah sekarang pun dua wanita berebut lelaki, jadi saya tidak mahu lakukan itu.
“Selain ramai peminat yang merindukan lakonan saya, itulah bukan tidak mahu berlakon tetapi karakter yang saya dapat sememangnya apa yang saya cakap tadi iaitu saya tidak mahu buat. Takkanlah dua perempuan asik nak berebut lelaki sahaja. Jadi dengan produksi ini, saya nak buat apa yang saya nak,” katanya ketika ditemu bual.
Di samping itu, dengan memiliki produksi sendiri iaitu Fazura Pictures Sdn. Bhd, isteri kepada aktor terkenal, Fattah Amin ini bebas untuk berkarya selain ingin mengangkat berkaitan women empowerment menerusi karya seterusnya yang bakal diterbitkan bagi ‘memecahkan’ stigma sedia ada dalam naskhah yang sama disajikan pada masa ini.
“We like that in Malaysia. Seperti yang saya cakap, sedih sebenarnya melihat industri kita terlalu banyak mengeluarkan filem-filem atau naskhah yang berulang kali jalan ceritanya sama sahaja. Setiap hari kita tonton drama itu terlalu banyak di kaca televisyen. Tidak tahulah bila mahu berubah.
“Jika kita lakukan benda yang sama, bagaimana kita mahu kembangkan minda penonton-penonton kita. Jika lakukan yang sama, sebab itulah tercetusnya perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada masa ini. Saya harap ramai lagi penerbit di luar sana yang berani keluar dari zon selesa itu bikin cerita yang berbeza untuk kita boleh mendidik penonton selain alihkan stigma yang sama kepada stigma yang baharu.
“Bagi saya bila kita mengangkat martabat wanita? Jadi ya, Insya-Allah itu adalah matlamat saya untuk memartabatkan lagu kaum wanita, women empowerment ini memang tujuan saya. Jadi untuk produksi saya ini, saya mahu hasilkan lebih banya lagi cerita-cerita yang memang saya nak lakukan sendiri dengan menghasilkan cerita berbeza sebelum ini. Ya Insya-Allah dapat hasilkan lebih banyak lagi,” ujarnya.
Tak Merajuk, Cuma Faz Mahu Beri Peluang Kepada ‘Pendatang Baharu’
Sebagai pemilik sebuah produksi, ibu kepada seorang cahaya mata ini turut menetapkan syarat untuk mengutamakan khidmat pelakon berbakat selain pendatang-pendatang baharu yang benar-benar komited untuk menggilap kebolehan.
Katanya, bukan mahu bersikap selektif, tetapi dia percaya ramai pelakon berbakat wajar diberi peluang untuk menyinar asalkan mereka sedia berusaha ke arah itu.
“Sudah pastinya saya memang bercadang akan libatkan dengan pelakon lain. Projek seterusnya nanti saya nak melibatkan semua rakan wanita saya dalam industri ini. Saya buka juga kepada sesiapa saya, tentunya yang berbakatlah Insya-Allah.
“Tetapi pelakon-pelakon baharu pun saya terbuka dan beri peluang kepada mereka. Pada masa sama mungkin dapat bantu mereka untuk dari segi lakonan. Selain itu, mereka ada usaha untuk belajar, bukannya datang ke set.
“Tetapi nak jaga rupa tetapi lakonan whatever whatever sahaja. Itu yang paling penting, asalkan ada usaha kesungguhan dan niat yang baik,” katanya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel yang diolah semula dari REMAJA