Beliau bukan hanya dikagumi rakyat kerana kebijaksanaannya mentadbir negara malah turut dijadikan contoh suami terbaik yang menyenangkan hati seorang isteri. Meskipun tugas sebagai Perdana Menteri membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak punya cukup masa untuk sentiasa berdampingan dengan Tun Dr Siti Hasmah namun negarawan ini tetap berusaha melayan isteri tercinta sebaiknya. Seolah-olah mereka baru mendirikan rumah tangga semalam! Keakraban mereka bukan hanya diakui anak-anak malah rakyat juga menganggap Tun M dan Tun Siti Hasmah sebagai pasangan paling romantis.
Mengintai laman sosial Tun M, anak kelahiran Kedah yang sudah dua kali menyandang jawatan Perdana Menteri ini tanpa segan memuat naik gambar mesranya di samping isteri tersayang. Sama ada ketika menghadiri majlis rasmi di dalam mahupun luar negara… Tun M tetap setia memimpin erat jemari Tun Siti Hasmah di khalayak ramai.
Lebih istimewa, mereka turut dilihat saling bergurau senda, keluar ‘dating’ dan ‘selfie’ bersama! Satu pemandangan yang jarang dilihat dalam kalangan pasangan yang kedua-duanya meniti usia 94 tahun dan 93 tahun.
Melihat dari riak wajah Tun Mahathir dan Tun Siti Hasmah sahaja jelas terserlah kasih sayang di antara mereka masih subur hingga ke hari ini. Bukan 20 atau 30 tahun hidup sebagai suami isteri sebaliknya mereka sudah melayari hidup berumah tangga selama 64 tahun! Namun Tun Mahathir berjaya mengekalkan rasa sayang terhadap isteri sampai sekarang… masih romantik, mesra dan memandang Tun Siti Hasmah dengan penuh rasa hormat. Lebih-lebih lagi apabila telah dikurniakan tujuh cahaya mata, 18 cucu dan moyang kepada seorang cicit.
Mengimbas kembali memori Tun Mahathir bersama Nona ketika menjadi wajah penghias Jun 2016 di samping Tun Siti Hasmah dan anakanda mereka, Datin Marina… beliau mengakui seorang yang komited melaksanakan tanggungjawab yang masih belum selesai. “Saya tidak boleh duduk diam, perlu membuat sesuatu dan bergerak aktif. Jika tidak membaca, saya akan menghabiskan masa bersama-sama rakan berbual tentang masalah semasa. Paling penting, setiap apa yang saya lakukan dan laksanakan jauh sekali, tidak akan memburukkan nama negara.
Alhamdulillah saya amat hargai mereka yang masih mengambil berat terhadap apa yang saya lakukan. Saya berasa cukup senang dan lega kalau tiada terpahat rasa benci dalam
setiap hati manusia. Cuma andai suatu hari nanti saya telah tiada, cubalah untuk lupakan saya kerana saya sedar, saya tidak mampu membuat semua orang suka kepada kita, ada juga yang membenci,” telus Tun M.
Jasa dan pengorbanan Tun Dr Mahathir mentadbir negara selama berdekad lamanya pasti dikenang seluruh rakyat. Terima kasih Tun kerana sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan Nona mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan Tun Siti Hasmah dipanjangkan umur dan dipermudahkan segala urusan di dunia mahupun akhirat.
Kredit foto: Instagram Chedet
This website uses cookies.