Kejayaan yang diraih Mohd Hilmi Che Azman atau mesra dengan panggilan El Azman nyata bukan calang-calang. Mula membina legasi ketika berusia 27 tahun, usahawan kelahiran Ketereh, Kelantan yang berdaya saing dan penuh karisma ini mampu tersenyum bangga apabila segala penat lelah dan pengorbanan yang dicurahkan untuk memperkukuh empayar Elrah Exclusive kian membuahkan hasil.
“Meskipun berdepan persaingan sengit saban tahun namun alhamdulillah dengan kejayaan Elrah pada tahun pertama dapat menjual sebanyak 68,000 helai jubah dalam masa dua bulan. Ini merupakan satu kenangan manis baru yang membuat terukirnya senyuman dan tidak dapat dilupakan kerana ia adalah satu pengalaman baru dalam hidup saya.
Pada ketika itu yang baru mencuba dalam bidang industri fesyen dan pada masa sama juga baru mencuba dalam bidang perniagaan yang saya sendiri baru belajar. Alhamdulillah rezeki itu ada di mana kita berusaha!”
Teruja dengan sambutan luar biasa itu, El Azman terus optimis mengeluarkan pelbagai variasi rekaan Baju Melayu, jubah dan kurta khas buat pelanggan lelaki mereka. Ujarnya, dia sama sekali tidak menyangka perniagaan busana lelaki yang diusahakan ini membuka banyak ruang dan peluang untuk berjaya.
Lantas, bermacam-macam perancangan telah disusun rapi demi melebarkan lagi sayap perniagaan Elrah Exclusive ke persada antarabangsa.
Mengimbas kembali detik awal pembabitan El Azman dalam bidang keusahawanan, bapa kepada dua cahaya mata ini berkata idea menjual busana tradisi lelaki tercetus sebaik dia pulang dari bumi Arab Saudi kira-kira tujuh tahun lalu.
“Idea ini tercetus selepas saya pulang daripada menunaikan umrah pada tahun 2014. Sepanjang berada di sana saya terinspirasi melihat elemen maskulin yang ditonjolkan lelaki Arab melalui cara pemakaian mereka. Khususnya dalam penggayaan jubah yang dipakai lelaki Arab ini yang membuatkan saya terdetik mahu mengeluarkan koleksi jubah lelaki dengan rekaan menarik, kemas dan berkualiti menggunakan label sendiri,” terang El Azman.
Jelasnya lagi, “Tahun 2014 menjadi titik-tolak penglibatan jenama Elrah secara langsung dalam industri fesyen islamik di Malaysia. Salah satu faktor saya mengusahakan perniagaan ini adalah kerana mahu menaikkan martabat pakaian tradisional yang juga pakaian islamik seperti Baju Melayu, jubah dan kurta di persada Malaysia dan Asia khususnya.
Sehingga ke hari ini, kami sudah pun mempunyai lebih daripada 100 koleksi yang dihasilkan di bawah label Elrah.”
Di samping ligat merencana hala tuju Elrah Exclusive, El Azman percaya keperibadian yang disenangi ramai juga amat penting bagi seorang usahawan. Tidak hairanlah, dia sentiasa mengamalkan sikap ceria dan mudah mesra terhadap sesiapa sahaja. Malah, sifat semula jadi itu diakui banyak membantunya dalam perniagaan.
“Alhamdulillah setakat ini, kami memiliki hampir 30 cawangan di seluruh Malaysia, Thailand 22 cawangan, Indonesia 2 cawangan dan di Singapura ada satu outlet. Buat masa sekarang, saya hanya fokus dengan perusahaan Elrah selari dengan impian untuk mencapai sasaran jualan melebihi sejuta helai pakaian Elrah Exclusive dalam masa setahun.”
Keunikan dan keistimewaan yang ada pada jenama Elrah Exclusive hingga berjaya menambat hati pelanggan, pengasas berusia 33 tahun tersebut lantas melontar bicara.
“Keunikan jenama Elrah terletak pada keunikkan designnya dan setiap elemen butang yang mempunyai keistimewaan sentuhan oleh saya sendiri yang dikeluarkan setiap tahun.
Selain itu nama Elrah itu sendiri yang bukan sahaja ringkas dan menarik seperti design-design yang kemas dan simple yang menepati cita rasa setiap golongan di Malaysia. Di samping itu, Elrah banyak melakukan inovasi bagi memaksimumkan kualiti dan mutu Elrah.”
Akuinya lagi, walau jenama pakaian Elrah Exclusive sudah dikenali ramai namun dia tetap perlu mengharungi ujian mencabar terutamanya apabila melibatkan kepercayaan pelanggan.
“Tidak dinafikan antara cabaran paling besar pernah saya lalui sepanjang menjadi usahawan ialah dalam meraih keyakinan dan kepercayaan pelanggan untuk membeli produk keluaran Elrah.
Bukan mudah meyakinkan mereka untuk percaya dan terima setiap produk yang saya hasilkan. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan kepercayaan itu.
Kalau kata produk kita bagus, ada produk lain yang lebih bagus. Sebagai usahawan kita kena bijak dan kreatif supaya produk kita lebih menyerlah. Bagi saya, usahawan ialah orang yang terjun kapal terbang tanpa payung terjun.
Selepas terjun baru dia fikir di mana nak cari payung terjun. Itulah kata-kata yang saya pegang. Walaupun sesukar mana cabaran yang saya tempuhi, saya yakin pasti ada jalannya kerana saya percaya di setiap permasalahan pastinya ada jalan penyelesaian.
Keyakinan inilah yang mendorong saya untuk terus berusaha hari demi hari untuk terus memperbaiki lagi bagi mendapatkan kepercayaan pelanggan.”
This website uses cookies.