Penampilan jelitawan-jelitawan ini dalam drama, filem atau sitkom popular Hollywood suatu ketika lalu, cukup disenangi peminat. Walaupun hidup dalam dunia glamor, tapi mereka juga wanita biasa seperti kita. Tetap ditimpa musibah dan tidak terlepas daripada ancaman penyakit pembunuh No. 1 wanita, kanser payudara.
(1) Julia Louis-Dreyfus
Seinfeld (NBC News)
Usia Ketika Diagnosis: 56
Hanya sehari selepas Anugerah Emmy 2017, bintang sitkom popular ini disahkan menghidap kanser payudara. “1 dalam 8 wanita akan mendapat kanser payudara. Hari ini, sayalah orangnya,” tulis aktres ini bersama foto yang dimuat naik di Twitter kira-kira 10 hari kemudian.
(Foto: People)
Berita baiknya adalah beliau mempunyai rakan-rakan yang penyayang dan selalu memberi motivasi namun beliau juga sedih kerana terpaksa berdepan hakikat menghidap penyakit pembunuh No. 1 wanita tersebut.
(2) Olivia Newton John
Grease
Usia Ketika Diagnosis: 44 dan 68
Bintang filem The Grease ini telah didiagnosis menghidap kanser payudara pada tahun 1992 ketika beliau berumur 44 tahun. Sejak itu beliau menjalani pelbagai rawatan seperti mastektomi, kemoterapi, mengamalkan herba dan akupuntur hingga disahkan bebas penyakit kanser.
(Foto: Billboard)
Beliau juga selalu berkongsi pengalaman untuk menggalakkan wanita agar lebih prihatin soal payudara termasuk melancarkan album berjudul Stronger than Before (2005). Tahun ini, beliau sekali lagi diuji apabila didiagnosis mendapat kanser payudara buat kali kedua dan ia telah merebak ke organ lain.
(3) Shannen Doherty
Ads
Charmed
Usia Ketika Diagnosis: 44
Bintang drama Charmed dan The 90210 ini mendedahkan pada Ogos 2015 bahawa beliau sedang bertarung dengan kanser payudara serta menjalani rawatan intensif merawatnya.
(Foto: abcnews)
Dalam kesakitan, berlaku pula masalah insurans hingga melibatkan tindakan undang-undang. Namun aktres tersebut terus positif, mengamalkan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif.
(4) Angelina Jolie
Mr & Mrs Smith
Usia Ketika Diagnosis: 37
Selepas satu ujian mengesahkan bahawa beliau berisiko tinggi untuk menghidap kanser payudara, Angelina Jolie segera menjalani pembedahan mastektomi pada tahun 2013. Pendedahan itu ditulisnya sendiri dalam sebuah artikel di The New York Times.
(Foto: Popsugar)
“Saya menulis untuk memberitahu wanita lain bahawa bukan mudah membuat keputusan untuk mastektomi tapi saya gembira membuatnya. Saya juga selalu memberitahu anak-anak agar jangan takut jika kehilangan saya kerana penyakit ini,” ujar ibu kepada 6 cahaya mata itu.
Ads
Tahun 2015, Angelina Jolie juga membuang ovari serta tiub fallopio miliknya bagi mencegah sebarang kemungkinan kanser pada masa akan datang. Ibu beliau meninggal dunia pada usia 56 tahun akibat kanser ovari.
(5) Christina Applegate
Married… With Children
Usia Ketika Diagnosis: 36
Aktres berwajah comel ini sanggup membayar harga yang tinggi untuk memulihkan kanser payudaranya pada tahun 2008. Beliau mengambil keputusan drastik membuang kedua-dua payudaranya dalam satu pembedahan bernama prophylactic double mastectomy walaupun hanya satu ketulan kanser yang ditemui.
(Foto: etonline)
“Kadang-kadang saya menangis, menjerit dan marah kerananya,” luah ibu kepada seorang anak perempuan dan kini disahkan bebas kanser. Beliau juga merancang untuk menubuhkan yayasan untuk wanita berisiko tinggi yang tidak mampu menjalani pemeriksaan MRI, yang dikatakan menyelamat nyawanya.
(6) Kylie Minogue
Ads
Moulin Rouge!
Usia Ketika Diagnosis: 36
Pada asalnya berlaku initial misdiagnosis sewaktu mengesan kanser payudara Kylie Minogue. Sehinggalah bintang pop Australia ini tekad membuat ujian kedua yang menemukan doktor dengan ketulan pada payudara kirinya, beliau terus membuat rawatan pada tahun 2005.
(Foto: Huffington Post)
“Saya pernah kehilangan segalanya, termasuklah menunggu bulu mata dan rambut tumbuh semula. Susah untuk mengekspresikan apa yang telah saya pelajari tapi yang pastinya ia melibatkan kesan psikologi dan emosi yang sangat mendalam.”
Kini Kylie Minogue telah bebas daripada kanser payudara dan beliau berusaha menggalakkan semua wanita untuk percaya pada gerak hati sendiri.
(7) Cynthia Nixon
Sex & The City
Usia Ketika Diagnosis: 40
Pada tahun 2006, bintang Sex and the City ini mendedahkan tentang tumor kanser yang ditemui dalam payudara kanannya sewaktu menjalani pemeriksaan mamogram. Namun aktres ini enggan berkongsi tentang kondisi kesihatannya sewaktu rawatan dijalankan.
(Foto: Hawtcelebs)
“Saya sangat takut malah sampai ke tahap, saya betul-betul tak mahu perkara ini terjadi. Tapi akhirnya saya mengalah. Saya lega ia dikesan dengan cepat supaya masih sempat untuk merawatnya.”
Nixon, yang juga mempunyai ibu yang pernah menghidap kanser payudara, kini bertindak sebagai duta di Yayasan Kanser Payudara Susan G. Komen. Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Luaran nampak sihat, tapi dalaman tiada siapa yang tahu. Itulah sebabnya faktor diet dan pemakanan penting bagi menjaga kesihatan wanita, terutama sekali dalam mencegah risiko penyakit No. 1 iaitu kanser payudara.
Kanser menyerang organ manusia tanpa belas kasihan. Oleh itu, langkah yang perlu diambil untuk mengatasinya adalah dengan mengambil makanan tinggi antioksidan untuk menentang radikal bebas.
Radikal bebas ini mengoksidakan sel dalam tubuh, mempengaruhi DNA dan pertumbuhan sel dalam tubuh serta akhirnya meningkatkan risiko kanser.
Kanser payudara merupakan pembunuh No. 1 wanita di seluruh dunia. Cara terbaik untuk membantu mencegahnya adalah mengamalkan pemakanan sihat seperti buah-buahan yang terbukti kaya dengan antioksidan.
Pilih makanan yang tepat untuk mencegah kanser. Antaranya tiga jenis buah-buahan ini iaitu durian belanda,buah tin dan buah delima.
(a) Durian Belanda
Buah durian belanda berwarna hijau, mempunyai kulit berduri lembut dengan isi yang berwarna putih, berperisa masam-masam manis serta tekstur lembut. Buah durian belanda ini sudah dikomersialkan dan semakin popular dijadikan jus minuman.
Buah durian belanda kaya dengan vitamin C, iaitu sekitar 20mg per 100 gram isi buahnya. Kandungan vitamin C yang tinggi menjadikan buah ini sebagai antioksidan yang sangat baik untuk meningkatkan daya tahan tubuh.
Selain itu, durian belanda juga kaya dengan mineral, iaitu fosfor dan kalsium dengan berat masing-masing 27 dan 14mg per 100 gram. Kedua-dua mineral ini sangat penting untuk pembentukan jisim tulang sehingga elok untuk membentuk tulang kuat dan menghalang osteoporosis.
Kehebatan khasiat yang terdapat pada buah durian belanda boleh membantu menyerang sel kanser secara efektif dan semula jadi tanpa kesan sampingan. Malah ia melindungi sistem kekebalan tubuh dan mencegah daripada jangkitan serta menambah tenaga berterusan sepanjang proses rawatan atau penyembuhan.
(b) Buah Tin
Buah tin mengandungi polifenol yang bertindak sebagai antioksidan bagi melawan sel kanser. Antioksidan amat penting untuk tubuh kerana berfungsi untuk menentang radikal bebas dalam badan yang menjadi punca kanser.
Buah tin juga mengandungi sebatian lain yang menjadi bahan antikanser iaitu benzaldehyde dan coumarins. Selain itu, buah tin juga dikenali sebagai pelancar, penahan sakit dan unsur perkumuhan air kencing.
Buah tin tidak mengandungi garam, lemak dan juga kolesterol tetapi mengandungi lebih tinggi kandungan galian yang lain seperti kalium, serat dan zat besi. Kajian mendapati satu saiz hidangan buah tin (100 gram) mengandungi 20% daripada keperluan zat serat seharian tubuh badan kita.
(c) Buah Delima
Buah delima berwarna merah dan manis ini mengandungi enzim yang mampu membantu melemahkan kanser payudara dengan menghalang perkembangan estrogen.
Delima mengandungi fitokimia dan kaya dengan polifenol antioksidan. Buah delima terkenal dengan zat besi, kalsium, fosforus, vitamin A dan C. Selain itu, ia juga mempunyai kadar vitamin K yang tinggi untuk membantu kesihatan tulang.
Malah vitamin B yang terdapat dalam delima boleh membantu tubuh memproses protein, karbohidrat dan lemak. Buah delima mengandungi manganese untuk membantu pembentukan struktur tulang semasa proses metabolik.
Buah delima boleh melindungi epidermis dan dermis kulit dengan membantu pertumbuhan sel kulit, menolong pembentukan semula tisu-tisu badan, penyembuhan luka-luka dan melancarkan peredaran darah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahukah anda, sehingga ke hari ini 80 peratus wanita masih memakai coli dengan cara yang salah. Ini disebabkan fahaman mengenai pemilihan saiz dan cawan (cup) yang betul tetap berada di tahap rendah sekali gus membuatkan bentuk payudara mereka kelihatan kendur dan kurang menarik.
Setiap kali berbicara tentang pemakaian bra, ramai yang beranggapan perkara ini ada kaitan dengan kanser payudara. Pemakaian coli yang salah seperti terlalu ketat dikatakan menghalang pelancaran darah ke payudara sehingga menyebabkan pelbagai komplikasi. Tidak kira longgar atau ketat, ia akan mempengaruhi saiz dan bentuk payudara selain mendatangkan masalah kesihatan lain.
Hakikatnya, kajian yang mengatakan pemakaian coli yang salah menjadi salah satu penyebab kepada kanser pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini MASIH BELUM terbukti kesahihannya. Apa yang pasti, kanser payudara terjadi disebabkan oleh beberapa faktor antaranya genetik, pemakanan dan lebih berisiko ‘hinggap’ kepada wanita yang belum pernah hamil.
Meskipun ia bukan punca kepada kanser payudara, sebagai wanita anda WAJIB mengetahui cara yang betul untuk memilih pakaian dalam ini. Bukan kerana untuk kebaikan kesihatan malah kecantikan dalaman juga.
Kesan Pemakaian Coli Yang Salah
Dalam jangka masa panjang, ia boleh memberi kesan kepada postur badan
Jika pakai terlalu ketat dan berpeluh, menyebabkan ruam pada badan
Boleh membawa kepada sakit bahu, leher, dada dan belakang badan kerana otot yang sentiasa tegang disebabkan coli yang terlalu ketat
Mengukur Saiz Coli
Ambil ukur lilit badan iaitu bahagian bawah payudara di tulang rusuk bawah dalam unit inci. Jika hasil ukuran bernombor genap, tambah 4 inci sementara jika ganjil, tambah 5 inci. Misalnya:
Ukur lilit badan : 28 inci jadi ukuran bra ialah 32 (28+4=32). Kalau 29 inci (tambah 5), bersamaan ukuran bra 34.
Ambil pula ukuran lilitan payudara untuk mengetahui saiz cawan (cup) dengan mengukur bahagian paling depan payudara. Kira perbezaan dengan angka ukuran lilit badan. Misalnya:
Ukur lilitan badan : 28
Ukur lilitan payudara : 31
Perbezaan ukur lilit badan dan lilit payudara : 3 (31-28 = 3), bermakna saiz cawan yang sesuai adalah cup C
Gambaran ukur lilit badan & ukur lilit payudara
Tanda Salah Pilih Coli
Coli bahagian tengah tidak bersentuhan kulit badan bermakna ia terlalu besar. Jika coli berwayar pula pastikan payudara tidak terkeluar dari bawah payudara
Payudara terkeluar daripada bahagian atas coli bermakna saiz tidak sesuai dan kecil
Cawan coli berkedut atau ada ruang di antara tepi cawan coli dan dada, saiz bra yang besar
Lemak yang terkeluar di bahagian ketiak kerana disebabkan coli tidak sesuai dan kecil
Waktu ideal pemakaian bra adalah kurang daripada 12 jam. Manakala waktu paling tepat untuk merehatkan payudara tanpa memakai bra adalah ketika tidur. SUZIANA ABU DAUD
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap hari kita masyarakat sekeliling meninggal dunia akibat kanser. Kanser kini merupakan punca utama kematian dan semakin hari semakin meningkat angka kematian ini.
Memang benar terdapat banyak faktor penyumbang kepada penyakit kanser ini termasuk stres dan pencemaran. Namun, pemakanan adalah segala-galanya. Setiap makanan yang masuk ke dalam perut akan mempengaruhi tubuh termasuk organ dalaman. Kanser boleh ditangani dengan mengawal pemakanan.
Gula telah diperdebatkan kerana boleh merangsang sel kanser untuk bertindak aktif di dalam tubuh. Walaupun ramai yang tidak mengambil gula dalam pemakanan namun ‘tertipu’ dengan makanan yang dijual di rak pasar raya.
Kebanyakan kandungan gula ini disembunyikan dan tidak dimasukkan ke dalam label. Antara produk sihat namun sebenarnya mengandungi kandungan gula tinggi adalah;
Yogurt
Ramai wanita mengambil yogurt jika dalam proses diet. Namun tahu kah anda bahawa yogurt berperisa mengandungi kadar gula yang tinggi. Demi menjaga kesihatan tubuh elak beli yogurt yang berperisa, sebaliknya beli yogurt tanpa sebarang perisa. Jika mahu menambah rasa buah potong sahaja buat segar kegemaran anda seperti strawberi, epal, raspberi dan sebaginya serta makan bersama yogurt tadi.
Minuman ringan
Minuman ringan sering menjadi pilihan terutama dalam cuaca yang panas menyengat. Sering juga minuman ringan ini dipakejkan dalam set makanan terutama makanan segera. Hendak atau tidak terpaksa minum. Namun, minuman ringan ini memang mengandungi kadar gula yang tinggi sekitar 39 gram sehingga 99 gram. Selain minuman ringan susu coklat dan jus buah-buahan dalam kotak juga mengandungi kadar gula yang tinggi.
Madu
Madu memang makanan terbaik untuk tubuh dan boleh mengganti fungsi gula serta membantu menyihatkan anggota tubuh. Kandungan gula yang terdapat dalam madu secara semula jadi memang terbaik, namun yang berbahaya apabila terdapat madu yang ditambahkan pemanis buatan atau gula tambahan. Satu sudu madu mengandungi kalori dan karbohidrat yang lebih baik berbanding satu sudu gula.
Granola bar
Ramai wanita yang menjadikan granola bar ini sebagai makanan sementara jika terpaksa langkau makanan akibat tugasan dan sebagainya kerana mengenyangkan. Makan granola bar ini memang sihat namun perlu berhati-hati memilih kerana kebanyakan bar ini sudah ditambah dengan gula untuk membuat rasanya lebih enak.
Sos tomato
Sos tomato sering menjadi pilihan untuk menyedapkan makanan. Masak ikan tiga rasa, mi goreng, spageti sering memasukkan sos tomato. Begitu juga kalau makan kentang goreng sudah menjadi kewajipan dicicah bersama sos tomato. Kandungan gula tinggi dalam sos tomato kerana untuk meminimumkan rasa masam yang terdapat dalam sos tomato. Gula juga akan membuatkan sos tomato ini tahan lama.
Puding
Puding ini memang telah diketahui mengandungi gula yang tinggi. Begitu juga dengan ais krim namun bukan bererti tidak boleh makan langsung tetapi cuba mengawal pengambilan mungkin hanya sebulan sekali sahaja.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!