Penampilan jelitawan-jelitawan ini dalam drama, filem atau sitkom popular Hollywood suatu ketika lalu, cukup disenangi peminat. Walaupun hidup dalam dunia glamor, tapi mereka juga wanita biasa seperti kita. Tetap ditimpa musibah dan tidak terlepas daripada ancaman penyakit pembunuh No. 1 wanita, kanser payudara.
(1) Julia Louis-Dreyfus
Usia Ketika Diagnosis: 56
Hanya sehari selepas Anugerah Emmy 2017, bintang sitkom popular ini disahkan menghidap kanser payudara. “1 dalam 8 wanita akan mendapat kanser payudara. Hari ini, sayalah orangnya,” tulis aktres ini bersama foto yang dimuat naik di Twitter kira-kira 10 hari kemudian.
Berita baiknya adalah beliau mempunyai rakan-rakan yang penyayang dan selalu memberi motivasi namun beliau juga sedih kerana terpaksa berdepan hakikat menghidap penyakit pembunuh No. 1 wanita tersebut.
(2) Olivia Newton John
Usia Ketika Diagnosis: 44 dan 68
Bintang filem The Grease ini telah didiagnosis menghidap kanser payudara pada tahun 1992 ketika beliau berumur 44 tahun. Sejak itu beliau menjalani pelbagai rawatan seperti mastektomi, kemoterapi, mengamalkan herba dan akupuntur hingga disahkan bebas penyakit kanser.
Beliau juga selalu berkongsi pengalaman untuk menggalakkan wanita agar lebih prihatin soal payudara termasuk melancarkan album berjudul Stronger than Before (2005). Tahun ini, beliau sekali lagi diuji apabila didiagnosis mendapat kanser payudara buat kali kedua dan ia telah merebak ke organ lain.
(3) Shannen Doherty
Usia Ketika Diagnosis: 44
Bintang drama Charmed dan The 90210 ini mendedahkan pada Ogos 2015 bahawa beliau sedang bertarung dengan kanser payudara serta menjalani rawatan intensif merawatnya.
Dalam kesakitan, berlaku pula masalah insurans hingga melibatkan tindakan undang-undang. Namun aktres tersebut terus positif, mengamalkan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif.
(4) Angelina Jolie
Usia Ketika Diagnosis: 37
Selepas satu ujian mengesahkan bahawa beliau berisiko tinggi untuk menghidap kanser payudara, Angelina Jolie segera menjalani pembedahan mastektomi pada tahun 2013. Pendedahan itu ditulisnya sendiri dalam sebuah artikel di The New York Times.
“Saya menulis untuk memberitahu wanita lain bahawa bukan mudah membuat keputusan untuk mastektomi tapi saya gembira membuatnya. Saya juga selalu memberitahu anak-anak agar jangan takut jika kehilangan saya kerana penyakit ini,”
ujar ibu kepada 6 cahaya mata itu.Tahun 2015, Angelina Jolie juga membuang ovari serta tiub fallopio miliknya bagi mencegah sebarang kemungkinan kanser pada masa akan datang. Ibu beliau meninggal dunia pada usia 56 tahun akibat kanser ovari.
(5) Christina Applegate
Usia Ketika Diagnosis: 36
Aktres berwajah comel ini sanggup membayar harga yang tinggi untuk memulihkan kanser payudaranya pada tahun 2008. Beliau mengambil keputusan drastik membuang kedua-dua payudaranya dalam satu pembedahan bernama prophylactic double mastectomy walaupun hanya satu ketulan kanser yang ditemui.
“Kadang-kadang saya menangis, menjerit dan marah kerananya,” luah ibu kepada seorang anak perempuan dan kini disahkan bebas kanser. Beliau juga merancang untuk menubuhkan yayasan untuk wanita berisiko tinggi yang tidak mampu menjalani pemeriksaan MRI, yang dikatakan menyelamat nyawanya.
(6) Kylie Minogue
Usia Ketika Diagnosis: 36
Pada asalnya berlaku initial misdiagnosis sewaktu mengesan kanser payudara Kylie Minogue. Sehinggalah bintang pop Australia ini tekad membuat ujian kedua yang menemukan doktor dengan ketulan pada payudara kirinya, beliau terus membuat rawatan pada tahun 2005.
“Saya pernah kehilangan segalanya, termasuklah menunggu bulu mata dan rambut tumbuh semula. Susah untuk mengekspresikan apa yang telah saya pelajari tapi yang pastinya ia melibatkan kesan psikologi dan emosi yang sangat mendalam.”
Kini Kylie Minogue telah bebas daripada kanser payudara dan beliau berusaha menggalakkan semua wanita untuk percaya pada gerak hati sendiri.
(7) Cynthia Nixon
Usia Ketika Diagnosis: 40
Pada tahun 2006, bintang Sex and the City ini mendedahkan tentang tumor kanser yang ditemui dalam payudara kanannya sewaktu menjalani pemeriksaan mamogram. Namun aktres ini enggan berkongsi tentang kondisi kesihatannya sewaktu rawatan dijalankan.
“Saya sangat takut malah sampai ke tahap, saya betul-betul tak mahu perkara ini terjadi. Tapi akhirnya saya mengalah. Saya lega ia dikesan dengan cepat supaya masih sempat untuk merawatnya.”
Nixon, yang juga mempunyai ibu yang pernah menghidap kanser payudara, kini bertindak sebagai duta di Yayasan Kanser Payudara Susan G. Komen. Norzalina Mohd Alias
This website uses cookies.