
Sejak kebelakangan ini ramai pengantin yang memilih untuk meraikan hari bahagia dengan cara yang lebih sederhana dan mencipta kelainan daripada pengantin lain. Boleh dikatakan pengantin era ini lebih santai dan mempunyai konsep yang tersendiri. Bakal pengantin kini mempunyai banyak bahan rujukan berbeza dengan pengantin dahulu yang hanya mengikut saranan mak andam.

Melihat kepada perkembangan dekorasi perkahwinan yang semakin berkembang telah menarik minat Shamiza Norani, 32 tahun untuk memeriahkan perniagaan berasaskan perkahwinan ini. Walaupun sudah 7 tahun mencebur diri sebagai interior designer tetapi wanita yang lebih mesra di sapa Miza ini teruja apabila dapat merealisasikan impian raja sehari yang mahukan gaya dekorasi minimalis.

Apabila ditanya kenapa wanita yang mudah mesra itu beralih arah kepada hiasan perkahwinan, jawabnya, “Jiwa saya lebih cenderung kepada mengubah sesuatu menjadi cantik dan proses yang dilalui itu adalah proses yang banyak ilmu dapat dipelajari.
Kepakaran sebagai seorang designer sebelum ini yang menjadikan saya masih kekal di dalam industri kreatif untuk membantu mereka yang memerlukan sesuatu kelainan untuk majlis mereka.

Misi saya adalah untuk membawakan konsep minimalis di dalam dekorasi perkahwinan zaman sekarang. Selama hampir 6 tahun berkarya, saya masih mengharapkan untuk keterbukaan minda pasangan-pasangan yang bakal berkahwin menerima konsep minimalis ini,” tutur event decorater ini.

Bercerita tentang halangan yang ditempuhnya, “Ketandusan idea kadangkala menjadi halangan besar kerana dalam bidang kreatif ini. Kita perlu bergerak dan meneroka idea baru dengan cepat supaya idea yang dihasilkan lebih fresh,” bicara Miza.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
3 Kali Dibuang Kerja Gara-Gara Kegawatan, Kini ANNIE LIZA Bangkit Bantu Insan Senasib!

Mereka yang pernah mengalami situasi dibuang kerja akibat kegawatan ekonomi sahaja yang faham perubahan emosi ketika itu. Hilang kerjaya, hilang punca pendapatan dan yang paling penting keperluan keluarga yang sukar dipenuhi.
“Memang benar isu kehilangan kerja ini memberi kesan sosial terutama sosio-ekonomi sebuah keluarga. Setiap individu mempunyai pasangan dan juga anak untuk meneruskan kehidupan.
Fokus utama saya bukan semata-mata menyediakan perkhidmatan yang ditawarkan tetapi lebih kepada menjaga kebajikan mereka agar dapat membina sebuah gaya hidup yang positif.
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul tetapi saya turut menyelami perasaan mereka dengan lebih dekat kerana pernah melalui perkara yang sama. Malah saya pernah mengalami kehilangan kerja sebanyak tiga kali akibat kegawatan ekonomi.
Kali pertama saya melalui fasa kehilangan kerja ini hanya setelah bekerja selama 5 bulan. Waktu itu saya berhenti kerja dari syarikat cari gali antarabangsa dan menyertai syarikat tersebut kerana saya fikir sudah tiba masanya untuk saya give back to the nation.
Ketika itu bahagian (division) saya baharu diwujudkan dan ditutup serta-merta akibat kegawatan ekonomi yang teruk pada tahun 1997. Kami semua diberhentikan tanpa sebarang pampasan kewangan dan sokongan kerjaya kerana belum melepasi tempoh percubaan (probation),” tutur Annie Liza Muhammad lembut sambil tersenyum.

Kini wanita ini berpeluang untuk membantu anak bangsa dengan menyalurkan khidmat di CDC. Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO), Pusat Pembangunan Korporat (CDC Malaysia) ini, merupakan tugas murni yang perlu dilaksanakan dari hati.
Keluhuran budi yang tersemat dalam diri wanita yang berkelulusan MBA dari University Miami, Florida, Amerika Syarikat ini mampu menginspirasikan masyarakat. “CDC adalah anak syarikat Khazanah Nasional Berhad.
Fungsi dan tanggungjawab CDC adalah untuk membimbing dan menyediakan sokongan untuk mereka memasuki fasa kehidupan baru sama ada meneruskan kerjaya, bekerja sendiri atau pun memilih untuk bersara awal.
Setiap mereka yang berdaftar dengan CDC akan dibimbing oleh Penasihat Kanan Kerjaya untuk merancang pelan gaya-hidup dan kerjaya yang terperinci dan berjangka panjang, perancangan kewangan dan program-program latihan (upskilling) dalam pelbagai bidang bagi membolehkan mereka melalui peralihan kehidupan yang seterusnya.,” terang wanita yang berpengalaman luas dalam bidang Peralihan dan Bimbingan Kerjaya ini memulakan bicara.
Wanita ini memang dilahirkan begitu istimewa kerana sanggup menutup syarikat miliknya hanya semata-mata mahu membantu orang lain lebih-lebih lagi pernah melaluinya. “Niat saya semata-mata mahu menolong orang. Bagi saya peluang bekerja di sini merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai untuk dilepaskan.
Sasaran saya adalah untuk membina generasi muda yang mempunyai semangat juang dan sentiasa komited terhadap kepentingan bangsa, agama dan negara.
Sebagai seorang ibu dan pernah melalui tempoh getir ini, saya fikir sekiranya mereka tidak mengawal emosi dengan baik dan melalui tempoh sukar ini dengan negatif maka pembesaran anak-anak juga akan turut terganggu.
Mereka akan malu untuk ke sekolah dan sering merasa rendah diri. Apabila anak-anak membesar dalam keadaan yang negatif, ini boleh merosakkan minda, karier dan masa depan mereka.
Kebanyakan mereka yang mengalami kehilangan kerja tidak pernah mempunyai kerja lain selain bekerja dengan majikan yang ada. Ada yang sejak lepasan sekolah bekerja selama 30 tahun dengan syarikat yang sama dan buntu untuk mencari kerja lain.

Jadi ini merupakan satu cabaran transisi kerjaya yang amat besar buat mereka. Apa yang istimewa, CDC membantu dan mengikuti perkembangan mereka sehinggalah mereka berjaya di dalam bidang yang baru mereka pilih.
Alhamdulillah, sudah 90 peratus daripada mereka yang kehilangan kerja sudah berjaya di dalam peralihan kerjaya mereka. Lagi 10 peratus itu masih di dalam proses bimbingan kerana baharu sahaja mendaftar. CDC juga turut bekerjasama dengan syarikat lain daripada segi transisi kerjaya dan menjadi tanggungjawab sosial korporat untuk membantu ibu tunggal, gelandangan dan pelajar universiti,” jelas nwanita yang berasal dari Pahang ini.
“Sudah menjadi norma kehidupan, orang yang hilang pekerjaan akan mengalami gangguan emosi, marah, geram dan kecewa. Cabaran paling utama adalah dapat bersabar ketika berhadapan dengan mereka.
Saya gembira dapat membuka minda mereka dan membantu mereka serta anak-anak. Selain itu cabaran untuk memastikan amanah dipenuhi bukan secara 100 peratus tetapi lebih daripada itu. Kebajikan untuk rakyat dan duit rakyat.
Kepuasan lahir dalam diri apabila mereka datang semula kepada kami dengan minda yang terbuka dan dapat membina kerjaya yang memberangsangkan,” jelasnya dengan mata berkaca.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jasa & Dakwah Martabat Al-Quran, FARHATUL FAIRUZAH Terima Darjah Kebesaran SULTAN SELANGOR!

Tumpang bangga dan gembira melihat kejayaan diraih Nor Farhatul Fairuzah Haji Panut! Atas jasa dan dakwah memartabatkan Al-Quran, Johan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 berkenaan dipilih sebagai penerima Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember.
Meniti usia 22 tahun, Nor Farhatul Fairuzah atau mesra disapa Farha berkongsi berita gembira tersebut bersama Nona.

Pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang Ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, anak kepada bekas qari dan qariah iaitu Allahyarham Haji Panut Haji Markum dan Hajah Jaliah Haji Simin ini dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).
“Alhamdulillah Syukur kehadrat Ilahi atas Pengurniaan Darjah dan Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan, Sempena Menyambut Ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-77, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj diatas penghargaan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).
Semoga Tuanku dan Permaisuri dipanjangkan usia , sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT.”

Anggun mengenakan persalinan kurung rona biru lembut, turut kelihatan menemani Farha ialah ibu dan adik-beradik tersayang.
Mewakili suara anak muda, Farha nekad berusaha menarik minat golongan ini mencintai Al-Quran melalui media sosial memandangkan kebanyakan mereka aktif dan gemar menggunakan platfrom berkenaan.
Pada 2019, Farha dinobatkan Johan Qariah dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61.
Farha yang juga pelajar Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membahagikan masa dengan sebaiknya selepas menerima perlantikan sebagai Ikon Dakwah YADIM 2021 dan Tokoh Belia Negara 2019.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Comelnya Baby Boy MUABELLAZ, LAHIR Pada Malam HARI ARAFAH Pula.

Mengambil berkat malam hari Arafah, MUABELLAZ bersyukur anak ketiganya dilahirkan dengan selamat. Muhamad Ean Yusuf Bin Mohd Anuar mendapat perhatian daripada followers Muabellaz dan ramai yang memuji baby comel yang bertuah itu.

https://www.instagram.com/p/CDPVfyup9Pm/?utm_source=ig_web_copy_link
Kegembiraan menyambut orang baru dalam keluarga semestinya dinanti-nantikan oleh suami tersayang, Anuar Ahmad dan dua lagi anak-anaknya, Alisya dan Aidil.

Mengenali Muabellaz atau nama sebenarnya Nur Nabila Zulyadaini yang mempunyai 1.7 juta followers di Instagram, dia cukup rendah diri. Celotehnya ketika tutorial live di media sosial dalam loghat utara sangat menarik dan lucu.
“Saya belajar makeup hanya dari Youtube dan Instagram. Masa mula-mula dulu memang saya tak mampu untuk menghadiri kelas solekan kerana yurannya terlalu mahal. Saya bukan dari keluarga yang kaya jadi duit yang ada digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan untuk up-grade barang solekan.
Solekan ini umpama satu kelebihan dalam skil. Untuk jadi pandai, kita perlu selalu praktikkan solekan dan itulah yang saya lakukan. Setiap kali saya terima bayaran dari klien, saya gunakan untuk beli barang-barang yang lebih baik. Sampai di rumah, saya akan berulang kali solek diri sendiri supaya skil itu semakin baik.

Saya memang minat sangat makeup. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan. Selepas itu saya mula buat video live di Facebook dan tutorial makeup dan dari situ orang mula mengenali saya. Lama-kelamaan, saya mengambil cabaran membuka kelas solekan agar lebih ramai lagi yang boleh belajar ilmu solekan dan pada masa sama, saya sendiri boleh belajar dari mereka dan mengasah skil sendiri,” ujarnya.
Mengimbau kembali setiap kesukaran hidup yang pernah dilalui, Bellaz hampir mengaku kalah dengan airmata. Hidupnya sukar dan tidak pernah langsung dia terfikir dapat keluar dari kemiskinan. Jiwa yang kental dan tanggungjawab yang dipikul membuatkan Bellaz sentiasa mencari ruang untuk cuba memperbaiki nasib keluarga.

“Ayah saya seorang nelayan, manakala ibu pula hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.
Kesenangan yang dikecapi Bellaz kini bukanlah hasil sebulan dua. Dia bekerja keras demi kelangsungan hidup dan untuk terus kekal relevan dalam industri demi untuk memberi kesenangan kepada keluarga. Macam tidak percaya apabila Bellaz akui adik-adiknya tidak tahu membuka pintu kereta kerana tak pernah naik kereta seumur hidup mereka.

“Sewaktu saya dan suami belum berkahwin, suami bercadang membawa saya dan adik-adik makan dengan menaiki kereta. Adik-adik saya tak tahu macam mana nak buka pintu kereta kerana kami tak pernah naik kereta! Bagi saya, makan sayur kailan dan minum Milo ais pun sudah cukup mewah.
Kalau tak cukup duit untuk makan, memang saya sendiri akan ke rumah jiran untuk pinjam duit. Kadang-kadang duit upah dari kelas ikan saya berikan kepada ibu kerana ibu dan adik-adik tak makan. Saya berlapar kerana kasihankan mereka. Saya sedar ramai lagi orang yang lebih susah dari saya tapi ini kisah hidup saya yang ingin kongsikan kepada semua,” cerita Bellaz.

“Saya tak pernah terfikir untuk mendapat rezeki besar macam ni dari Allah. Saya fikir, cukuplah kalau ada duit untuk makan, tak perlu kaya-raya. Tetapi ini pemberian Allah, jadi saya perlu buat sesuatu agar ia boleh dikongsi bersama orang lain.
Di kampung, memang ramai sangat orang yang susah, malah lebih susah dari saya dulu. Kalau saya dengar ada yang perlukan bantuan, saya akan ke rumah mereka dan lihat apa yang boleh dibantu. Begitu juga sekiranya mereka perlukan bantuan dari segi kemudahan infrastruktur.
Ada dua perkara yang saya pegang dalam diri iaitu sejahat mana sekalipun kita, jaga hubungan kita dengan Allah kerana Allah akan sentiasa bersama kita. Jangan pernah putus doa dan niat perlu betul. Dan bersedekah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Dengan rezeki yang Allah beri, kita cuba bantu adik-beradik kita dan tolong orang yang memerlukan.” Katanya mengakhiri perbualan.
Kredit foto: Instagram Muabellaz
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


