Orangnya cantik, mesra dan berbudi bahasa. Walau baru mengenali Datin Sri Natasha Rosa namun perwatakan dan peribadinya cukup menyenangkan. Mungkin kerana kerjayanya sebelum ini yang banyak berkomunikasi dan bergaul dengan ramai orang.
Pertama kali bertentang mata dengan suri hati Dato’ Sri Eizlan Yusof ketika pelakon kacak tersebut menerima Nona Men’s Achievement Celebrity Award di Nona Superhero Award, Januari lalu. Waktu itu, dia baru kehilangan bapa tersayang.
Dalam Nona On Air bersama Dato’ Sri Eizlan pada awal Februari lepas, secara eksklusif Datin Sri Natasha atau selesa disapa Datin Sri Sasha mendedahkan sisi peribadi suami tercinta kepada followers
Nona.“Abang ni sebenarnya sangat-sangat kelakar. Dekat luar orang tengok dia very friendly, itu memang betul. Tapi yang orang tak tahu, dia punya kelakar tu… kelakar tak ingat dunia,” katanya sambil ketawa.
Sementara itu ditanya sejak bila mengenali selebriti tampan berkenaan dan keistimewaan suami di matanya, ini pengakuan Datin Sri Sasha.
“Kami kenal sejak 2015, kenal sebagai kawan dulu. Saya tertarik sebab abang kelakar, seorang yang baik hati dan senang bercakap dengan dia sebenarnya. Dia seorang listener
yang bagus.Pastinya kita sebagai pasangan, nak suami yang sanggup mendengar (luahan) baik buruk kita dan dapat share apa yang betul dan tak,” jelas Datin Sri Sasha yang menyambut ulang tahun kelahiran baru-baru ini.
Datin Sri Sasha bergelar isteri kepada Dato’ Sri Eizlan dalam sebuah majlis pernikahan serba indah di Bora Ombak Marina, Putrajaya pada 12 Disember 2019. Wanita keturunan Serani ini pernah bekerja sebagai kakitangan pengurusan hotel bertaraf lima bintang di ibu negara dan dilamar Dato’ Sri Eizlan pada September 2019.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zaelynn Rosa yang lahir pada 13 April 2020.
Datin Sri Sasha juga sebelum ini aktif dengan aktiviti sukarelawanan menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan mendapat pengiktirafan agensi tersebut yang sekaligus membawa gelaran Kapten Bersekutu.
Kredit foto: Instagram Natasha Rosa & Eizlan Yusof
This website uses cookies.