Cantik manis orangnya! Berstatus isteri kepada selebriti pastinya Elena Hani Eleas tidak terlepas daripada tempias dunia glamor. Mahu atau tidak, peribadi dan latar belakang wanita berusia 42 tahun ini menjadi perhatian.
Kian bahagia melayari alam perkahwinan bersama pelakon dan pengacara kacak, Fahrin Ahmad, rumah tangga pasangan romantis ini yang dibina pada 9 Mei 2015 bertambah seri dengan kehadiran cahaya mata tunggal mereka iaitu Khalifa Fahrel yang kini berusia enam tahun.
Difahamkan anak lelaki tunggal Fahrin dan Elena lahir pada 29 September 2016. Menariknya, Khalifa berkongsi tarikh lahir sama dengan ibu tersayang.
Mengintai latar belakang ratu hati Fahrin, sebelum berkahwin Elena merupakan bekas pramugari di syarikat penerbangan Emirates Airlines dan peguam. Wanita cantik ini juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Lucunya, pada tahun 2019 Fahrin pernah berkongsi foto dirinya dan Elena ketika mereka masih bergelar pelajar. Waktu itu kedua-duanya menghadiri majlis makan malam anjuran kampus.
Kongsi Fahrin, “Masa ni Elena poyo dan jual mahal. Dia tak tahu yang sebelah dia tu bakal suami dia 17 tahun kemudian. Ini lah namanya jodoh pernah melintas depan mata.
Kami memenangi anugerah pakaian terbaik lelaki dan perempuan di majlis makan malam matrikulasi di Institut Teknologi MARA, Shah Alam.”
Pasangan ini dilaporkan mula mengenali ketika mereka sama-sama belajar di matrikulasi dan UiTM. Berbelas tahun sunyi tanpa khabar berita, akhirnya takdir menyatukan dua hati ini sebagai suami isteri.
Selepas berkahwin dan bergelar ibu, Elena mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa demi memberi perhatian kepada anak tersayang.
This website uses cookies.