13 Ogos ini usia perkahwinan atlet paralimpik, Datuk Abdul Latif Romly dan Datin Nabila mencecah usia lapan bulan. Sejak mendirikan rumah tangga dan melayari hidup sebagai suami isteri, makin cantik berseri-seri wanita berusia 25 tahun ini.
Pastinya Datin Nabila sedang diulit bahagia menjadi suri hati jaguh lompat jauh berkenaan.
Berkongsi momen indah di samping suami tercinta setiap kali bercuti, foto terkini Datin Nabila atau nama sebenarnya Nurul Nabila Farhana Musaidi menarik perhatian ramai. Kelihatan guru ini cukup bergaya dan jelita.
Datin Nabila merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu. Dia selamat bergraduasi pada Mac tahun lalu selepas lebih dua tahun menunda majlis konvokesyen kerana pandemik Covid-19.
Dalam temu bual bersama Nona Oktober tahun lalu, Datin Nabila berkata dia sudah pun bekerja di Lembah Klang. Mengimbas kembali detik pertemuan dengan Datuk Latif Romly, dia berkata mereka mula berkenalan sejak di bangku sekolah.
“Saya mengenalinya sejak dari sekolah menengah. Kenal dah lama tapi mula rapat waktu Tingkatan 5. Masa tu ada beberapa minggu lagi sebelum SPM.
Dia balik semula ke Perlis untuk ambil SPM selepas pulang dari Incheon. Dari situ kami bertanya khabar dan mula rapat lebih daripada kawan.”
Ditanya keistimewaan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu di matanya, dedah Datin Nabila, “Dia ni seorang yang sangat bersemangat dan bermotivasi tinggi. Saya akui selepas jadi atlet kebangsaan, Latif banyak berubah jadi lelaki yang lebih matang.
Kadang-kadang rasa macam dia ni tak ada kekurangan. Aura positif Latif ni lah membuatkan dia istimewa di mata saya.”
18 Julai lalu, Datuk Latif Romly sekali lagi mencipta kejayaan apabila membawa pulang pingat emas World Para Athletics di Perancis.
Ujarnya, “Syukur alhamdulilah di World Para Athletics saya mendapat pingat emas sekaligus memperbaharui rekod kejohanan. Semua ini rezeki dari Allah. Saya hanya mampu berusaha dan tawakal kepadanya.”
Sebelum ini atlet berjaya tersebut meraih pingat emas di Doha tahun 2015, London (2017) dan Dubai pada tahun 2019.
View this post on Instagram
Datin Nabila sah bergelar isteri pada 13 Disember 2022 dan menerima mas kahwin RM1,312 sebagai simbolik tarikh pernikahan mereka.
Semoga rumah tangga yang dibina berkekalan sampai syurga.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/perkenalan-di-bangku-sekolah-berakhir-di-jenjang-pelamin-nabila-farhana-kini-isteri-datuk-latif-romly/