8 DIY Masker Untuk Kulit Wajah Lebih Sihat & Segar, Senang Lagi Menjimatkan!

Nona kongsikan 8 DIY masker yang boleh dibuat sendiri di rumah.

Mudah lagi menjimatkan, jom cuba!

1. MENGHILANGKAN KEDUTAN


Masker ini berfungsi untuk meremajakan kulit. Hasilnya kulit yang kelihatan matang akan nampak muda berseri. Malahan, ia juga membantu mengurangkan garis-garis halus.

Bahan-bahan:
1 biji avokado yang ranum
1 sudu teh jus lemon
1 biji putih telur

Cara-cara:
Jika anda mempunyai kulit berminyak, campurkan putih telur dan jus lemon. Sapukan di seluruh wajah dan elakkan terkena di sekeliling mata. Bagi yang ada masalah kulit kering pula, kisarkan sebiji buah avokado dan campurkan di dalam bahan-bahan tadi. Ia akan menyegarkan kulit yang kering.

2. MENGURANGKAN SEMBAB

Kadangkala, bila terlalu penat atau tak cukup tidur wajah akan kelihatan sembap dan tak bermaya. Cara pantas bagi mengatasi masalah ini ialah menggunakand masker buah epal.

Bahan-bahan:
1/2 biji epal (dikupas dan dikisar)
1 sudu besar madu asli
1 biji kuning telur
1 sudu besar cuka epal
2 sudu besar minyak badam

Cara-cara:
Bagi kulit kering, anda boleh mencampurkan semua bahan di atas. Sapukan di muka dan berehat dalam 20 minit. Jika anda mempunyai kulit yang sangat kering gantikan minyak badam dengan minyak jojoba.

3. KURANGKAN KEMERAHAN

Bila wajah ditumbuhi jerawat, kesan kemerahan akan nampak ketara. Malahan, ruam-ruam halus di muka juga akan membuat kita berasa malu dan tak selesa. Apa kata cuba petua mudah ni.

Bahan-bahan:
1 biji putih telur
1 sudu teh madu asli
1 sudu teh jus lobak merah
1 sudu teh bawang putih (dilenyek)

Cara-cara:
Pukul putih telur hingga kembang. Campurkan bahan-bahan lain. Sapukan di seluruh muka atau di kawasan yang ada kesan kemerahan. Biarkan selama 20 minit.

4. MELEMBAPKAN WAJAH

Bagi mereka yang mempunyai kulit yang kering atau terlampau kering, bolehlah cuba buat masker mudah ini. Khasiatnya, membantu melembap dan meremajakan kulit.

Bahan-bahan:
1/2 sudu teh madu asli
1 biji kuning telur
1 sudu besar susu tepung

Cara-cara:
Campurkan semua bahan. Sapukan di muka dan biarkan selama 20 minit. Jika nak masker tahan lama dan boleh digunakan semula, jangan menggunakan tangan. Seeloknya ambil secukupnya saja dan bakinya disimpan di peti sejuk.

5. MEMBERSIHKAN PORI YANG TERSUMBAT

Apabila sering mengenakan solekan dan tak mencuci wajah dengan betul, liang pori-pori di wajah akan tersumbat. Ini akan menyebabkan berlakunya keradangan yang mengakibatkan tumbuhnya jerawat, bintik hitam dan putih. Bagi mengatasi masalah ni, anda boleh mencuba tip ini.

Bahan-bahan:
1/2 sudu teh yogurt
1 sudu teh jus oren
1 sudu teh jus lobak merah
1 sudu teh minyak badam

Cara-cara:
Campur semua bahan dan sapu ke seluruh wajah kecuali kawasan mata. Jika anda mempunyai kulit yang berminyak atau mempunyai tompok-tompok hitam, tambah 1 sudu teh jus lemon di dalam bahan tadi. Jika kulit anda terlalu kering, tambahkan minyak badam 1 sudu teh lagi.

6. MENCERAHKAN WAJAH

Masker ini akan membuang segala kekotoran yang tersumbat di pori-pori dan membersihkan sel-sel kulit mati. Ia akan menjadikan kulit bertambah lembut, cerah dan bersih.

Bahan-bahan:
2 sudu teh serbuk badam
1 sudu teh air mawar
1/2 sudu teh madu asli

Cara-cara:
Campur semua bahan sehingga menjadi pes. Sapukan lapisan yang nipis di wajah. Untuk hasil yang terbaik, cuci muka menggunakan air mawar yang telah disejukkan terlebih dahulu.

7. MENGHALUSKAN KULIT

Jika anda mempunyai kulit yang kusam, kasar dan warna tak sekata apa kata cuba maskeri ni.

Bahan-bahan:
2 sudu teh oat (kisar halus)
2 sudu besar kulit oren (kisar halus)
Sedikit yogurt

Cara-cara:
Campur semua bahan dan sapu di muka dengan lapisan yang nipis. Jika anda mempunyai kulit kering campurkan dengan yogurt secukupnya. Sebaliknya, jika ada masalah kulit kering, gantikan yogurt dengan minyak badam.

8. MENGANJALKAN KULIT

Kebaikan kentang yang kaya dengan vitamin C mampu menganjal dan menegangkan kulit. Jika anda berusia lebih 25 tahun dan ke atas, masker ini sangat sesuai untuk melambatkan proses penuaan.

Bahan-bahan:
1 sudu besar jus kentang
1 sudu besar tepung kacang kuda

Cara-cara:
Campur kedua-dua bahan dan sapu rata ke muka. Jika kulit berminyak, boleh tambahkan sedikit minyak zaitun dan jus lemon. Jika berkulit kering, tambahkan sedikit minyak zaitun dan yogurt. Sesuaikan kepekatan pes tersebut.

Kredit Foto: www.pexels.com

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

Share
Published by
Amy Mohd