8 Tahun Ceburi Bisnes Muslimah, DATIN DIYANA HALIK Bukti Mampu Jadi Usahawan Berjaya!

Diam tak diam, dah lapan tahun rupanya jenama Diyana Halik berada di pasaran. Sebagai Pengasas label muslimah ini, pastinya kejayaan Datin Diyana Halik yang tidak lelah mengangkat martabat wanita muslim patut jadi inspirasi.

Mana tidaknya, walau berstatus isteri dan ibu kepada tiga anak, dia tetap mampu mengusahakan perniagaan dengan baik. Buktinya, produk keluaran empayar muslimah Diyana Halik sudah bertapak di pasaran sejak lapan tahun lalu. Tahniah!

Bermula dengan hanya menjual tudung jenis selendang, square dan instant, jenama yang diasaskan pada tahun 2014 ini nyata memberi pulangan menguntungkan buat isteri Dato’ Aaron Aziz. Biarpun sibuk mengurus kerjaya seni suami dan anak-anak, Datin Diyana tetap komited mahu bergelar usahawan berjaya.

Kegigihan wanita kelahiran Singapura ini jelas menunjukkan sifatnya yang berdaya saing. Walau kerjaya suami mampu menyara mereka sekeluarga namun Datin Diyana selesa berdikari.

Lapan tahun mengemudi perniagaan, Datin Diyana mampu tersenyum bangga apabila satu persatu produk jualannya mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan.

Mesra ditemu bual Nona, Datin Diyana Halik mendedahkan pencapaian bisnes miliknya. “Sehingga sekarang, jenama Diyana Halik sudah pun mempunyai lebih daripada 40 koleksi sejak ia dilancarkan pada tahun 2014. Our collections now termasuk telekung dress, reusable face mask dan juga aksesori pakaian yang bersesuaian dengan para hijabi serta muslim women.

Lebih membanggakan, koleksi label Diyana Halik turut merangkumi busana seperti khimar dan kaftan. Sesuai buat wanita untuk menyarung busana tersebut ketika menunaikan ibadah umrah dan haji atau menyertai majlis-majlis ilmu.

Turut terkesan dengan situasi pandemik Covid-19, figura ini terpaksa mengubah strategi pemasaran yang lebih tertumpu secara atas talian. “Waktu Covid-19 kita full fledge online. Segalanya di buat in-house. Zoom meetings, photo shoots and video shoots dan sebagainya. Literally di rumah. LIVE sale

di FB dan juga IG.

Bila berlakunya situasi macam ni antara hikmah yang saya dapat ialah kita mula menjadi creative to survive and sustain. Malah, dapat fokus lebih untuk ibadah dan meluangkan lebih masa dengan keluarga. More game nights and girls talk!”

Tidak pernah lelah ‘berkejar’ masa menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan majikan, wanita cantik yang bakal meniti usia 40 tahun ini juga seorang yang aktif menyertai aktiviti kebajikan. Naluri keibuan dan jiwa prihatinnya mudah tersentuh lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal kehidupan anak kecil.

“Saya sering mendapat DM (direct message) untuk pertolongan. Dan kita perlu bersyukur kepada Allah SWT atas setiap nikmat yang diberikanNya. Bagi saya, salah satu cara untuk bersyukur adalah dengan membuat kebajikan. Walaupun kita tak dapat menolong semua orang dengan wang ringgit tapi kita boleh menggunakan media sosial kita untuk ke arah kebaikan.

Alhamdulillah, melalui Pertubuhan Journey to Insyirah kita dapat menghulurkan bantuan berupa food pack kepada orang-orang yang memerlukan. Selain itu, saya pun terlibat dalam charity drive to Cambodia

iaitu wakaf telaga dan rumah yang dilakukan bersama kawan baik saya, Mila di Singapura.

Saya selalu ingat apa yang Ustaz saya pesan, “Kalau di dunia nak hidup senang bawa Mercedes ke, BMW ke, akhirat tak nak senang ke? Kalau di akhirat dah tak boleh usaha dah. Kalau kerja dapat gaji alangkah best dapat bonus.” So kita cuba mendapatkan bonus di akhirat kelak. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kami. Ameen.”

Hasil perkongsian hidup Datin Diyana dan Dato’ Aaron Aziz, mereka dikurniakan seorang anak lelaki dan dua anak perempuan iaitu Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa.

 

 

Kredit foto: Instagram Datin Diyana Halik

Share
Published by
Suzi