Bergelar usahawan berjaya, kaya serta ternama di Malaysia sedikit pun tidak merubah pendirian jejak berusia 31 tahun ini yang merupakan pengasas Charismatic Leaders Academy (CLA). Said Saiful Fazli turut bertindak selaku motivator dan penasihat perniagaan. Mesra disapa sebagai Said, anak kelahiran Pahang ini memiliki aura tersendiri sebagai seorang pemimpin berkaliber.
“Saya tidak berminat untuk makan gaji kerana tidak suka terikat. Saya memilih untuk berniaga dengan harapan dapat menguruskan masa sendiri secara fleksibel. Apatah lagi saya anak tunggal sudah tentu banyak tanggungjawab terhadap ibu bapa. Mulanya niat hanya untuk cuba-cuba dan ambil pengalaman dalam jualan langsung namun tidak sangka pula ia menjadi serius sehinggalah saya meletakkan jawatan sebagai Pegawai Veterinar di Kuantan,” kongsi Said.
Said mempunyai beberapa mentor yang sentiasa memberikannya motivasi antaranya Azlan Deraman, Siti Rohana Yusuf, Tuan Jerry Rizal dan Azizan Osman. Mereka sentiasa menjadi kompas buat Said untuk mendaki kejayaan.
“Walaupun sudah memiliki apa yang diimpikan selama ini namun saya masih memerlukan mentor-mentor saya itu sebagai penasihat dan menjadi kompas untuk melangkah lebih jauh. Dalam hidup kita perlukan bimbingan dan panduan. Jangan pernah merasa diri kita sudah terlalu hebat setelah memiliki segalanya. Itu hanyalah pinjaman sementara kita di dunia,” jelas Said.
PERNAH JATUH
Lapan tahun menceburkan diri dalam perniagaan Said juga tidak terlepas daripada episod ‘kejatuhan’ berpunca daripada cara pemasaran terdahulu yang tidak tepat.
“Masa ni buat saya rasa down sangat. Saya terpaksa korek semula duit untuk langsaikan duit kereta, rumah, bil-bil dan sebagainya. Semasa fasa itu saya cuma ada dua ribu ringgit. Masa itu tiada seorang pun tahu masalah saya termasuklah mak ayah. Luaran tetap nampak hebat tapi Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa masa itu. Saya terpaksa positif dan sama sekali tidak akan tunjuk kesusahan yang dialami.
Saya banyak laburkan wang keuntungan dengan menghadiri seminar-seminar. Saya akan ingat kejatuhan itu sebagai titik mula terciptanya CLA. Kegagalan mengajar sesuatu yang lebih baik. Selepas enam bulan buat CLA jualan korset terus mencecah ke angka 1 juta.
Enam bulan pertama terpaksa buat semuanya. Ke sana ke sini mencari pembeli dan rakan niaga sedangkan orang sudah hilang kepercayaan. Saya kembalikan kepercayaan mereka dengan mencipta CLA dengan kerja keras. Akhirnya saya berjaya memperoleh pendapatan sebanyak enam angka sebulan. Alhamdulillah saya berjaya melunaskan hutang termasuk baki bayaran rumah. Dapatlah mak ayah tinggal dengan selesa di situ. Dulu kami sekeluarga tinggal di rumah papan dalam suasana kampung. Itu pun tumpang duduk sebelah rumah nenek atas tanah milik mereka.
Selepas saya tingkatan empat barulah ayah ada rumah lain. Teres kecil saja tetapi itulah yang menjadi kekuatan buat saya untuk membawa mak ayah keluar dari belenggu kesusahan. Merekalah tulang belakang saya,” ungkap Said yang tidak suka bertangguh.
NASIHAT
“Buat generasi muda jangan habiskan usia muda anda dengan perkara yang tidak menjanjikan manfaat untuk masa tua. Ketika mudalah masa untuk mencuba banyak perkara. Ketahuilah dunia perniagaan amat menyeronokkan. Saya sendiri masih memperjuangkan perniagaan jualan langsung yang kini masih relevan.
Pilihan di tangan kita. Maka saya memilih untuk banyak membantu kerana impian saya mahu melahirkan lebih ramai jutawan di Malaysia. Seiring dengan era digital masa kini saya pastikan diri juga tidak ketinggalan. Saya mensasarkan umur 40 tahun untuk memperlahankan aktiviti perniagaan,” akhiri Said. AMY MOHD