Lapan tahun menanti kehadiran cahaya mata akhirnya kini Eriyca Baiduri atau mesra disapa Madammu bergelar seorang ibu. Selepas berdepan dugaan untuk hamil semula jadi, ikhtiar ibu ini menjalani rawatan kesuburan IVF sukses dan anak Madammu kini sudah pun mencecah usia setahun!
9 Jun 2023 menjadi detik terindah buat usahawan kecantikan dan kosmetik, Noir Health and Beauty ini apabila selamat melahirkan zuriat sulung iaitu bayi lelaki yang diberi nama Ahmad Kayden.
Beberapa hari sebelum menjelang hari lahir pertama anak kesayangan, Madammu berkongsi foto suami tercinta mendukung Ahmad Kayden sambil meluahkan rasa syukurnya atas anugerah terindah tersebut.
“8 tahun penantian, 2 kali MRI, 2 kali operate unblock and remove follopian tube, 10 hari injection hormone, 1 kali ditidurkan untuk ovum pick up, berbulan-bulan ulang alik hospital, 3 bulan bedrest, 2 kali spotting, RM200k spent, 5 orang doktor pakar sepanjang pregnancy and finally you are here! Lagi 6 hari Kayden masuk 1 tahun.”
Ujarnya lagi, “Pada awal Madammu dah reda dan cukup dengan 3 orang anak Zahara, Qally dan Ahmadhi sangat sangat bersyukur dah. Tapi siapa sangka dapat juga Madammu merasa the feeling “butterfly” ketika Kayden berusia 5 bulan dalam kandungan. Perancangan Allah terlalu sempurna.”
Terbaharu anak Madammu ini genap meniti usia setahun dan sebagai meraikan ulang tahun kelahiran anak tersayang, dia bersama suami mengadakan majlis keraian serba eksklusif dan indah.
Bertemakan warna biru lembut, majlis hari lahir Ahmad Kayden dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat Madammu sekeluarga.
“Hari ini genaplah setahun Ahmad Kayden dan gambar ini khas untuk aunties yang follow Journey IVF Mummy saya dari awal sehingga saya dilahirkan.
Ya saya tahu muka saya macam papa saya. Tapi bagi la sikit dekat mummy saya.”
Menerusi perkongsian momen itu juga, Madammu terbuka berkongsi wajah terkini Ahmad Kayden kepada followers kesayangan.
Usahawan jelita bernama Eriyca Baiduri ini berkahwin dengan Muhammad Azri Che Noh pada tahun 2015 yang berstatus duda dan mempunyai tiga orang anak iaitu Zahara, Qally dan Ahmadhi.
Makin Dikenali & Jadi Rujukan, USANITA Anjur Bootcamp Perintis Bantu Luaskan Jaringan Usahawan!
Selepas kejayaan menjadi penaja utama dan penerima Nona Superwoman Award 2022, USANITA kian melangkah laju melahirkan usahawan berpotensi seluruh negara.
Menerusi pimpinan Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, syarikat pemudahcara di antara usahawan dan pihak kerajaan atau badan-badan berkaitan keusahawanan ini makin dikenali dan ‘diserbu’ individu yang mahu berjaya dalam perniagaan. Tahniah!
Berkongsi perkembangan terbaharu USANITA, misi membantu ahli perniagaan khususnya B40 dan M40 terus diperluas. Kali ini, Bootcamp Perintis USANITA 2.0 bakal membuka tirai.
“Lepas Nona Superwoman Award hari itu, USANITA dapat good feedback. Ramai yang dah lebih tahu apa yang USANITA buat. Dalam masa sama, kami dapat banyak networking daripada majlis penganugerahan tersebut.
Jadi kini USANITA mengadakan seminar yang kami gelar Bootcamp Perintis USANITA 2.0 yang akan diadakan pada 24 hingga 26 Februari ini di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
Kami akan sediakan lebih 15 inti pati program yang dimeriahkan barisan speaker dalam industri masing-masing. Antaranya Datuk Rosyam Nor, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Rizman Ruzaini, Linda Rafar, Sharifah Khasif dan Zoey Rahman.”
Tidak ketinggalan, Bootcamp ini juga mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan seperti MARA dan MATRADE. Ia penting bagi memudahkan golongan usahawan mendapatkan sebarang khidmat dan nasihat secara terus ketika berlangsungnya program itu nanti.
Mengulas agenda tahun 2023, Datin Adzliana atau mesra disapa Datin Nana memberi fokus terhadap platform beli-belah melibatkan usahawan di bawah kendaliannya iaitu USANITA Mall.
“Kelebihan USANITA Mall ini dengan platform yang lain ialah kami akan bantu para usahawan untuk jaga visual produk mereka supaya nampak kemas dan lebih menarik. Kami di USANITA turut akan memberi tunjuk ajar bagaimana visual yang baik dapat membantu penjenamaan mereka ketika berada di platform online.”
Ditanya mengenai penganjuran seminar di Borneo seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, jelas Datin Nana, “Buat masa ini Bootcamp di Borneo masih lagi dalam perancangan. Mungkin kali ni akan fokus dahulu pada program bootcamp yang akan dilakukan di WTC, KL dan beri laluan pada bulan Ramadan dahulu memandangkan bulan Ramadan akan bermula tidak lama lagi.”
Baru-baru ini, satu lagi sejarah berjaya dilakar apabila USANITA menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dan e-Entrepreneurs Women Association Malaysia (EWA) untuk memperkasa ekonomi wanita dan pelajar.
Pada 10 Februari lalu, USANITA turut mengadakan kunjung hormat ke atas Yang DiPertua TYT Negeri Melaka Tun Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam. Turut hadir sama ialah Timbalan Speaker DUN Melaka iaitu Datuk Dira Abu Zahar.
DATIN SERI HAFLIN Belum Sedia Dedah Wajah Anak, JP Sudah Berusia 2 Tahun
Datin Seri Haflin Saiful isteri kepada bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz memang sangat terkenal sebagai seorang wanita yang sangat berani menyuarakan pendapat sendiri tanpa menghiraukan apa yang bakal diperkatakan oleh orang ramai tidak kira positif mahupun negatif.
Malahan, Datin Seri Haflin juga seorang wanita mempunyai pendirian yang tetap kerana sehingga kini beliau masih dengan keputusan untuk menyembunyikan anak lelakinya dengan nama singkatan JP yang kini sudah berusia 2 tahun daripada tatapan umum. JP dilahirkan di Perancis dan huruf JP disebut sebagai J- Ji dan P-Pe’ dalam bahasa Perancis.
“Saya tidak tahu bila. Jangan salah anggap, saya cuma tidak berminat untuk berkongsi gambar anak lelaki saya kepada beberapa orang yang masih ‘hidup kepalsuan’. Tapi untuk pengikut saya yang setia, akan tiba masanya suatu hari nanti. Terus bersabar dengan kami”, jelasnya dalam salah satu entri di laman instagram miliknya.
Mungkin ibu kepada seorang cahaya mata ini mempunya alasan yang tersendiri kenapa masih berahsia tentang identiti anak lelakinya itu. Lebih lagi apabila sebelum ini kecoh seketika tentang salah faham dan ‘perang’ media sosial bersama anak tirinya sehingga mendapat perhatian netizen. Walaupun ditohmah dengan pelbagai kata-kata negatif, Datin Seri Haflin tidak mudah melatah dan sentiasa berfikiran positif.
Namun, jangan terkejut dengan gayanya yang dilihat begitu feminin dan lemah lembut serta mempunyai sifat keibuan yang sangat penyayang, Datin Seri Haflin rupa-rupanya memiliki tali pinggang hitam dalam sukan Taekwando! Berkemungkinan besar, sukan Taekwando ini yang mengajar Datin Seri Haflin untuk bersikap protective terutamanya kepada keluarga tersayang, bukan? Selain itu, beliau juga pernah menjadi pengacara sebuah rancangan televisyen suatu ketika dahulu.
Bina Keluarga Bahagia ‘Tiru’ Acuan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Dan Ustaz Wan Akashah
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.