Mata tanpa maskara seperti jendela tanpa penutupnya. Solekan kurang menyerlah, walau anda bersungguh merias pembayang mata.
Menyedari kesan dramatik dari helaian bulu mata yang panjang dan melentik, penggunaan alat kosmetik seperti maskara berkesan untuk menjelmakan solekan memukau dengan serta-merta.
Ikuti tip di bawah untuk mengaplikasi sapuan maskara agar ia kekal lama tanpa kesan comot atau bergumpal. Paling penting, tak perlu pakai bulu mata palsu pun untuk dapatkan kesan melentik yang natural.
8 CARA MUDAH
- Pilih maskara dengan berus atau wand yang tepat. Full wand dicipta untuk menambah volume bulu mata, skinny wand untuk memanjangkan, curved wand untuk curl atau lentikkan bulu mata jenis lurus dan comb wand untuk menyikatnya.
- Selepas mengadun debu pembayang mata, layangkan maskara di atas bulu mata yang bersih. Lapisan maskara akan berketul jika masih ada sisa maskara lama.
- Gunakan alat pelentik bulu mata jika anda memiliki bulu mata pendek. Elak dari mengepit bulu mata terlalu kuat, selama lebih kurang 30 saat.
- Sapukan maskara asas atau berfiber untuk memanjangkan bulu mata anda. Ia berwarna putih dan perlu disapu dari arah pangkal bulu mata hingga ke hujung.
- Mula mengacu berus dari arah sebelah dalam mata (hidung) menuju ke luar, satu-persatu dengan gerakan zig-zag.
- Kenakan juga pada bulu mata bawah untuk mencipta kesan mata yang besar. Jangan sapukan ke seluruh barisan tetapi hanya di bahagian luar mata sahaja.
- Sapukan lapisan maskara baru di atas dan bawah bulu mata SEBELUM lapisan pertama kering. Jika tidak, ia akan gugur dan masuk ke dalam mata.
- Apabila maskara kering, nyahkan ketulan yang tinggal dengan sikat bulu mata. Ini juga membuatkan bulu mata anda lebih semula jadi.
TIP JURUSOLEK PROFESIONAL
- Semasa menyapu lapisan awal maskara, tumpukan pada bahagian akar/pangkal bulu mata untuk menebalkannya.
- Lapik bawah bulu mata dengan tisu atau span untuk mengelakkan pemakaian maskara daripada comot.
- Elakkan dari mengepam berus maskara keluar-masuk tiub, sebaliknya hanya masukkan dan pusing beberapa kali.
- Bagi mengelakkan maskara bergumpal, lapkan hujung berus dengan tisu dan sapu dengan cermat. Penyikat bulu mata juga boleh membantu.
- Sekiranya anda memakai kanta lekap, gunakan maskara kalis air dan selamat untuk pengguna kanta lekap.
- Buang sahaja maskara yang sudah melebihi tempoh 3-4 bulan! Ketika ini, berus maskara sudah dijangkiti bakteria dan dikhuatiri akan berpindah ke mata anda.
WASPADA!
Sekiranya anda mengenakan maskara kalis air, pasti sukar menanggalkannya tanpa pencuci solekan mata yang khas. Melaburlah pada pencuci yang berkualiti, lembut dan berkesan agar bulu mata sentiasa sihat.