Bermula dari sekadar cinta pandang pertama, hari ini pasangan jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei dan Datin Wong Mew Choo berkongsi momen anniversary ke-9 mereka disamping dua cahaya mata tersayang, Kingston dan Terrance.
Paling menarik perhatian apabila bekas pemain nombor satu di dunia itu turut ‘mengusik’ si isteri dengan isu viral, ikan siakap Langkawi.
“Ulang tahun perkahwinan kali ini ‘low-key’ sikit. Tapi saya akan belikan ikan siakap dari Langkawi itu (untuk kamu).” Datuk Lee Chong Wei
Gurauan beliau mencuit hati peminat yang rata-ratanya mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut di media sosial.
LUCU
Kisah pertemuan kali pertama pasangan Datuk Lee Chong Wei dan Datin Wong Mew Choo pernah viral tahun lalu, apabila jaguh badminton itu berkongsi bagaimana beliau mula menyimpan perasaan terhadap isterinya seawal usia 15 tahun.
“Suatu masa dahulu, ada seorang budak mentah kurus kering umur 15 tahun naik bas dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bagi menyertai kejohanan badminton. Penuh semangat bagi membuktikan kemampuannya dan cuba menempatkan diri dalam skuad kebangsaan.
Namun, pada penyertaan pertamanya dia hanya dapat beraksi dalam acara beregu campuran dan bukan acara kegemarannya iaitu perseorangan tetapi dia tetap bersemangat.
Memasuki dewan pertandingan, dia sangat fokus dan dalam otak cuma nak menang saja. Hanya fikir mengenai taktik lawan, strategi, tiupan angin dan keadaan dewan, gelanggang sebelah mana lagi ‘Ong’ dan kata-kata motivasi daripada coach.
Namun, semua persiapan mental itu masuk longkang apabila dia melihat gadis berusia 14 tahun wakil Selangor. Cara dia jalan masuk gelanggang, memanaskan badan… sangat elegan, sangat cantik. Lemah terus lutut itu budak Penang (Pulau Pinang).
Nak minta nombor telefon tetapi dia dijaga oleh kakak dan ibu bapanya. Jadi, budak mentah itu merasakan satu cara mencuri perhatiannya adalah dengan kemenangan di dalam gelanggang.
Dalam kejohanan itu, semua pukulan smash, drop dive dan chop adalah untuk mengagumkan dia. Setiap kali mengutip mata, matanya curi-curi mencari di sekeliling mengharapkan dia melihatnya.
Budak mentah itu adalah saya dan bidadari di gelanggang itu sudah pasti isteri saya Wong Mew Choo.” Datuk Lee Chong Wei
ROMANTIS
Mendirikan rumah tangga sejak 2012, tarikh 10 November setiap tahun pastinya menjadi hari istimewa buat Datuk Lee Chong Wei dan Datin Wong Mew Choo.
Lelaki kelahiran Bagan Serai, Perak itu menerusi hantaran di media sosial menampilkan sisi lucu dan romantiknya dalam satu ucapan istimewa yang ditujukan khas buat isteri yang nyata mencuit hati peminat.
Beliau dalam masa sama, turut mengimbas kembali saat melamar isterinya dalam keadaan gementar.
“Saya tidak tahu bermimpi sehingga saya bertemu kamu. Beberapa tahun lalu, ketika saya melamar kamu di Gold Coast, ia adalah merupakan saat yang paling gementar dalam hidup saya.
Lebih gan-jiong (pinjam sikit ayat Boon Heong) daripada perlawanan akhir Olimpik. Lebih gan-jiong dari mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Saya berlatih banyak kali (untuk melamar), tetapi apabila saya membuka mulut saya masih gagap dan lari dari nada.
Jantung saya jatuh apabila kamu berdiam selepas saya bertanyakan soalan itu. Adakah saya tidak baik? Saya tidak hensem? Saya lihat di cermin, bukan Andy Lau tetapi masih boleh cari makan muka saya.
Tetapi nasib baik, selepas lama berdiam, kamu menitiskan air mata dan bersetuju.” Datuk Lee Chong Wei
Tambahnya, beliau bagaikan tidak percaya apabila dapat disatukan dengan pilihan hatinya itu sejak mula jatuh hati ketika berusia 15 tahun.
“Sehingga hari ini saya bagaikan tidak percaya, kita bersama. Dengan dua anak dan dengan masa depan yang saya tidak sabar untuk harungi bersama kamu.
Saya berjanji dengan ibu bapa awak yang saya akan melindungi awak.
Saya masih berpegang kepada janji itu. Matahari dan langit juga sanggup saya curi untuk kamu, sekiranya kamu mahu.”
Sumber: Instagram Datuk Lee Chong Wei
This website uses cookies.