Siapa masih ingat dengan Datuk Shake? Penyanyi legenda sepanjang zaman. Semestinya figura ini masih dirindui meskipun sekian lama menetap di bumi Perancis sejak tahun 70an. Datuk Shake kini bahagia bersama isteri, anak-anak serta cucu di sana.
Datuk Shake atau nama sebenarnya ialah Datuk Sheikh Abdullah Ahmad Bahweres masih diingati sehingga kini. Lagu-lagu dendangannya sejak dulu sampai sekarang kekal menjadi siulan. Bak kata pepatah, malar segar!
Di era kegemilangannya, nama anak jati Johor berketurunan Yaman ini melonjak dengan beberapa lagu ‘berhantunya’ seperti Umi, Anugerah Dari Kegagalan dan Lina.
Menyingkap perjalanan awal karier seninya, Datuk Shake ‘terbang’ keluar negara untuk membina nama pada usia 22 tahun. Beliau membawa bakat yang ada dengan menyanyi di kelab malam. Ternyata, percaturannya ketika itu membuahkan hasil. Namanya dikenali ramai di bumi Perancis.
Memiliki bakat dan vokal bertaraf ‘international’ Datuk Shake berjaya membuktikan kehadirannya dalam industri seni berimpak tinggi. Tak hairanlah bakatnya diterima sampai ke Perancis termasuklah negara-negara Eropah. Datuk Shake juga membuktikan beliau mampu membawa lagu-lagu berbahasa Perancis. Hebatnya!
Untuk info, Datuk Shake memiliki 10 buah album termasuk ‘Kau Bungaku’ pada 1983, Bicara Tentang Cinta (1984), Cinta Dan Hidup (1984) dan Chameleon (2012).
Menariknya lagi, di bumi Perancis jugalah Datuk Shake bertemu jodoh dengan isterinya, Datin Melina Shake Abdullah yang merupakan wanita Perancis berketurunan Czechoslovakia. Mereka dikurniakan empat anak iaitu sepasang anak kembar Nicholas dan Amaro, Natacha serta Mina.
ANAK KEMBAR WARISI KETAMPANAN
Bercakap tentang anak kembar Datuk Shake iaitu Nicholas dan Amaro, mereka mewarisi wajah tampannya ketika muda.
Amaro atau nama sebenarnya Amaro Aizul Shake memiliki karakter yang tegas dan tidak mudah tersenyum. Pemikirannya juga lebih matang dari usia sebenar. Manakala Nicholas Shake seorang pelakon yang sedang mencipta nama di Hollywood dan pernah membintangi filem-filem hebat.
Selain mempunyai beberapa orang pembantu, segala aktiviti seni Datuk Shake diuruskan oleh isterinya.
Sungguh pun sibuk dengan karier seni, Datuk Shake tetap tidak lupa akan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa. Datuk Shake begitu menitikberatkan soal pendidikan anak-anaknya.
Dari sudut didikan agama kepada isteri dan anak-anak pula, katanya: –
“Saya mengajar sendiri isteri dan anak-anak mengaji ketika berada di rumah. Saya terangkan juga tentang ajaran Islam agar mereka tahu tentang latar belakang keluarga kami. Alhamdulillah anak-anak boleh terima apa yang saya ajar kepada mereka,” kata Datuk Shake seperti yang dikongsi kepada Utusan.
Biarpun usianya sudah mencecah 70 tahun namun Datuk Shake kelihatan masih kacak dan bertenaga. Selain rajin bermain tenis Datuk Shake mendedahkan: –
“Pada usia menginjak ke 70 tahun, saya masih mengikuti latihan vokal. Itulah yang ‘memudakan’ kita. Selain latihan vokal, nak kena jaga makan serta kesihatan dan kecergasan badan.”
Kredit Foto: IG Dato’ Shake & Datin Melina