Tiba-tiba perasan semua mata memandang. Oh malunya! Wajah berkilat dan berminyak umpama dilumur minyak menggoreng ikan. Rasa rendah diri dan tidak yakin terus menerpa. Apakah yang perlu dilakukan?
Sebenarnya semua orang mempunyai kulit yang berminyak cuma yang membezakan sedikit atau banyak. Ini kerana kulit menghasilkan minyak yang berfungsi sebagai pelindung kulit daripada bahaya luar seperti pencemaran dan debu. Bahaya luar ini boleh menerobos masuk ke dalam pori-pori kulit yang menjadi pemangkin pertumbuhan jerawat.
Selain itu, minyak pada kulit berfungsi sebagai cairan yang mampu menjaga keremajaan kulit serta menjadikan kulit lebih kenyal. Namun, jika minyak di bawah kulit berlebihan mewujudkan masalah baru dan mencacatkan penampilan.
PUNCA UTAMA
(a) Makanan berlemak
Makanan yang mengandungi lemak jika diambil secara berlebihan menyebabkan berlaku penimbunan lemak di bawah kulit. Lemak di bawah kulit ini merangsang lebihan minyak sehingga menyebabkan kulit berminyak.
(b) Hormon tidak seimbang
Wanita mengalami perubahan hormon dalam hidupnya seperti ketika menstruasi, hamil dan menopaus. Perubahan hormon dalam badan merangsang penghasilan minyak yang berlebihan di bawah kulit.
(c) Salah pilih kosmetik
Alat kosmetik mengandungi bahan kimia dan sebagai wanita perlu berhati-hati memilih kosmetik. Jika kosmetik tersebut tidak sesuai dengan kulit boleh menyebabkan kulit berminyak, iritasi dan kulit wajah sensitif.
(d) Genetik
Cuba perhatikan wajah kedua ibu bapa dan adik- beradik yang lain. Jika kebanyakan daripada mereka memiliki wajah yang berminyak ini bermakna faktor keturunan. Faktor ini tidak boleh dicegah tetapi boleh diatasi.
(e) Ubat-ubatan
Jika anda berada dalam pemantauan doktor dan perlu makan ubat-ubatan, kulit berminyak mungkin datang daripada pengambilan ubat-ubatan ini.
(f) Stres
Sebagai tindak balas terhadap stres, tubuh menghasilkan minyak berlebihan dan membuat wajah nampak berkilau dari jauh. Hamizatul Maizan Mohamed
Kejelitaan Terserlah Di Usia 43 Tahun! AISHAH SINCLAIR ‘Enthusiast’ Amal Gaya Hidup Aktif & Sihat!
Kalau tengok susuk tubuh ramping dan rupa parasnya pasti ada yang beranggapan umur penyampai radio ini berada dalam lingkungan lewat 20an. Hakikatnya, Aishah Jennifer Mohamed Sinclair sudah pun berusia 43 tahun. Memang awet muda dan cantik orangnya!
Bergelar ibu kepada dua orang anak, Aishah Sinclair merupakan anak kepada pasangan Mohamad Anthony John Sinclair dan Khadijah Abdul Rahman.
Bapanya berketurunan Inggeris sementara ibu Aishah pula keturunan Melayu. Jadi, tidak hairanlah bintang Gol & Gincu ini kekal cantik. Mewarisi gen cantik kedua-dua ibu bapa.
Malah adik-beradik lelaki Aishah juga iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair dan adiknya, Adam Sinclair yang merupakan suami penyanyi Yuna turut memiliki rupa paras kacak.
Difahamkan Aishah gemar menjalani gaya hidup aktif dengan menyertai pelbagai program larian dan marathon. Hobi itu dikatakan mula terbit sejak dia menemani bapa tersayang suatu ketika dulu.
Aishah Sinclaire Masih Amal Gaya Hidup Sihat Di Usia 43 Tahun
Sehingga ke hari ini Aishah telah menyertai lima marathon di peringkat luar negara dan tiga daripadanya di Jepun. Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah menyertai ekspedisi mendaki Everest Base Camp kira-kira empat tahun lalu.
Mendirikan rumah tangga bersama Sheikh Abdul Shahnaz pada tahun 2006, perkahwinan Aishah dan suami lebih bermakna dengan kehadiran dua puteri comel mereka iaitu Soraya Ann dan Aina Elisabeth. Januari lepas merupakan ulang tahun perkahwinan ke-17 Aishah dan suami tercinta!
Yang pasti, jelitawan ini seorang yang sangat mementingkan ikatan kekeluargaan. Bukan hanya rapat dengan kedua-dua ibu bapa dan adik-beradik bahkan Aishah cukup mementingkan waktu berkualiti di samping suami dan anak-anak.
Buktinya, ketika menjalani sesi fotografi Nona 3 Dekad hampir sembilan tahun lalu, Aishah banyak bercerita tentang anak tersayang. Selain terbuka berkongsi sisi peribadi, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga seorang yang bercita-cita tinggi dan mesra.
Petua Kecantikan Anda?
“Saya menggunakan pencuci, pembersih dan pelembap wajah untuk menjaga kesihatan kulit muka. Selain itu, demi memastikan kesihatan yang baik saya akan minum air putih
secukupnya sekurang-kurangnya 2 hingga 3 liter sehari dan melakukan senaman.
“Memandangkan kulit saya sangat sensitif terhadap matahari, saya turut mengamalkan pemakaian bedak sejuk,” ujarnya.
Inspirasi Anda?
“Dalam dunia fesyen, saya meminati Audrey Hepburn. Manakala bekas wartawan perang CNN, Christiane Amanpour pula adalah individu yang saya kagumi untuk dijadikan sebagai
contoh dalam kerjaya. Sikap berani dan komited beliau begitu menarik perhatian saya,” jelas jelitawan ini.
Kehidupan Peribadi Anda…
“Saya berasa amat bersyukur dan bahagia kerana dikurniakan dua orang puteri, Soraya Ann dan Aina Elisabeth. Kehidupan saya lebih bermakna sejak bergelar ibu kepada dua orang puteri yang menyerikan lagi rumah tangga kami sekeluarga,” jelansya.
Fesyen Pilihan?
“Simple & Comfort! Saya gemar mengenakan jacket, jeans dan shirt untuk gaya harian dengan penggayaan warna seperti hitam, kelabu, putih atau coklat,” katanya.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber foto: Instagram Aisyah Sinclair
Kalau Mahu Tampak Cantik Luar Dalam TOLONG Jangan Abai Bahagian Intim
Wanita adalah insan yang cukup istimewa.Maka sebab itulah wanita perlu bijak menghargai diri sendiri. Selain menjaga kecantikan luaran untuk tampil sempurna, aspek kesihatan diri jangan sesekali dilupakan. Tidak hanya penjagaan kecantikan wajah sahaja yang harus diberikan perhatian, soal penjagaan organ intim usah dipandang sepi.
Bagi wanita yang telah berkahwin, penyakit kelamin menjadi ancaman dalam hidup mereka. Aktiviti hubungan intim bersama pasangan memerlukan tahap penjagaan organ intim dengan lebih teliti. Jika diabaikan nescaya penyakit kelamin yang disebabkan oleh jangkitan virus, kuman, bakteria ataupun kulat boleh ‘menyerang.’
Di kalangan wanita yang belum berkahwin pula, pada kebiasaannya mereka mengalami masalah keputihan. Keputihan adalah cecair atau lendir yang keluar daripada alat sulit wanita. Keputihan yang normal tidak berbau dan tidak gatal. Tetapi lelehan keputihan yang banyak, berbau, gatal, warna kuning dan ada kalanya kehijauan, ia menandakan berlaku jangkitan bakteria, perasit atau virus.
Wanita yang mengalami masalah pada alat sulitnya sering berasa gelisah, runsing dan rasa rendah diri. Ia akan menjejaskan keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang ramai. Mereka akan berasa kurang selesa untuk berada lama di tempat awam kerana bau dan kegatalan bahagian peribadinya menyebabkan mereka ingin menjauhkan diri.
Sebagai langkah pencegahan, setiap wanita perlu menjaga kebersihan diri terutama bahagian peribadi ini. Oleh kerana bahagian peribadi wanita selalu lembap disebabkan berpeluh, lalu bakteria juga mudah membiak dan ia boleh mendatangkan bau yang tidak dikehendaki.
Berikut dikongsikan tip dan panduan untuk menjaga kebersihan dan kesihatan alat sulit wanita
1.Cuci tangan sehingga bersih sebelum mencuci alat kemaluan.
2. Cuci bahagian luar alat sulit dengan air bersih setiap buang air kecil atau besar.
3. Gunakan air bersih untuk mencuci bersama sabun khusus jika perlu.
4.Gunakan seluar dalam yang bersih.
5.Pakai seluar dalam yang selesa dan sebaiknya pilihlah daripada material kain kapas.
6.Gunakan pantyliner atau tuala wanita nipis bagi mereka yang mempunyai masalah keputihan.
7.Pasangan suami isteri digalakkan membersih alat kelamin dengan air sebelum dan selepas hubungan kelamin untuk kebersihan yang optimum.
8.Potong atau cukur rerambut pada bahagian peribadi untuk mengelakkan perpeluhan berlebihan dan pembiakan bakteria.
9.Pastikan alat pencukur atau gunting itu bersih.
10.Elakkan mengguna seluar dalam orang lain.
11.Sebaik-baiknya gunakan air suam untuk pencucian.
12. Sewaktu haid, gunakan tuala wanita yang sesuai. Sebaiknya ganti tuala wanita beberapa kali sehari.
13.Selepas membersihkan bahagian sulit, keringkan dahulu kemudian barulah pakai seluar dalam.
14.Anda boleh gunakan air sirih (rebus beberapa helai dauh sirih) untuk membersihkan alat sulit.
15.Elakkan daripada menggunakan produk haruman seperti bedak dan pewangi pada vagina. Ini kerana keseimbangan pH dalam vagina sangat sensitif.
Jangan Keluar Rumah Tanpa SUNBLOCK! 3 Doktor Wanita Ini Beri Tip Capai Impian Cantik
Kecantikan sememangnya agak subjektif untuk diperkatakan. Setiap wanita mahupun lelaki pastinya mahu kelihatan cantik dan bergaya demi meningkatkan keyakinan diri terutamanya ketika berada di khalayak umum. Penjagaan wajah dan tubuh menggunakan bahan semula jadi sememangnya membantu proses kecantikan tetapi umum sedia maklum ia mengambil sedikit masa berbanding penggunaan kaedah rawatan moden yang lebih dikenali sebagai medispa.
Tampil cantik dan memilih kaedah rawatan medispa sebagai gaya hidup, tiga orang doktor kecantikan ini gembira membantu wanita mahupun lelaki mengecap impian mereka terutamanya menjelang Aidilfitri.
PENJAGAAN KULIT SATU KEPERLUAN
Nama: Dr Ismaliza Ismail
Umur: 37 tahun
Pekerjaan: Doktor Kecantikan dan Anti Penuaan
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Ismaliza: Kecantikan dan wanita sememangnya tidak boleh dipisahkan. Wanita kini sudah semakin bijak untuk mendapatkan rawatan kecantikan dari mereka yang bertauliah. Jadi seandainya mereka mempunyai soalan mengenai produk dan kulit, mereka boleh berjumpa dengan orang yang sebetulnya, iaitu doktor yang mempunyai tauliah dalam bidang kecantikan.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Ismaliza: Pada pandangan saya, definisi cantik adalah kesempurnaan dari aspek luaran mahupun dalaman. Kita perlu menjaga kecantikan yang bermula dari dalaman iaitu sihat tubuh badan, barulah kesihatan luaran itu terserlah. Selain itu bukan sahaja kesihatan jasmani tetapi juga dari rohani. Aura positif dan fikiran yang selalu ke arah kebaikan. Itu sebenarnya cantik.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Ismaliza: Pada pandangan saya, wanita kini lebih bijak. Mereka tahu apa yang mereka perlu dan apa yang mereka tidak perlu. Dengan kecanggihan teknologi masa sekarang, wanita kini makin bijak untuk mendapatkan produk produk kecantikan untuk diri mereka dan servis kecantikkan untuk kulit mereka terutama menjelang musim perayaan. Wanita masa kini hanya perlu bijak dan mempunyai satu hala tuju dimana mendapat kulit yang sihat adalah satu kecantikan yang terkini. Jadi saya rasa, kecantikan dan wanita pada masa kini lebih sinonim kerana mereka akan mengkaji sesuatu perkara itu terlebih dahulu. Bila ada pertubuhan medispa pada masa sekarang, ia merupakan bonus lagi untuk mereka mendapatkan khidmat kepada mereka yang bertauliah.
4..Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Ismaliza: Bagi saya untuk menggalakkan wanita menjaga penampilan diri adalah bermula dari pendidikan bila kita serapkan pendidikan seawal usia kanak-kanak, kerana mereka sudah mempunyai stigma untuk menjaga kecantikan kulit kerana penjagaan kulit ini merupakan satu amalan yang bukan perlu dibuat buat dan bukan mengikut trend. Penjagaan kulit adalah kemestian bagi setiap orang kerana kulit adalah organ dan kulit juga perlu dijaga seperti kulit kulit yang lain. Tanpa kulit kita sebenarnya tak boleh hidup sebab kulit sebenarnya adalah perlindungan kepada tubuh badan kita. Jadi untuk menggalakkan golongan wanita menjaga kecantikkan kulit, kita perlu memberi informasi informasi yang tepat dan betul dan semua ini patut bermula dari awal lagi.
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Ismaliza:Untuk penjagaan rutin, bagi pendapat saya ada lima perkara yang perlu kita tahu. Yang pertama, untuk penjagaan dalaman pastikan cukup vitamin cukup air. Kedua, penjagaan luaran pastikan mengunakan pencuci muka yang betul mengikut keadaan kulit dan seterusnya adalah pelembab muka ataupun serum dan yang terakhir adalah sunblock .
KECANTIKAN DAN KESIHATAN SEIRING
Nama: Dr Nurfitri Putrianti
Umur: 32 tahun
Pekerjaan: Pegawai Perubatan Estetik
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Nurfitri:Wanita masa kini lebih prihatin soal penjagaan kulit. Mereka lebih memahami jenis kulit dan mencari jalan terbaik untuk rawatan yang selamat bagi mereka. Mereka bijak mencari maklumat mengenai proses yang terjadi pada kulit mereka selama rawatan berlangsung. Pengetahuan tentang rawatan kulit perlu diberi perhatian bagi memahami lebih lagi mengenai permasalah kulit.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Nurfitri:Suami saya pernah memetik sebuah ungkapan yang selalu saya ingat sampai sekarang, ‘Beauty is in the eye of the beholder’. Maksudnya persepsi orang terhadap kecantikan ialah berbeza tergantung dari mata siapa yang memandang. Bagi saya semua orang memiliki kecantikan tersendiri, namun tidak semua orang boleh menghargai kecantikan dalam diri masing-masing. Yang penting ialah ‘self content‘ dan sentiasa berfikiran positif.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Nurfitri: Saya rasa wanita masa kini semakin mamahami konsep pentingnya penjagaan kesihatan kulit. Mereka tidak tergesa-gesa dan lebih bijak dalam memilih apa yang baik dan apa yang tidak. Mereka tidak hanya menginginkan kecantikan semata-mata, tapi juga kesihatan kulit mereka. Sebab itulah ramai wanita masa kini yang mencari khidmat medispa untuk mendapatkan rawatan yang profesional.
4.Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Nurfitri: Penjagaan kesihatan kulit sebaiknya dimulai sejak kecil. Kita mesti memahami bahawa kulit adalah organ terbesar manusia yang mesti dijaga juga sama halnya dengan organ yang lain. Ia yang akan melindungi kita dari radiasi cahaya matahari, pencemaran, dan kuman. Ia juga akan membantu kita untuk mengatur kadar suhu dalam tubuh. Serta memberi kita kecantikan fizikal. Oleh itu, kita semestinya menjaga ia sebaik mungkin kerana ianya amat penting.
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Nurfitri: Sunblock. Jangan sesekali mulakan hari anda tanpa sunblock. Sentiasa terapkan dalam fikiran untuk tampil sihat sebelum tampil cantik.
KEPENTINGAN TAMPIL CANTIK
Nama: Dr. Noor Syazwani Bt Redzwan
Umur: 30 tahun
Pekerjaan: Pakar Kecantikan Estetik
1.Apakah kepentingan penjagaan kecantikan untuk wanita masa kini?
Dr Noor Syazwani: Bagi saya ianya adalah sangat penting bagi seseorang wanita untuk memperkasakan diri. Sesibuk mana pun seseorang itu, dia tidak sepatutnya mengabaikan penampilan dan kesihatan mereka.
2.Apakah definisi cantik bagi diri anda?
Dr Noor Syazwani: Yakin dengan diri sendiri. Bagi saya seseorang yang mempunyai keyakinan diri akan sentiasa kelihatan cantik. Tetapi untuk mendapatkan keyakinan diri itu, kita haruslah menjaga kesihatan badan dan kulit. Masyarakat kita amat taksub untuk menjadikan kulit mereka putih. Proses ‘bleaching’ yang disebabkan oleh bahan kimia seperti hydroquinone dan merkuri akan merosakkan kulit dan boleh menyebabkan kanser kulit dan kegagalan fungsi hati dan buah pinggang. Harus diingat bahawa kecantikan tidak mengenal warna.
3.Pandangan anda mengenai wanita masa kini? Adakah mereka mengetahui kepentingan penjagaan kulit kepentingan penjagaan kecantikan melalui kaedah medispa terutama menjelang musim perayaan?
Dr Noor Syazwani: Ramai yang sudah tahu mengenai kepentingannya, namun kekangan masa dan kewangan menjadi faktor yang menghalang mereka.
4.Pada pandangan anda, bagaimana mahu menggalakkan wanita menjaga penampilan diri terutama di musim perayaan?
Dr Noor Syazwani: Kita harus membuatkan mereka sedar bahawasanya penampilan diri itu bukanlah untuk ditonton oleh orang tetapi untuk kepuasan diri sendiri. Seperti yang saya katakan tadi, kecantikan diri seseorang terletak pada keyakinan dirinya. Jadi, lakukannya untuk diri anda sendiri, bukan untuk orang lain!
5. Pada pandangan anda, apakah produk penjagaan wajah yang perlu ada dalam rutin seharian wanita?
Dr Noor Syazwani: Semestinya sunblock! Ramai yang masih mengambil remeh penggunaan sunblock. Harus diingatkan sinaran UV adalah tidak sihat untuk kulit. Sinaran UV lah yang merosakkan kolagen, menyebabkan pigmentasi dan ini akan membuatkan anda kelihatan tua sebelum usia (premature aging). Antara rahsia kecantikan dikalangan doktor estetik sebenarnya ialah sunblock. Ia adalah perkara yang terbaik yang boleh anda berikan khusus buat kulit anda. Adalah sia-sia jika anda menggunakan seluruh set anti penuaan, tetapi tidak menggunakan sunblock, kerana penyebab utama penuaan kulit adalah matahari. Jadi, lindungilah kulit anda dengan menggunakan physical sunblock dan oral sunblock