Perkongsian aktres dan ahli perniagaan terkenal, Rozita Che Wan di laman media sosial miliknya memaklumkan anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan ortodontik dipanggil Supernumerary Mesiodens Tooth hari ini.
Supernumerary Mesiodens Tooth adalah salah satu fenomena Supernumerary teeth / Hyperdontia dimana gigi berlebihan(extra) tumbuh di antara gigi atas bahagian depan. Ia juga menyebabkan jumlah gigi yang terbentuk dalam rahang lebih banyak dari jumlah normal.
Katanya yang mesra disapa Che Ta, Aaisyah yang akan genap sembilan tahun November depan lebih banyak tidur dan berehat selepas menjalani pembedahan berkenaan. Pembedahan tersebut dijalankan di hospital pakar Global Doctors, Mont Kiara di bawah kendalian serta pemantauan tiga orang doktor.
“Ikutkan sejak beberapa bulan lalu, dia (Aaisyah) sering mengadu tak selesa di bahagian giginya. Jadi selepas menjalani pemeriksaan lanjut, pembedahan dijadualkan hari ini dan segalanya dipermudahkan. Menurut doktor, kes seumpama ini agak jarang terjadi iaitu kewujudan gigi lebih di bahagian tengah.
“Kata doktor lagi, secara umumnya di dalam dunia ini ada sekitar 0.5 hingga 3 peratus kes seumpama itu,” katanya.
Tambah pelakon yang terkenal menerusi drama Kiah Pekasam itu, pembedahan itu perlu untuk membolehkan pertumbuhan gigi kekal baharu yang lain.
“Masa melakukan CT Scan baru-baru ini, baharu nampak masalah yang timbul. Apabila dilakukan X Ray memang wujud masalah itu,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu dalam masa sama bersyukur kerana anak perempuannya kuat semangat.
“Terima kasih yang mendoakan kesihatan dan keadaannya,” kata isteri kepada Zain Saidin itu.
Terdahulu Che Ta memuat naik beberapa keping gambar Aaisyah di Instagram sebelum dan selepas menjalani pembedahan Supernumerary itu.
This website uses cookies.