Rezeki bertemu ‘Abang Viva’ dan tunangnya, Evanoza Zakaria sewaktu penggambaran video Pesona Pengantin membuka peluang untuk kami bercerita santai tentang perkembangan mereka. Berusia 30 tahun, lelaki berjiwa emas ini pernah diberi pengiktirafan Nona Superhero Award 2021 di atas jasa beliau memberi pertolongan sewaktu banjir melanda.
Nama sukarelawan ‘Abang Viva’ atau Azwan Omar sekali lagi mencuit perhatian ramai apabila tampil menemani tunangnya, Evanoza.
Sebagai seorang yang dikenali kerana keberanian dan terlibat dalam pelbagai misi penyelamatan, sudah tentulah masyarakat turut ingin mengenali wanita yang berjaya mencuri hati beliau.
Enggan bercerita terlalu banyak tentang persiapan hari bahagia, pasangan berdarah manis ini berkali-kali memohon doa agar segala urusan jodoh mereka dipermudahkan. Maklumlah fasa pertunangan ini banyak dugaannya. Kena pandai menjaga diri dan batas pergaulan.
Tapi tertarik dengan personaliti Evanoza yang bubbly dan menyenangkan. Wanita Melaka itu merupakan seorang jurulatih kecergasan bertauliah, personal trainer dan event organizer.
Tidak hairanlah orangnya cukup mesra dan membuat sesiapa pun terasa seperti sudah lama mengenali.
“Sebenarnya sebelum ni saya pernah pergi sendiri (bagi bantuan kemanusiaan) dengan team saya. Kali pertama kami berdua ‘turun padang’ ketika misi di Baling, baru-baru ini.” Evanoza
Tambahnya sewaktu tiba di Baling, mereka tidak sempat memberi bantuan penyelamatan (rescue). Namun apa yang dapat dilakukan hanyalah memberi bantuan makanan dan barang keperluan dari rumah ke rumah.
Sekitar Julai lalu, Abang Viva dilaporkan selesai menjalani Kursus Asas Pertahanan Awam selama tiga hari di Ayer Keroh. Beliau sempat mempelajari pelbagai kemahiran asas penyelamatan termasuk bantuan pernafasan (CPR) dan ikatan tali di saat kecemasan.
Dikatakan sebelum ini, beliau hanya dapat memberikan bantuan memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara kerana tidak mempunyai keberanian menghadapi situasi lebih getir.
“Dulu kalau nampak orang pengsan, saya memang tak berdaya nak membantu sebab tak tahu bagaimana caranya, lagi pun saya bergerak secara solo.
Selepas menjalani kursus ini bolehlah saya bergerak dengan pasukan APM dan membantu orang ramai menggunakan ilmu yang telah dikongsikan.” Abang Viva
Agaknya apa perasaan Abang Viva bila dapat pasangan yang sama-sama meminati bidang kesukarelawanan? Jom tonton video Lensa Nona ni…
Alhamdulillah, kami pun tumpang bahagia dengar rancangan Abang Viva yang kini sibuk menguruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) milik beliau iaitu Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang Viva.
Semoga sifat kemanusiaan dan keberanian pasangan ini terus menjadi inspirasi ramai!