Ada 17 Cawangan Spa, Butik Muslimah & Kosmetik Sendiri, Kejayaan BELLE AL-YAHYA Cetus Inspirasi

Bukan calang-calang pencapaian usahawan wanita ini. Meniti usia 33 tahun, kejayaan Belle Al-Yahya atau nama penuhnya Sharifah Nabilla Al-Yahya Syed Shah nyata cukup membanggakan. Bukan hanya menguruskan satu perniagaan sebaliknya dia cekal mengusahakan tiga rangkaian bisnes berbeza!

Walau berstatus isteri dan ibu kepada dua cahaya mata namun Belle berjaya membuktikan ia bukan penghalang untuk dia terus melangkah jauh. Nona percaya dengan pengurusan masa yang bijak dan perancangan rapi, apa saja impian dapat dicapai disertai dengan usaha gigih. Tahniah Belle!

Mula dikenali menerusi jenama busana muslimah Bella Ammara sejak sembilan tahun lepas, Belle terus mengorak setapak ke hadapan apabila berani menceburi bisnes kosmetik dan pusat kecantikan.

Malah, dia juga mampu tersenyum bangga apabila turut menjadi pengasas kepada pelbagai cabang bisnes baharunya iaitu Naarabelle Facespa, Sugar Belle Cosmetic dan BA Beau. Difahamkan pusat kecantikan Naarabelle Facespa sudah pun mempunyai 17 cawangan. Hebat!

Gemar berkongsi kata-kata semangat dengan peminat dan pelanggan setianya, wanita berjiwa besar ini mendedahkan kejayaan yang diraih hari ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa bantuan daripada para pekerja.

“Belle bersyukur sangat Allah SWT hadirkan insan istimewa yang sentiasa menyokong dalam apa jua perjuangan Belle. Kalau awal-awal dulu dalam business Bella Ammara kami membangunkan bisnes bersama, tapi since dua tahun lepas Carl Samsudin (suami) fokus dalam bisnes dia sendiri iaitu Appecut.

Masa awal-awal dulu Belle agak takut boleh ke Belle buat seorang-seorang business tapi alhamdulillah sangat Belle dikelilingi oleh orang-orang yang hebat dan team yang hebat.”

Kongsinya lagi, “Bila Belle dan Carl ada business sendiri yang berbeza rasa lagi seronok sebab kami boleh berbincang pendapat dan kongsi ilmu bersama. Dan paling best, kalau dulu business bersama memang akan selalu salah faham dan bercanggah pendapat bila nak buat keputusan.

Tapi bila masing-masing ada business yang kena handle, masalah tu dah tak ada. Entahlah Belle rasa lagi seronok macam tu berbanding suami isteri menguruskan business bersama. Tapi apa pun terpulang dengan cara masing-masing.

Setiap orang ada cara tersendiri yang terbaik. Yang paling penting adalah kebahagiaan. Terima kasih Carl Samsudin yang banyak bersabar dan mengajar Belle dalam berniaga.”

Memang patut kejayaan dan pengalaman Belle dijadikan sumber inspirasi. Malah, usahawan ini juga tidak lokek berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan. Jadi jangan pelik tengok rezeki Belle melimpah ruah macam air yang mengalir. Orang yang bersyukur dan tak kedekut berkongsi rezeki, Allah kurniakan rezeki yang tak disangka-sangka.

Harapan Nona agar empayar niaga milik Belle terus bertapak kukuh dalam industri dan dapat membantu lebih ramai golongan wanita menjana pendapatan.

 

Kredit: Instagram Belle Al-Yahya

Share
Published by
Suzi