Ada 20 Kolam Ternakan Ikan Arowana, Selain Nyanyi DATO’ JAMAL Juga Usahawan Berjaya!

Aura Jamal Ubaidillah Ali atau lebih dikenali sebagai Dato’ Jamal Abdillah nyata cukup memukau. Melangkah penuh bergaya, susuk tubuh segak seniman lagenda tanah air ini berjaya membuatkan setiap mata yang memandang terpegun dengan karisma beliau. 43 tahun bergelar anak seni, Dato’ Jamal Abdillah sudah pun berada dalam kelas tersendiri!

Tanggapan awal penulis yang menyangka penyanyi kelahiran Perak ini seorang yang tegas kerana memiliki raut wajah serius berubah sama sekali, sejurus kami mula berbicara. Keperibadian Dato’ Jamal yang mudah mesra, menepati masa dan komited sepanjang sesi fotografi berlangsung begitu menyenangkan.

Tidak hairanlah namanya terus segar dalam industri kerana sangat menghormati hubungan baik dengan semua pihak demi menjaga reputasi diri.

Pembabitan Dato’ Jamal dalam arena muzik bermula seawal tahun 1978 yang menyaksikan beliau bergelar Juara Bintang RTM 1979. Umpama mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, Dato’ Jamal ketika ditemui menzahirkan rasa terharu kerana kerja kerasnya selama ini mendapat penghargaan Nona.

“Saya pun tak sangka yang umur saya macam ini, 62 tahun, orang masih hendak tengok saya menyanyi. Alhamdulillah saya bersyukur. Semuanya adalah rezeki yang Tuhan beri kepada saya.”

Istimewanya insan bernama Dato’ Jamal Abdillah tidak sekadar terletak pada bakat yang dimiliki tetapi juga kerana personaliti beliau yang merendah diri. Berkali-kali ungkapan syukur terpacul dari bibirnya apabila mendengar kata-kata pujian daripada peminat.

Tambah Dato’ Jamal lagi, “Bercerita kenangan manis pula saya berjaya capai beberapa anugerah besar dan tertinggi bagi saya sendiri antaranya Juara Bintang RTM, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Vokal Terbaik, dan Penyanyi Lelaki Popular.

Kalau saya tak jadi penyanyi, saya mungkin jadi ahli sukan sebab dari bangku sekolah lagi memang saya minat dengan sukan.

Sampai pernah dinobat sebagai olahragawan sekolah. Pernah juga simpan cita-cita hendak jadi pemain bola sepak masa sekolah dulu. Pendek kata, memang seorang yang aktif bersukan. Semua jenis sukan saya suka tapi nampaknya bakat saya lebih menyerlah dan Allah bagi rezeki dalam bidang ini.”

Selain menyanyi, Dato’ Jamal juga sebenarnya seorang usahawan. Tidak bergantung kepada kerjaya seni semata-mata, suami kepada Datin Zai Izzati Khirudin ini memanfaatkan populariti dirinya untuk melangkah maju dalam dunia perniagaan. Khabarnya Dato’ Jamal sudah pun mengeksport produk perniagaan ke pasaran luar negara.

“Sebenarnya saya sudah pun menceburi bidang perniagaan sejak tahun 2009. Saya ada mengusahakan kolam penternakan ikan Arowana di Bukit Merah, Perak. Sehingga kini sudah pun mempunyai 20 kolam. Banyak bidang saya dah ceburi sebenarnya.

Bagaimana pun penternakan ikan Arowana tersebut pada mulanya hanya sekadar hobi tapi lama-kelamaan mendatangkan hasil lumayan. Jadi saya teruskan sampai sekarang.
Saya ada satu lagi syarikat yang dinamakan DJA Worldwide yang mengeluarkan produk lelaki dan wanita.

Untuk fasa pertama ini kami menghasilkan produk seperti sabun, kopi, serum dan ubat tenaga. Itu antara jenis produk yang akan berada di pasaran pada Januari 2022. Saya juga berhasrat untuk ada butik bertaraf antarabangsa macam H&M tapi jenama DJA Worldwide yang mungkin akan mengeluarkan kasut lagend kegemaran saya, seluar jeans dan jaket.

Semua itu perancangan untuk fasa kedua. Dalam berniaga saya lebih selesa ketengahkan produk yang saya guna dan produk itulah yang saya jual. Bukan sekadar mahu berniaga semata-mata tanpa menggunakan produk tersebut.

Biasanya, saya akan guna terlebih dahulu dan apabila nampak hasil baru saya berani keluarkan untuk pasaran. Saya juga memasang impian untuk bergelar usahawan berjaya kelak dan menjadi figura yang disayangi dan disegani ramai. Juga dapat hidup lebih tenang dengan anak-anak dan keluarga.”

Dato’ Jamal merupakan bapa kepada empat cahaya mata iaitu Osama Yamani, Ahmad Zaki Yamani, Nur Azura Yamani dan El Issac Yamani. Hasil perkongsian hidup dengan Datin Zai Izzati sejak 1 April 2017, pasangan ini bakal menimang cahaya mata baharu pada tahun hadapan.

Semoga pengalaman hidup dan pencapaian Dato’ Jamal Abdillah mencetus semangat dan inspirasi kepada masyarakat untuk tidak mengalah menghadapi ujian demi menggenggam sebuah kejayaan.

Share
Published by
Suzi