Walaupun tugas wanita yang mempunyai rupa paras menawan ini sibuk sebagai isteri dan ibu namun tetap mampu melunaskan tanggungjawab sebagai seorang insan dengan melakukan aktiviti kemanusiaan. Kini wanita yang mudah mesra dan disenangi oleh banyak pihak ini sedang giat dengan kempen Sisters Care For Yateem bersama Irma Hasmie & Diana Amir.
Tugas murni Irma Hasmie Ibrahim yang kini memiliki sejuta pengikut di laman Instagram ini benar-benar menyuntik inspirasi. Dalam masa yang sama pelakon dan usahawan ini bahagia bersama suami dan sepasang anak mereka.
Jika dilihat, kejelitaan wanita yang berusia 38 tahun ini tidak berubah jika dibandingkan di awal penampilannya dahulu, kekal awet muda. Bercerita tentang caranya memelihara kecantikan, “Kebersihan adalah perkara pertama, kemudian penjagaan rapi mengikut kesesuaian produk yang diambil untuk diri. Saya tidak terlalu mengikut trend sehingga menggunakan produk yang tidak bersesuaian dengan kulit sendiri.
Sebagai wanita yang berhijab kita juga perlu menjadi contoh dan menjaga kecantikan. Antara akhlak-akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulallah SAW adalah dengan menjaga penampilan diri Baginda SAW di hadapan khalayak ramai. Hal ini termasuklah bagaimana fesyen baginda ketika berpakaian. Jadi kita sebagai umatnya juga perlu menjaga penampilan tidak kira wanita mahupun lelaki.
Ketika diajukan pertanyaan, bagaimana mahu memelihara kecantikan tetapi tetap patuh syariah? Jawabnya, “Adakah salah untuk kita berfesyen? Allah SWT suka hambaNya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan. Malah Allah SWT menyukai sesuatu perkara yang cantik dan indah.
Nabi SAW tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen malah Baginda SAW menerangkan bahawa Allah SWT itu sifatNya cantik dan sukakan kecantikan.Tetapi Nabi SAW melarang kalau seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong pada masyarakat sekeliling.
Walaupun kita ada kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh pakai apa saja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tata susila. Islam ada garis panduan bagi seseorang Muslim mahupun Muslimah dalam berpakaian seperti menjaga aurat, tidak jarang dan ketat serta fesyen yang keterlaluan,” tutur Irma Hasmie.
Bagaimana pula pendapat Irma Hasmie tentang wanita yang terlalu taksub dengan kecantikan sehingga sanggup melakukan pembedahan atau suntikan namun masih tetap berhijab? “Sebagai manusia kita perlu bersyukur dengan setiap yang dimiliki.
Setiap ciptaan dan kejadian Allah swt itu adalah yang terbaik. Jadi jangan kita mengubah anugerah yang diberi. Tidak perlu bandingkan diri kita dengan mereka lebih tinggi. Sebaliknya bandingkan diri kita dengan mereka yang lebih rendah supaya kita sedar apa yang dimiliki sudah cukup baik dan perlu bersyukur sebelum nikmat itu ditarik.
Islam itu indah, agama kita tidak benarkan kita melakukan perkara-perkara yang memudaratkan. Kita maklum suntikan dan pembedahan itu menyakitkan jadi, saya tidak setuju dengan istilah beauty is pain,” kata Irma Hasmie.
Rambang mata tengok telekung solat di sini