Menguruskan dua bidang berbeza, ada firma arkitek dan jadi pengusaha tadika swasta, bagi usahawan Ar Nalira Azmee semuanya miliki satu kompas iaitu wujudkan suasana yang gembira serta selesa. 

Berawal daripada impian zaman kanak-kanaknya untuk memiliki bilik tidur sendiri, Ar. Nalira Azmee kini pemilik firma Nalira Azmee Architect dan juga pengusaha tadika Ridz Alira Integrated Sdn Bhd yang cukup berjaya. Meskipun menguruskan dua perniagaan berbeza dalam satu masa, wanita jelita itu membuktikan tiada perkara yang mustahil selagi kita berusaha dan bekerja keras.

Ads

Tiba lebih awal sebelum waktu yang dijanjikan, Nalira tampil elegan ditemani suami tersayang, Kamal Faridz Mohamad Noor. Sama cantik dan sama padan, pasangan yang memiliki tiga cahaya mata itu kedua-duanya memiliki karisma profesional serta menyenangkan. Keserasian ini turut menjadi kelebihan mereka untuk menubuhkan perniagaan bersama sebagai rakan kongsi.

Memiliki kelulusan Double Degree di dalam Sarjana Muda (Sc) Seni Bina dan Sarjana Muda Sains Seni Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Nalira mengorak langkah pertama dengan bekerja di sebuah firma antarabangsa di Kuala Lumpur. “Lima tahun pertama di firma ini, saya didedahkan dengan pelbagai projek komersil dan perumahan berskala mega. Kerjaya arkitek turut membawa saya ke serata pelosok dunia, umpamanya Singapura, Australia dan Jerusalem.

Ada Firma Arkitek & Jadi Pengusaha Tadika Swasta, Usahawan Ar Nalira Azmee Mahu Wujudkan Suasana Yang Gembira!
Instagram @naliraazmee

Di sinilah saya belajar pelbagai aspek perniagaan, daripada operasi sehinggalah cara mencari peluang perniagaan dengan membentangkan idea kepada pelanggan, menguruskan kewangan serta sumber manusia,” ujar Nalira yang turut memiliki sijil Pengurusan Profesional daripada BFM Business School pada tahun 2015.

Menjadikan struktur bangunan ikonik Burj Al-Khalifa di Dubai sebagai salah satu seni bina terbaik dalam ingatannya, Nalira menjadikan negara-negara membangun seperti Qatar atau Arab Saudi sebagai rujukan utama. “Bagi saya, negara-negara sebegini mempunyai dana serta peluang lebih besar untuk membina their dream building.”

Sering terlibat dengan pembinaan kediaman eksklusif, Nalira berkongsi kenangan termanisnya sebagai arkitek iaitu menguruskan sebuah projek melibatkan seorang pelanggan berstatus kerabat dengan nilai RM22 juta. “Saya terlibat dengan projek ini daripada fasa mereka pelan sehingga siap dibina. Sejujurnya projek kediaman lebih dekat di hati saya kerana setiap sudut penting dan mengambil kira pendapat arkitek dan pelanggannya. Keselesaan dan nilai estetik harus seimbang.”

Yang jelas, tempoh 12 tahun berkhidmat di firma arkitek antarabangsa bukanlah suatu tempoh yang singkat. Namun tidak hanya mekar sebagai arkitek, Nalira mengambil langkah drastik mengusahakan perniagaan tadika dan taska Al Kauthar Eduqids di Kuala Lumpur serentak menjelang fasa pandemik COVID-19 sebagai survival plan ketika itu.

Ada Firma Arkitek & Jadi Pengusaha Tadika Swasta, Usahawan Ar Nalira Azmee Mahu Wujudkan Suasana Yang Gembira!
Instagram @naliraazmee

“Memang ianya dua bidang berbeza tapi masih mempunyai satu tujuan yang sama. Dalam bidang seni bina, kerja kita membuat orang gembira dengan membina bangunan yang baik dan selesa. Sama seperti bidang tadika, kerja kita menyediakan tempat belajar yang menggembirakan. Jadi tak kiralah jadi arkitek atau pengusaha tadika, kedua-duanya dengan tujuan yang sama iaitu membuat orang gembira dan selesa dengan tempat itu.”

Merupakan seorang yang teliti, Nalira akan memastikan setiap cawangan tadika dan taska miliknya ada Pengurus untuk kelancaran operasi harian. “Dalam masa yang sama, saya akan memantau keadaan itu secara berkala melalui CCTV, selain menerima laporan harian daripada mereka. Bahkan dari semasa ke semasa, kami sebagai pengusaha sering mendapat bimbingan Pengasas dan CEO Al Kauthar Eduqids (AKE) iaitu Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff Ibrahim dan Datin Nor Fadilah Alias agar mahir menguruskan perniagaan.

Sementara di firma arkitek pula, saya banyak membuat architectural submission untuk tadika-tadika. Ia menjadi satu kelebihan untuk saya sebagai arkitek, menguruskan segala authority submission pengusaha tadika selain urusan-urusan renovasi bangunan mereka. Untuk kerja seni bina, saya akan menguruskan pada setiap Selasa dan Khamis sahaja.

Selain firma sendiri, saya juga merupakan Pengarah di DTM Architects Sdn Bhd. Syarikat ini mempunyai empat orang Pengarah dan kami semua menguruskan pelbagai projek dalam Malaysia. Saya biasanya akan menguruskan projek-projek di sekitar Kuala Lumpur,” terang Nalira yang turut mengikuti pelbagai kelas dan kursus jangka pendek untuk menambah kemahiran, antaranya kursus SKM, KAP, EIP serta ABAT berkaitan pengurusan anak-anak autism.

Cantik dan bergaya, karisma Ar Nalira Azmee jelas terserlah ketika sesi fotografi Nona Superwoman Award baru-baru ini…

Ads

Ditanya perkara apa yang menggerakkan hatinya untuk menceburi dunia pendidikan awal kanak-kanak, Nalira termenung sejenak mengingatkan cabaran yang dihadapi. “Awalnya timbul juga perasaan skeptikal terhadap potensi industri ini. Tapi lama-kelamaan, kami nampak kesungguhan dan matlamat murni Dato’ Bakhtiar yang merupakan sahabat lama suami saya dalam meningkatkan taraf tadika dan taska swasta di Malaysia.

Sebagai seorang wanita pula, kita memang dianugerahkan naluri keibuan dan sifat sayangkan anak. Saya mula mendalami ilmu tentang pendidikan awal kanak-kanak selepas berkahwin dengan impian mahu menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak kami, Adam Faridz, Arman Faridz dan Aryan Faridz.

Kebetulan juga pada tahun tersebut (2018), perniagaan arkitek agak kurang memberangsangkan, projek pula berkurangan dan saya baru saja lulus peperiksaan seni bina untuk mendapatkan sijil profesional Ar. Justeru, kami perlu bersungguh-sungguh memajukan tadika AKE yang baru dibuka ketika itu, meskipun laporan enam bulan pertama menunjukkan kerugian.

Dengan seluruh tawakal, saya tekad mahu mendapatkan semula modal yang dilaburkan. Dan akhirnya berkat beberapa strategi dan nasihat daripada Dato’ dan Datin, alhamdulillah bisnes ini berkembang pesat. Jujurnya ia bukan satu bisnes yang mudah kerana melibatkan nyawa kanak-kanak dan berisiko tinggi. Kita juga harus menjaga amanah serta kepercayaan yang telah diberikan oleh ibu bapa. Jadi kami hanya copy paste apa yang telah dilakukan di cawangan pertama dan menjaga kualiti servis sehingga terdapat 6 cawangan sekarang.”

Jauh di sudut hati, Nalira sentiasa menganggap setiap kanak-kanak yang mereka asuh dan didik adalah Istimewa. “Setiap satunya ada karakter berbeza. Tapi saya selalu ingat bahawa cabaran yang datang daripada kanak-kanak ini adalah cabaran dari Allah SWT yang patut diharungi dengan sabar serta penuh kesyukuran. Jadi bila fikir macam tu, hati terus sejuk balik.”

Ads
Ada Firma Arkitek & Jadi Pengusaha Tadika Swasta, Usahawan Ar Nalira Azmee Mahu Wujudkan Suasana Yang Gembira!
Instagram @naliraazmee

Mengakui bahawa sukar mendapatkan persetujuan ibu bapa sewaktu ingin membuka tadika AKE, Nalira dalam nada sebak berkongsi kepayahan yang dilalui. “Mulanya mereka tak setuju saya buat perniagaan ni, mungkin sebab dah spent banyak duit untuk biaya pengajian saya dalam bidang arkitek. Masa dulu kalau belajar arkitek memang pakai banyak duit, bayangkan kalau ada field trip pun terpaksa ke luar negara. Pada mereka, kenapa saya nak tukar kerjaya sedangkan ada kelulusan profesional Ar. kan? Tapi akhirnya mereka bagi juga sokongan dengan syarat saya lakukan dengan bersungguh-sungguh.”

Untuk berjaya dengan cemerlang sebagai arkitek dan pengusaha tadika bukanlah suatu usaha yang mudah. Namun Nalira membuktikan keupayaan dirinya mengimbangi dua perniagaan serentak dengan skop pekerjaan yang bertentangan secara profesional, malah tidak sekalipun mengabaikan peranan dirinya sebagai seorang isteri dan ibu tiga anak.

Ditanya tentang ciri-ciri yang perlu dimiliki untuk bergelar Superwoman, Nalira menekankan pentingnya nilai pemerkasaan. “Fokus pada peluang. Bukannya kelemahan. Latih staf kita agar mengenal kekuatan dan pengetahuan produk. Kalau kita nak buat sesuatu, buatlah dengan bersungguh-sungguh tak kira apa pun halangan di depan. Set the directions right.

Empowerment pula adalah memberi autoriti serta memperkasakan pihak lain. Dalam konteks saya, bagaimana saya menggunakan empowerment ialah dengan menaikkan pangkat staf saya kepada seorang leader dan kemudiannya kepada seorang pengusaha. Kini saya telah merealisasikan Impian dua orang staf saya yang ingin merasa memiliki perniagaan sendiri dalam bidang yang sama.

Kedua-duanya adalah bekas leader saya dan kini mereka bergelar rakan niaga. Dalam syarikat, saya memegang share majoriti sementara mereka pula menguruskan hal operasi, pentadbiran dan kewangan.”

Lebih membanggakan, Nalira sempat membahagikan masanya untuk masyarakat. Menerusi badan NGO AKE Care, beliau pernah turun padang menyalurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Kuala Mu, menyertai program Singgah Sahur bersama PERKEP Shah Alam, memberi sumbangan kepada Ronald McDonald’s House UKM serta tidak dilupakan, bergelar panel juri arkitek di Tatamatra, Indonesia, juri pengkritik di Universiti Malaya serta Universiti Taylor’s.

Mengakhiri perbualan, Nalira berkongsi pelan masa depannya untuk membuka lebih banyak cawangan tadika dan taska AKE di bawah syarikat Ridz Alira Integrated Sdn Bhd serta mengembangkan sayap DTM Architects Sdn Bhd ke Borneo. Beliau juga berhasrat untuk memperkasakan lebih banyak pihak, umpamanya staf-staf syarikat menjadi leader dan seterusnya bergelar business owner sebagai usaha mengembangkan rezeki yang dikurniakan-Nya.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/usia-32-dan-anak-3-nurul-ainaa-zulkifli-miliki-10-tadika-taska-al-kauthar-eduqids/

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI