Ada Ijazah Sarjana Psikologi, Semangat Bekas Isteri TIGER WOODS Bangkit Lepas Bercerai Cetus Inspirasi!

Bekas isteri pemain golf terkenal dunia Tiger Woods, Elin Nordegren membuktikan cerai bukan penamat kehidupan. Walau rumah tangga yang dibina selama enam tahun akhirnya kecundang namun itu bukan alasan bagi model peragaan ini untuk mencari bahagia sendiri.

Buktinya, selain menggunakan wang pampasan bernilai ratusan juta ringgit untuk membina kediaman mewah Elin juga berjaya menamatkan pengajian di sebuah kolej swasta. Memang patut dijadikan inspirasi kepada ibu-ibu tunggal!

Elin Nordegren merupakan rakyat Sweden yang datang ke Amerika dan bertemu isteri pemain golf, Jesper Parnevik sebelum mengenali Tiger Woods. Elin mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pemain golf terkenal tersebut sekitar tahun 2004 dan dikurniakan dua orang anak.

Pada tahun 2010, rumah tangga Elin di ambang kehancuran apabila skandal Tiger Woods bersama beberapa wanita tersebar luas. Rentetan kecurangan itu kedua-duanya bersetuju untuk bercerai dan Elin menjadi perhatian media Amerika Syarikat apabila menerima pampasan bernilai USD 110 juta atau kira-kira RM455 juta.

Difahamkan sebahagian wang berkenaan digunakan untuk membeli rumah agam di North Palm Beach, Florida setahun selepas bercerai yang dianggarkan bernilai USD12.25 juta.

Berkeluasan 25, 878 kaki persegi di atas tanah seluas 1.4 ekar dan berada 200 kaki menghadap pantai yang terbentang luas, kediaman mewah itu memiliki 11 bilik tidur, 15 bilik mandi, 4 garaj kereta, ruang bilik wain, gimnasium, bilik teater, gelanggang bola keranjang, lounge

, kolam renang dan lampu chandelier kristal Swarovski tiga tingkat serta landskap yang luas.

Rumah ini siap dibina semula bertemakan inspirasi British West Indies pada tahun 2014. Bagaimanapun, Elin menjual kediaman mewah itu Mac 2018 dengan harga lebih empat kali ganda iaitu USD 49.5 juta.

Khabarnya, wanita berusia 41 tahun tersebut turut menderma sebahagian wangnya kepada badan kebajikan.

Meskipun kecundang dalam perkahwinan, Elin atau nama sebenarnya Elin Maria Pernilla Nordegren enggan mensia-siakan kehidupan dan berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda psikologi dari Rollins College pada tahun 2014. Dia juga mendapat pengiktirafan anugerah Outstanding Senior dari kolej berkenaan. Hebat!

Dalam satu temubual Wall Street Journal 2018, jurucakap kepada Elin juga mengesahkan bahawa dia sudah bersara daripada dunia peragaan. Biarpun tidak lagi sehaluan, Elin mengakui bekas suami seorang bapa yang baik sementara Tiger Woods pula menganggap ibu kepada anaknya itu merupakan teman baik dan saling berhubung demi anak-anak.

 

 

Sumber: Yahoo Sports

Share
Published by
Suzi