Tak dinafikan Nur Alya Iman Azmil Mustapha atau mesra disapa Alya Iman seorang wanita yang cantik. Memiliki rupa paras menawan dan tinggi lampai, dia sememangnya ada pakej
lengkap yang menjadi dambaan ramai.
Tidak terlepas dilanda kontroversi ekoran penampilan terkininya, Alya bagaimana pun bangkit mengejar impian hidup.
Dalam temu bual bersama Nona sebelum ini, Alya memberitahu dia mula menceburi dunia peragaan fesyen muslimah seawal usia 14 tahun lagi. Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni sejak tahun 2018, dia sudah membintangi pelbagai telemovie, drama dan sitkom.
Berusia 21 tahun, umum mengetahui status Alya yang merupakan anak kepada pelakon popular era 80an iaitu Allahyarham Azmil Mustapha. Ternyata, anak bongsu daripada lima beradik ini mengikut jejak langkah dan mewarisi bakat lakonan bapa tersayang.
Malah, Alya juga pernah terpilih sebagai Top 10 Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 2020. Mengulas perancangan untuk lima tahun akan datang, tanpa berselindung dia meluahkan hasrat terpendam.
“Ketika ini Alya hanya berpeluang menceburi bidang peragaan dan lakonan. InshaAllah dengan izin Allah, sekiranya ada rezeki untuk ke luar negara Alya berhasrat untuk
sambung belajar. Dalam lima tahun akan datang juga Alya ingin fokus dengan bisnes.
Dalam usia 21 tahun, banyak impian yang tidak tertunai lagi dan masih dalam perancangan untuk merealisasikan impian tersebut. Semoga Allah mempermudah segala impian
yang Alya rancang. Dari segi kerjaya, Alya ingin menceburi filem antarabangsa.”
Bercerita soal kecantikan dan penampilan diri, Alya memberitahu dia hanya mengamalkan rutin kecantikan yang ringkas.
“Amalan kecantikan Alya tidaklah terlalu rumit dan tidak ada istilah penjagaan muka yang ‘heavy’. Jujurnya penjagaan dan rutin kecantikan Alya biasa saja. Alya amalkan banyak minum air masak dan pastikan cuci muka selepas memakai mekap supaya kulit wajah dapat bernafas serta bersih daripada sebarang kotoran.
Alya sangat jarang pergi buat rawatan facial atau spa sebab kekangan masa. Kalau pergi pun, Alya akan ambil pakej rawatan untuk menyegarkan wajah sahaja.”
Tambahnya lagi, “Sebenarnya Alya seorang yang sangat sensitif dan mudah sangat sakit. Jadi, untuk elak daripada sakit yang berterusan Alya mengamalkan pengambilan vitamin, senaman dan makan makanan yang berkhasiat. Itu yang Alya buat untuk jaga kecergasan dan kesihatan tubuh badan.”
Lumrah bergelar anak selebriti, dia juga tidak terlepas menjadi perhatian dan bualan khalayak. Pun begitu, Alya tetap menjadikan arwah bapanya sebagai sumber inspirasi.
“Bukan sahaja inspirasi dalam bidang industri seni tapi personaliti yang dimiliki arwah juga saya sangat kagum. Dia seorang yang sangat merendah diri, not judgmental
, menghormati orang lain dan terima baik buruk seseorang dengan seadanya.”Disifatkan seorang wanita yang kuat meskipun masih muda, Alya sebagai public figure mahu kejayaan yang diraih menjadi kekuatan buat generasi muda untuk berjaya.
“Alya dari usia muda sudah berkerjaya. Saya juga seorang yang belajar berdikari dan tidak mudah putus asa walaupun gagal di tengah jalan.
Prinsip saya ialah terus bangkit dan berjuang selagi berdaya. Semoga kejayaan dan pengalaman ini mampu menjadi kekuatan semangat buat orang di luar sana.”
Artikel berkaitan https://www.nona.my/mini-mas-idayu-dayini-pelakon-baru-cantik-dedah-sisi-sebenar-mummy-demi-inspirasi/
This website uses cookies.