Kagum dengan semangat anak seni ini. Mempunyai nama besar dalam industri seni tanah air, kesungguhan Dr Norzizi Dato’ Zulkafli menimba ilmu dan memartabatkan seni sememangnya wajar dijadikan inspirasi. Bersandarkan pencapaiannya dalam akademik dan karier seni, wanita kreatif ini wajar diangkat sebagai ikon anak seni berjaya!
Kejayaan Dr Norzizi menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Seni, Bahasa Inggeris dan Media di University of Wollongong, Australia sekitar tahun 2017 menjadi bualan ramai.
Apatah lagi waktu itu tiga anaknya masih kecil dan baru berusia lima, tiga dan dua tahun. Namun atas sokongan suami tercinta, Bayu Utomo Radjikin, Dr Norzizi mampu merealisasikan hasrat menggenggam PhD.
Kini, anak kepada seniman Allahyarham Dato’ Zulkafli Zain dan Datin Normala Omar ini merupakan Ketua Pengajian Seni Persembahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Difahamkan dia diberi kepercayaan menggalas tugas itu sejak tahun 2017 lagi.
“Saya akan menyambung semula lantikan selama dua tahun lagi. Memegang Ketua Jabatan sejak 2017. InshaAllah ini term yang terakhir. One more term to go! Terima kasih buat para Pensyarah Pengajian Seni Persembahan yang sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama yang terbaik buat jabatan.
Terima kasih dan love semua! Terima kasih buat Pengurusan Tertinggi Kolej Pengajian Seni Kreatif dan UiTM. Dengan bismillah, kita teruskan lagi tugas kita semua dan moga saya mampu memberikan yang terbaik, satu term lagi. Ayuh, team Seni Persembahan!”
Bukan hanya mencurah bakti sebagai tenaga pengajar dalam arena seni malah Dr Norzizi tetap aktif di pentas teater.
5 Mac lalu, dia berpeluang mengadakan persembahan Monodrama Autobiografi ‘Dan Di Senja Itu’ di Institut Seni Indonesia Padang Panjang. Bakat yang dipertonton kepada khalayak cukup memukau dan meraih pujian!
Sebelum ini, Dr Norzizi terkenal sebagai pengacara program kuiz kanak-kanak itu ‘Di Mana Joe Jambul’ pada tahun 1990an.
Dia juga pernah membintangi filem Syukur 21, Cicakman dan pementasan teater Throne of Thorns.
Moga pencapaian membanggakan Dr Norzizi sebagai anak seni, pensyarah, ibu dan isteri menjadi suntikan semangat buat lebih ramai wanita agar terus mengejar impian.