Siapa sangka berasal daripada bidang guaman, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini telah menceburi bidang perniagaan tanpa sedar. Jika pada mulanya wanita yang diberi nama Areej Torla ini hanya suka-suka menjual telekung, kini jenama miliknya sudah dikenali seluruh pelusuk negeri.
Bersandarkan impian menjual telekung sebagai hadiah menjadikan jenama Telekungtea semakin meniti di bibir peminat telekung yang diperindah dengan sulaman dan variasi warna. Wanita yang berusia 37 tahun ini, melalui syarikatnya Tea Prima International Sdn. Bhd telah membawa kelainan dengan menawarkan pelbagai koleksi telekung eksklusif yang menawan hati.
LULUSAN UNDANG-UNDANG
Ibu kepada dua orang anak ini, berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2006), Sarjana (Masters) Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (2007) dan Doktor Falsafah (PhD) Undang-Undang Antarabangsa, Brunel University, West London (2013).
Bercerita tentang perniagaan telekungnya, “Perniagaan ini saya usahakan bersama suami selaku Pengarah Urusan Telekungtea bermula pada hujung tahun 2012. Waktu memulakan perniagaan itu hanya sebagai hobi sahaja dan tak terfikir langsung untuk serius.
Perniagaan hanya bermula dari rumah sebagai pendapatan sampingan kami suami isteri. Sementelah anak-anak masih kecil lagi ketika itu. Saya tak sangka respon yang diterima sangat menggalakkan dan setahun selepas itu kami buka fizikal store yang pertama,” tutur Dr. Areej yang sudah 10 tahun mengusahakan perniaagan telekung ini.
CABARAN
Bercerita tentang cabaran bisnes masa kini, “Aktiviti bisnes sekarang memang suatu yang kita tak boleh nak jangka. Sebabnya kita tak tahu dengan situasi semasa dan macam-macam boleh berlaku. Bagi menghadapi situasi semasa ini setiap usahawan perlu bijak mengemudi organisasi dan kena sentiasa bersedia untuk plan B atau plan C.
Kalau butik terpaksa tutup kerana mematuhi arahan kerajaan kita kena kuatkan di platform digital dan yang paling penting kena kuat daripada segi mental.
PERANCANGAN
Perancangan masa depan pula sudah tentu saya mengharapkan agar Telekungtea boleh berkembang dan bergerak lebih jauh dengan membuka lebih banyak cawangan. Syukur kerana pada hujung tahun 2020 kami telah membuka sebuah butik yang berlokasi di KL East Mall.
Malah pada tahun ini pula, dalam masa terdekat saya akan membuka sebuah lagi butik yang terletak di Bangsar Shopping Centre. Kami sangat bersyukur sebab diberi peluang untuk berkembang dan menambah cawangan,” ungkap Dr. Areej lagi.
This website uses cookies.