Siapa sangka walaupun pada mulanya tidak meminati bidang akademik namun Najwa Latif kini sedang berusaha meraih gelaran tertinggi dalam bidang pendidikan. Bakal bergelar Doktor apabila tamat pengajian kelak, penyanyi lagu Kosong ini begitu teruja dengan ‘rezeki’ yang diperolehnya ini.
Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif kini sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Najwa Latif kini menjawat jawatan sebagai pensyarah, sebelum ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Antarabangsa Unitar (UNITAR) pada 2017. Najwa Latif kemudian meneruskan pendidikan tinggi dalam jurusan sama di Universiti Malaya (UM) di peringkat Sarjana.
Wanita yang berusia 26 tahun ini menzahirkan rasa syukur dalam masa yang sama teruja membayangkan ‘gelaran’ yang bakal disandangnya kelak walaupun pengajiannya baru bermula seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.
“Tempoh pengajian dijangka dalam tiga hingga enam tahun. Jauh lagi perjalanan nak dapat gelaran itu namun saya rasa dapat bergelar doktor adalah pencapaian luar biasa untuk saya yang pernah tak minat akademik.
Saya percaya semakin kita belajar, semakin kita sedar betapa sedikitnya ilmu yang kita tahu. Ilmu itu sangat luas dan takkan pernah ada penghujung.
Walaupun habis PhD nanti, saya rasa saya masih akan nak terus belajar dan belajar lagi. Semua ini untuk kepuasan diri dan memajukan diri sebagai pendidik serta individu.
Saya bersyukur dapat peluang sambung belajar lagi masih terlalu seronok. Tapi ini permulaan baharu untuk terus memperbaiki diri dalam subjek yang sangat saya cintai, TESL,” tutur Najwa Latif.
Menurut Najwa Latif masih dalam proses untuk menentukan penyelidikan apa mahu dikaji bagi tesisnya nanti. Semoga kejayaan Najwa Latif ini menyuntik inspirasi kepada wanita lain untuk mencapai sesuatu tanpa kenal istilah putus asa.
This website uses cookies.