Mengimbas kembali detik permulaan Momentum Internet Sdn Bhd, jelas Najib Asaddok, “Pada 2006 saya memulakan perjalanan kerjaya dalam bidang jualan. Keadaan waktu itu agak sukar, bila kita perlu pergi membuat jualan dari satu tempat ke satu tempat. Jumpa seorang demi seorang untuk membuat jualan secara langsung bagi meyakinkan mereka tentang produk penapis air yang saya jual waktu itu.
Ads
Saya kagum dengan mereka yang berbangsa Cina, tinggal di kampung tetapi mampu membuat perniagaan yang maju dengan hanya menggunakan saluran Internet. Daripada situ, saya penuhkan diri dengan ilmu digital. Saya beli buku, belajar membuat blog dan website, berulang alik dari Segamat ke Kuala Lumpur untuk mengambil kursus intensif dalam
bidang jualan secara online. 2009, saya semakin serius dalam dunia pemasaran secara online dan hanya dengan sebiji komputer saya telah berjaya membuat pendapatan secara online antara RM20 ribu hingga RM30 ribu.
Saya menggunakan saluran E-bay, jual pelbagai barang daripada pembekal negara China. Nyata, lubuk jutaan peluang perniagaan ada di situ. Kita hanya perlu bijak menjadi orang tengah dalam proses permintaan dan penghantaran barang, waktu itulah saya pernah dikenali sebagai ‘Pakar Dropship’,” jelas Najib Asaddok yang semangat bercerita tentang permulaan perniagaannya.
Selaku Pengurus besar, Momentum Internet Sdn Bhd, Nurul Iyzah pastinya memainkan peranan yang besar dalam kejayaan empayar ini. “Saya merupakan bekas seorang cikgu pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Kahang Timur Tengah dan Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang, Labis Segamat, Johor. Bila saya pergi belajar suami akan bekerja di rumah.
Waktu itu, keluarga saya menerima pandangan yang negatif dari orang kampung menyatakan, suami duduk di rumah makan hasil duit isteri. Waktu itu, keluarga saya menerima pandangan yang negatif dari segelintir orang sekeliling menyatakan suami duduk di rumah makan hasil duit isteri.
Ads
Mereka tidak tahu yang suami bekerja di rumah berniaga secara online. Dan bila pendapatan suami semakin bertambah, ada pula ‘suara nakal’ yang beranggapan suami duduk di rumah jual dadah kerana tiba-tiba boleh jadi mewah kerana pada usia 28 tahun, suami telah tukar daripada sebuah kereta kancil kepada Mercedes.
Ads
Itu antara prasangka buruk segelintir orang sekeliling waktu itu, kami tidak peduli dengan apa orang kata. Saya sentiasa memberi semangat untuk suami berusaha fokus dengan perniagaan yang telah diceburinya, jangan hiraukan segala kata negatif di sekeliling. Saya pernah lihat dia tersungkur dan gagal sebelum ini, bukan mudah juga sebenarnya untuk melaksanakan perniagaan online.
Ada masa naik ada masa menurun, tapi saya percaya dan selalu berkata dalam hati, dia boleh berjaya dalam bidang perniagaan dan saya hanya berserah antara cepat dan lambat untuk rezeki itu datang. Nyata, Allah telah merancang yang terbaik dalam perjalanan hidup kita dan alhamdulillah dengan doa ibu bapa kami telah berjaya hingga ke tahap sekarang.
Saya sendiri tidak sangka suami yang dulunya seorang yang pemalu dan senyap, kini berdiri dengan yakin mengusahakan empayar Momentum Internet Sdn Bhd yang telah ditubuhkan pada tahun 2014, ” ujar Nurul Iyzah yang sentiasa menjadi tulang rusuk paling hebat buat suaminya. Beliau telah berhenti berkhidmat sebagai seorang guru pada penghujung tahun 2015 untuk fokus pada keluarga dan membantu suami dalam bidang perniagaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semangat dan usaha gigihnya dalam menggapai bintang di langit wajar dijadikan contoh. Perniagaan air mangga yang hanya bermula di pasar malam membawa tuah buat empunya nama Siti Aisyah Kamaruddin, 27 atau lebih mesra disapa Aisyah. Manakan tidak, kini wanita kelahiran ibu kota Kuala Lumpur ini mampu membina empayar perniagaan Ayaq World Sdn. Bhd. dengan titik peluhnya sendiri yang amat membanggakan.
“Saya mula fokus berniaga jus mangga di pasar malam pada tahun 2011 di Sentul dan HKL. Daripada pemerhatian saya, kebanyakan jus mangga yang dijual di kedai tidak menepati citarasa. Rasa kecewa tersebut mencetuskan ilham buat saya untuk menghasilkan dan menjual jus mangga yang lebih pekat, segar dan tanpa bahan pengawet. Ia bersesuaian dengan tagline produk kami iaitu iaitu ‘Pekat, Likat, Melekat,” bicara Aisyah memulakan bicara.
Pada tahun 2016, air minuman berasaskan mangga seperti mango shake dan mango float mendapat sambutan yang cukup hangat. Fenomena ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan yang saya usahakan. Dari situ tercetusnya idea untuk menukar strategi dengan membotolkan jus mangga tersebut.
Semuanya bermula apabila seorang rakan menghubungi saya untuk memesan jus mangga. Apa yang saya lakukan ketika itu, saya beli air mineral kemudian buang air mineral tersebut. Saya gantikan dengan jus mangga saya. Kiranya itulah pertama kali saya ‘membotolkan’ jus mangga saya. Sejak detik itu, jus saya mula dijual di tepi-tepi jalan, berdekatan bank, tepi kedai makan dan lain-lain lagi. Kemudian perniagaan ini semakin berkembang dan mula diagihkan kepada agen dan stokis,” ungkap Aisyah memulakan bicara.
Kesusahan yang dilalui Aisyah membawa siapa dirinya pada hari ini. Tidak hairanlah empayar perniagaan yang diusahakan wanita berkulit sawo matang ini semakin berkembang tahun demi tahun.
“Saya sangat menjaga orang-orang di sekeliling saya iaitu pekerja saya dan itulah rahsia kejayaan saya. Saya sangat menjaga kebajikan mereka termasuk rumah, makan dan sebagainya. Sehingga kini, saya mempunyai staf seramai 12 orang. Selain itu, saya juga menjaga dan pegang stokis serta agen saya dengan membeli jiwa mereka.
Tambah Aisyah lagi, untuk memulakan bisnes, perasaan takut harus dibuang daripada dalam diri. Bergelar seorang wanita bukanlah penghalang untuk mengecapi sebuah kejayaan.
“Ramai orang diluar sana takut untuk menjadi usahawan terutama mereka yang bergelar wanita. kerana merasakan diri itu terlalu muda. Apa yang boleh saya katakan ialah try and adjust! not try and error! Kita tidak tahu jika kita tidak mencuba. Selain itu, untuk memulakan sesuatu bisnes, kita perlu memberikan sepenuhnya fokus. Komited itu sangat penting dalam perniagaan.
Alhamdulillah, kejayaan saya selama ini di dorong oleh keluarga , adik beradik dan suami. Tanpa mereka, tidak mungkin saya berada di tahap sekarang ini. Pekerja saya juga merupakan kekuatan saya. Tambahan pula, anything happen to this business, mungkin mereka pun tidak mempunyai pekerjaan. Jadi yang benar-benar membuatkan saya kuat bertahan ialah team saya,” ujar Aisyah penuh semangat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ujian kehidupan akan membuahkan kekuatan yang luar biasa, buat mereka yang kuat dan sabar melaluinya. Umi Sarah Binti Kamaruddin, 37 tahun, merupakan pemilik Ummi Tradisional & Spa. Pengalaman hampir 10 tahun dalam bidang urutan dan didikan ibu dalam perbidanan, beliau kini mampu tersenyum dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh setelah melalui pelbagai kesukaran hidup.
Setiap kali ibu tunggal ini melihat wajah empat orang anaknya, setiap kali itulah beliau menarik segala kekuatan dan semangat untuk terus berusaha mencari rezeki terbaik untuk keluarga. Umi Sarah juga memasang niat untuk membantu wanita kembali cantik, sihat luar dan dalam seperti sediakala, terutama ibu berpantang. Beliau juga akan memastikan pelanggannya supaya tidak stres, stabil dari segi emosi sewaktu berpantang sendiri, selain memastikan ibu berkerjaya dan surirumah menjaga kesihatan diri sebaiknya.
Umi Sarah mula bercerita perjalanan kisah hidupnya sehingga ke saat ini. “Saya dibesarkan dalam dunia perniagaan semenjak kecil lagi. Ibu seorang peniaga nasi lemak, kuih-muih di hadapan rumah dan mengambil tempahan dari sekolah-sekolah. Saya dididik oleh arwah mak untuk belajar serba sedikit dunia perniagaan, belajar untuk membuat pengiraan setiap jualan yang dijual dari kos belian, kos jualan dan keuntungan yang diperoleh. Jelas semangat niaga telah lama subur dalam jiwa saya.
Namun saya tidak meneruskan aktiviti niaga setelah berkhidmat sebagai penjawat awam, selama 7 tahun selepas memperoleh sijil SPM. Selepas berkahwin dan melahirkan anak sulung, saya kembali berniaga secara sambilan. Saya bermula dengan menjual t-shirt Muslimah secara online. Ketika itu Facebook masih baru, lalu saya aktif buat jualan di mudah.my dan ke pejabat-pejabat kerajaan.
Sayangnya, tidak lama selepas itu jualan pakaian semakin kurang dapat perhatian. Saya mula buat bisnes lain dengan menjual nasi lemak ayam berpandan, mi kari di hadapan rumah. Alhamdulillah, perniagaan agak laris dengan dibantu oleh bekas suami. Dalam rancak berniaga saya hamil kali kedua, saya berhenti niaga jual makanan kerana alah dengan bau ayam,” jelas Umi Sarah.
HIDUP BERUBAH
Wanita ini cekal dan jiwa niaga terus mengalir laju dalam jasadnya. “Selepas kelahiran anak kedua, saya sudah mula berurut dan mula berminat dengan teknik urutan. Saya mula mengurut dengan orang terdekat sahaja tetapi tidak lagi serius betul-betul sebab keberanian belum cukup untuk menjadikan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan.
Saya masih cuba berniaga dengan menjual pakaian bayi. Jualan sangat laris saya mula menjual dari FB Page, FB group bayi, mudah.my dan pejabat kerajaan. Nama Aleesa Collection mula dikenali. Meskipun tanpa ilmu perniagaan formal, saya buat mengikut kehendak diri dengan menyewa sebuah kedai kerana ramai pelanggan ingin datang secara walk-in untuk memilih produk.
Premis ketika itu di Mydin Manjoi, Ipoh dengan kadar sewa yang agak tinggi iaitu RM2,000 sebulan. Saya tetap cuba berniaga dengan harapan jualan dapat menampung kos yang ada. Sewaktu itu saya masih lagi bekerja dan jadikan perniagaan bayi ini sebagai kerja sambilan. Kedai pun dijaga oleh staff. Dari perniagaan ini, saya mula mengenali Datuk Wira Dr. Azizan Osman dan cuba memasuki kursus yang dianjurkan. Sepertinya mendapat sinar baru setelah hadir seminar Dr Azizan. Saya kenal diri, saya kenal apa itu nikmat kehidupan bukan sahaja ilmu perniagaan.
Namun perniagaan saya sekali lagi jatuh kerana kegagalan saya menguruskan staf sehingga berlaku kerugian besar. Saya agak down, bukan senang untuk kembali bangun semula. Bayangkan saya juga telah mengambil cuti tanpa gaji ketika itu. Wang pula cuma tinggal RM1 dalam simpanan!” Ketika itu, suasana seperti gelap seketika buat Umi Sarah.
Namun, usahanya tidak berhenti di situ. “Saya fikir apa lagi perniagaan yang perlu saya buat. Saya selalu urut bekas suami saya dan dia kata badan betul-betul rasa ringan, lalu saya mula terfikir untuk belajar urut supaya lebih yakin untuk lakukan perkhimatan ini sebagai satu perniagaan. Selepas belajar ilmu mengurut, saya cuba mulakan perkhidmatan mengurut dengan harga serendah RM40 urutan tradisional rumah ke rumah di kawasan Ipoh. Alhamdulillah, khidmat urut saya mula mendapat perhatian pelanggan, melalui mulut ke mulut.
Saya mula bertekad untuk berhenti kerja untuk menumpukan perhatian sepernuhnya kepada perniagaan urutan ini. Saya terus bersemangat mencari ilmu dan mula hadir pelbagai kursus urutan, spa dan penjagaan pantang buat ibu mengandung anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Perak dan pelbagai anjuran pihak swasta. Saya simpan sedikit demi sedkit untuk beli perkakas dan bahan spa.
Tapi panas tidak sampai ke petang. Saya jatuh sekali lagi, bekas suami ditipu oleh syarikat pelaburan dan bermula lagi fasa kesusahan kami sekeluarga. Saya dan keluarga berhijrah ke Klang untuk cuba mencari rezeki di negeri orang, walaupun saya tahu tidak semudah itu orang nak kenal servis urutan saya. Malah bagi mereka, umur saya ketika itu terlalu muda, bisakah urut! Saya hanya diam dan terus melakukan kerja saya mengurut sehingga selesai,” jelas Umi Sarah tenang.
“Saya mula marketing secara offline mengedar flyer rumah ke rumah dan edar ke setiap kereta bersama anak sulung saya. Saya anggap ini semua satu ujian, saya tidak salahkan sesiapa. Dugaan hidup saya ditambah dengan kegagalan rumah tangga, saya anggap jodoh saya setakat itu sahaja. Saya terima takdir ini dengan tenang dan tabah.
Saya down, sangat tertekan dan murung sehingga doktor menyatakan saya mengalami major derpression disorder. Tapi Allah itu Maha Penyayang, saya lulus mendapat premis di Arked MARA, Klang. Saya cuba sekali lagi meneruskan operasi spa, walapun agak kecil tapi saya gembira dapat meneruskan perniagaan spa dan pihak MARA membenarkan saya menyewa di bilik seminar MARA untuk terus mengadakan bengkel-bengkel urutan dan penjagaan pantang.
Setahun berlalu, saya membuat keputusan untuk kembali pulang ke kampung halaman saya di Ipoh, Perak. Alhamdulillah, kini saya masih meneruskan perniagaan spa, penjagaan pantang di lokasi Ipoh dan juga masih mendapat tawaran sebagai tenaga pengajar sambilan di sebuah akademi. Walaupun spa tidak dibenarkan beroperasi termasuk penjagaan pantang juga tidak dibenarkan dalam keadaan pandemik ini.
Saya bisa jadi wanita lebih kuat sekarang dengan pengalaman yang saya lalui selama ini. Perit dari manis saya banyak belajar untuk terus berusaha tanpa mengalah! Saya yakin rezeki Allah itu luas, cuma kita jangan jauhi diri dari Allah. Saya mula dapat idea menjual jus jamu asam kunyit, set pantang, set makanan pantang secara delivery dan juga mengadakan kelas ilmu berpantang secara online untuk meneruskan pencarian rezeki saya,” ujar Umi Sarah yang berharap suatu hari nanti dapat memiliki akademi sendiri dan berharap ilmu perbidanan tradisional Melayu lama ini dikenali di seluruh dunia.
“Saya pernah diuji kehilangan semuanya. Tanpa sokongan sesiapa ketika itu yang hanya kekuatan saya dari anak-anak saya. Melihat wajah mereka saya mendapat sinar setiap hari. Saya pernah diuji dengan sakit kemurungan, namun saya tetap bangun untuk teruskan kelangsungan hidup. Saya yakin rezeki Allah itu ada, kita kena selalu memohon padanya dan bersabar, pasti ada jawapan. Setiap dugaan perit itu Allah gantikan yang manis. Percayalah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita berusia 28 tahun ini yang selesa digelar sebagai Fiqah Kadir kini mampu berbangga dengan pencapaian diri kerana berjaya memiliki empayar perniagaan sekali gus bergelar usahawan muda sukses di Malaysia. Memandangkan minat terhadap bidang perniagaan mengatasi segalanya, sebaik bergelar graduan Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti MAHSA, Fiqah Kadir meneruskan perniagaan online yang diminatinya sejak tahun 2009.
Sepanjang pengajian Fiqah Kadir menjadikan perniagaan sebagai aktiviti sampingan.“Saya beruntung kerana banyak mendapat ilmu perniagaan daripada kedua ibu bapa sejak kecil. Sebaik tamat belajar saya mengeluarkan rekaan pertama jenama sendiri iaitu skirt diikuti koleksi pakaian wanita. Terkini ialah koleksi baju menyusu yang mendapat sambutan menggalakkan di kalangan wanita,” kongsi pengasas Padieka Raccolta dan BondaMilk. com ini yang merupakan ibu kepada dua anak.
SUMBER KEKUATAN
“Suami insan paling mempercayai kebolehan dan kesungguhan saya. Dalam masa jatuh, beliau banyak membantu serta memberikan nasihat dan dorongan. Saya bersyukur kerana memiliki suami yang sporting, memahami dan ringan tulang. Suami sering mengingatkan saya agar sentiasa berwaspada dalam mengambil tindakan.
Suami berkhidmat di perairan Malaysia, maka kami sering berjauhan dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih kurang 3-4 bulan. Maka, saya perlu bijak menguruskan masa di samping melayan karenah anak-anak yang masih kecil. Sumber kekuatan saya seterusnya ialah anak-anak dan team saya yang sentiasa memahami serta bersemangat. Dengan adanya mereka, saya mampu bergerak untuk memberikan yang terbaik,” bicara Fiqah Kadir. Baginya cabaran adalah proses melahirkan superwoman berkualiti. Hasil daripada setiap ujian pula ilmu paling berharga.
NASIHAT
“Apabila menceburkan diri dalam bidang keusahawanan secara online, usahawan perlu bergerak seiring dengan perkembangan digital yang sangat laju khususnya dalam pemasaran. Ambil inisiatif untuk sentiasa menambah ilmu kerana jika terleka kita akan tertinggal. Hampir sembilan tahun saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara online, banyak perbezaan dari segi strategi pemasaran dan ia berubah dengan pantas.
Pelanggan pun sudah bijak menilai sesuatu produk. Maka, cari jalan terbaik bagaimana meyakinkan mereka melalui kelebihan strategi pemasaran kita,” jelas Fiqah Kadir yang berhasrat untuk meluaskan pasaran pakaian wanita menyusu ke seluruh Asia serta menjadi perintis baju menyusu dan keperluan ibu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tahniah diucapkan kepada pelakon dan penyampai radio popular, Shiera dan suami atas kelahiran cucu sulung mereka baru-baru ini. Terhibur tengok gelagat lucu pasangan suami isteri ini yang menyambut kehadiran cucu mereka di sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang ...