Mengimbas kembali detik permulaan Momentum Internet Sdn Bhd, jelas Najib Asaddok, “Pada 2006 saya memulakan perjalanan kerjaya dalam bidang jualan. Keadaan waktu itu agak sukar, bila kita perlu pergi membuat jualan dari satu tempat ke satu tempat. Jumpa seorang demi seorang untuk membuat jualan secara langsung bagi meyakinkan mereka tentang produk penapis air yang saya jual waktu itu.
Saya kagum dengan mereka yang berbangsa Cina, tinggal di kampung tetapi mampu membuat perniagaan yang maju dengan hanya menggunakan saluran Internet. Daripada situ, saya penuhkan diri dengan ilmu digital. Saya beli buku, belajar membuat blog dan website, berulang alik dari Segamat ke Kuala Lumpur untuk mengambil kursus intensif dalam
bidang jualan secara online
Saya menggunakan saluran E-bay, jual pelbagai barang daripada pembekal negara China. Nyata, lubuk jutaan peluang perniagaan ada di situ. Kita hanya perlu bijak menjadi orang tengah dalam proses permintaan dan penghantaran barang, waktu itulah saya pernah dikenali sebagai ‘Pakar Dropship’,” jelas Najib Asaddok yang semangat bercerita tentang permulaan perniagaannya.
Selaku Pengurus besar, Momentum Internet Sdn Bhd, Nurul Iyzah pastinya memainkan peranan yang besar dalam kejayaan empayar ini. “Saya merupakan bekas seorang cikgu pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Kahang Timur Tengah dan Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang, Labis Segamat, Johor. Bila saya pergi belajar suami akan bekerja di rumah.
Waktu itu, keluarga saya menerima pandangan yang negatif dari orang kampung menyatakan, suami duduk di rumah makan hasil duit isteri. Waktu itu, keluarga saya menerima pandangan yang negatif dari segelintir orang sekeliling menyatakan suami duduk di rumah makan hasil duit isteri.
Mereka tidak tahu yang suami bekerja di rumah berniaga secara online. Dan bila pendapatan suami semakin bertambah, ada pula ‘suara nakal’ yang beranggapan suami duduk di rumah jual dadah kerana tiba-tiba boleh jadi mewah kerana pada usia 28 tahun, suami telah tukar daripada sebuah kereta kancil kepada Mercedes.
Itu antara prasangka buruk segelintir orang sekeliling waktu itu, kami tidak peduli dengan apa orang kata. Saya sentiasa memberi semangat untuk suami berusaha fokus dengan perniagaan yang telah diceburinya, jangan hiraukan segala kata negatif di sekeliling. Saya pernah lihat dia tersungkur dan gagal sebelum ini, bukan mudah juga sebenarnya untuk melaksanakan perniagaan online.
Ada masa naik ada masa menurun, tapi saya percaya dan selalu berkata dalam hati, dia boleh berjaya dalam bidang perniagaan dan saya hanya berserah antara cepat dan lambat untuk rezeki itu datang. Nyata, Allah telah merancang yang terbaik dalam perjalanan hidup kita dan alhamdulillah dengan doa ibu bapa kami telah berjaya hingga ke tahap sekarang.
Saya sendiri tidak sangka suami yang dulunya seorang yang pemalu dan senyap, kini berdiri dengan yakin mengusahakan empayar Momentum Internet Sdn Bhd yang telah ditubuhkan pada tahun 2014, ” ujar Nurul Iyzah yang sentiasa menjadi tulang rusuk paling hebat buat suaminya. Beliau telah berhenti berkhidmat sebagai seorang guru pada penghujung tahun 2015 untuk fokus pada keluarga dan membantu suami dalam bidang perniagaan.
This website uses cookies.