Adat Pengantin Baru, Mira Filzah Bahagia ‘Berkurung’ Di Rumah

Meniti lembaran bulan pertama 2021, terasa masa berlalu pergi begitu saja. Hidup yang kita jalani masih dikongkong SOP dan dibebani PKP hingga menjarakkan prioriti-prioriti serta sejumlah resolusi. Namun ada hikmah dan kasih sayang yang Tuhan bentangkan, Februari ini pasti kembali terisi kebahagiaan seperti yang dikecapi oleh selebriti, Mira Filzah.

Rentetan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang kembali disambung hingga 18 Februari nanti, pelbagai sektor terjejas termasuklah industri seni. Bagi penggiat drama, penggambaran juga tertangguh akibat PKP.

“Sebenarnya Mira ada satu penggambaran drama yang patut bermula pada Januari. Tapi kini jadual terpaksa dirombak semula, sambil kami tertunggu-tunggu keputusan dari PKP yang baru. Harapnya dapatlah keizinan untuk mulakan shooting semula,” kata Mira tentang drama barunya yang dijangka muncul selepas Hari Raya.

Adat pengantin baru, tempoh ‘berkurung’ di rumah inilah momen-momen terbaik untuk lebih mengenali karakter satu sama lain. Nona sempat mencungkil aktiviti Mira Filzah dan suami, Wan Emir Astar sepanjang PKP… Apa agaknya kemahiran baru Mira sejak berumah tangga?

Wan Emir Astar dan Mira Filzah selamat berumah tangga pada 3 September 2020
Wajah manis pengantin baru

Jawab Mira, “I think I improve a lot in terms of my baking skill. Sebenarnya kemahiran memasak dan membuat kek ni berbeza, contohnya kalau masak lauk-pauk, bagi Mira itu lebih senang sebab hujung-hujung nanti kita masih boleh adjust

rasanya, tambah garam atau gula ikut keperluan.

Tapi kalau baking, kalau dah siap kita rasa tak sedap, ia dah tak boleh diubah. Baking ni lebih pada ketepatan dari segi jumlah bahan dan sukatan yang digunakan, berapa gram atau berapa sudu begitu. Ada beberapa kali Mira baking semasa PKP ni, dan rasanya Mira makin faham, oh… kalau kek ni keras, lain kali kena buat macam ni atau macam tu.

Sekarang Mira suka mengemas. Dulu sebelum kahwin, jarang dapat mengemas sebab jadual kerja yang terlalu padat. Berbeza sekarang, Mira belajar untuk lebih organize. Iyalah, kita pun bukan duduk seorang di rumah. Ada dua orang. Banyak benda kena jaga, kena susun. Jadi Mira banyak improve dari segi mengatur barang-barang kami,” cerita Mira Filzah yang bakal menginjak usia 28 tahun.

(Busana: The Melium Group)

Umum sedia maklum bahawa Mira Filzah seorang yang amat berhati-hati di media sosial. Baginya, posting berkaitan suami dan rumah tangga bukanlah sesuatu yang boleh ‘suka-suka’ ditayangkan.

Pun begitu, keputusan pasangan yang baru lima bulan berumah tangga itu untuk berkongsi aktiviti suami isteri di YouTube rasmi #EmirAmirah mendapat sambutan hebat, malah turut mendapat pengiktirafan YouTube Silver Play Button.

Memang best tengok aktiviti suami isteri ini, paling kelakar bila Emir dan Mira buat Jinx Challenge…

Tapi lagi best bila Mira kena jawab ‘random questions’ daripada Majalah Nona, spontan sungguh jawapan yang diberikan!

“Sebenarnya waktu PKP ni, Mira suka memasak mungkin sebab seharian di rumah. Sebelum ni kalau terikat dengan penggambaran, selalunya Mira takkan masak sebab penat. Jadi sekaranglah masanya untuk memasak selalu supaya skil tu tak dilupakan.

Memasak ni kan macam latihan. Practice makes perfect. Kalau kita rajin, insyaAllah pasti Mira akan lebih mahir pada masa depan,” akui Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman.

Tambah alumni Jurusan Perniagaan Antarabangsa dari UiTM itu, kini dia jarang keluar rumah kerana risaukan keadaan semasa. Peningkatan kes COVID-19 yang mencecah angka 5,000 terasa sangat membimbangkan.

“Mira hanya keluar bila perlu. Jadi di rumah selain mengemas dan memasak, Mira banyak masuk kelas online. Kalau boleh Mira akan join online classes sebanyak mungkin supaya masa terisi dengan benda berfaedah.

Ini selari dengan azam Mira iaitu nak lebih banyak belajar. Mira rasa nak improve dalam pelbagai aspek pada tahun 2021. Baru-baru ni Mira masuk kelas perniagaan online dan kelas agama online. Mira nak gain more knowledge, learn new things dan manfaatkan pelbagai ilmu agar menjadi orang yang lebih baik daripada sekarang.”

Mira Filzah sebagai penghias cover Majalah Nona sempena Edisi Kasih Sayang, Februari 2021 (Busana: Kree)

Sambil mengusik, sempat penulis tanyakan soalan cepumas… Bila Mira nak dapat baby? Jawab Mira Filzah sambil tertawa kecil, “Soal zuriat atau timang baby ni Mira serahkan segalanya pada Allah SWT. Mira dan Emir tidaklah merancang, sebaliknya kami senang untuk just go with the flow,” ujar Mira yang percaya soal rezeki di tangan-Nya.

TERSENTUH HATI

Barangkali banyak pihak sudah merasa resah dengan pandemik COVID-19 ditambah pula satu persatu kisah menyayat hati terpampang di dada media. Mira Filzah juga banyak bermuhasabah dengan ujian yang menimpa negara.

“Terlalu banyak kisah viral yang saya baca di media sosial. Banyak kisah yang menyentuh hati khasnya yang berkaitan keluarga kekurangan duit, tak cukup makan dan hidup susah sewaktu PKP.

(Busana: The Melium Group)

Beberapa hari lepas Mira tengok video yang tersebar di Twitter melalui aplikasi TikTok, tentang seorang ibu yang terpaksa mencari makanan di tong sampah dan di sisinya ada dua orang anak kecil. Kesian sangat dan benda-benda macam ni sangat menyentuh hati Mira sebagai manusia.

Mira percaya tak semua orang bernasib baik, lebih-lebih lagi semasa dunia dilanda wabak COVID-19. Ramai yang hidup sengsara. Tambah lagi ada sebahagian negeri yang dilanda banjir dan ramai yang meninggal dunia pada waktu yang sama.

Sedih sangat, rasa dalam hati macam nak bantu semua orang tapi apakan daya, Mira cuma boleh membantu apa yang termampu. Selebihnya hanya doa, semoga Allah mengangkat doa kita dan meringankan beban mereka,” kata Mira perlahan.

Instagram Mira Filzah iaitu @mfmirafilzah kini mencapai 7.1 juta pengikut (Busana: The Melium Group)

Sebelum mengakhiri perbualan, Mira yang turut merupakan penerima Nona Influencer Award sempena Nona Superwoman Award 2020 lalu sempat mengungkapkan penghargaan terhadap jasa petugas barisan hadapan negara.

“Mira nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga untuk semua frontliners. Sebagai anggota masyarakat, kita mungkin tak tahu nak balas apa untuk menghargai jasa dan usaha mereka selama ni, bekerja siang malam untuk menjaga negara kita.

Terima kasih banyak-banyak, semoga Allah merahmati hidup para frontliners, angkat darjat mereka, panjangkan umur, beri kesihatan dan kekuatan hingga ke akhir hayat mereka!” akhiri Mira Filzah sambil menguntum senyuman.

Solekan: Bee Ramza
Busana: Kree & The Melium Group
Hijab: Galeri Ariani

Share
Published by
Norzalina