Baru saja pulang dari Misi Bantuan Kemanusiaan Syria Musim Sejuk Januari lepas, kali ini adik-beradik berjiwa penyayang Nur Hazwani Afiqah Helmi dan kakaknya Nur Heliza Helmi kembali ke bumi bergolak tersebut. Tidak lain tidak bukan, untuk membantu meringankan beban saudara Islam di sana yang berdepan kemelut politik dan penindasan berpanjangan.
Masih belum reda melihat kesengsaraan rakyat Syria yang bertarung nyawa menghadapi musim sejuk melampau sekitar awal tahun… Hazwani perlu cekal menghadapi apa jua keadaan sepanjang berada di sana dalam memastikan segala bantuan sampai kepada mangsa dengan selamat.
Kurang seminggu berada di bumi Syria, team MAPIM bersama Hazwani dan Heliza dikejutkan dengan satu ‘pemberian’ istimewa dari salah sebuah keluarga di Al-Rashidin… satu kawasan yang hanya terletak kira-kira 800 meter dari Aleppo yang telah ditawan rejim Basyar.
“Sebaik kami menjadi saksi, melihat kemusnahan yang teruk di kawasan Al-Rashidin. Tiba-tiba… ada seorang lelaki datang kepada team Mapim dan mengagihkan satu kereta mainan berwarna merah.
Hati kami tiba-tiba menjadi sayu apabila melihat kereta mainan ini. Suasana menjadi lebih senyap. Kemudian lelaki ini menyambung, “Kereta mainan ini pemilik kepada adik berusia 7 tahun bernama Abdullah. Keluarganya beri untuk jadi simpanan kalian, rakyat Malaysia.
Hanya ini sahaja yang mampu mereka berikan. Hanya kereta ini sahaja yang mampu temukan pada kalian. Kerana Abdullah sudah tiada. Abdullah sudah syahid.”
Allahuakbar! Kereta mainan ini menjadi bukti betapa kejamnya tentera Basyar membunuh anak kecil yang tidak berdosa. Anak kecil yang baru ingin mengenal dunia.”
Dedah Hazwani lagi, Al-Rashidin ibarat padang jarak padang tekukur kerana sepanjang perjalanan mereka ke sana… sunyi sepi. “Tidak ada orang, kerana boleh dikatakan setiap hari mereka (tentera Basyar) menghantar bom di kawasan ini sejak 8 tahun lepas.
Kalau ada orang pun duduk di sini, ada dua sebab iaitu pertama, mereka terlalu daif dan tak ada duit nak keluar ke kawasan yang lagi selamat. Kedua, mereka ingin berjuang mempertahankan negara mereka,” ujar Hazwani.
Sementara itu, video yang dimuat naik Heliza pula jelas menunjukkan Ketua Misi Bantuan Rescue Syria iaitu Dr Sany Araby Al-Kahery menahan sebak saat menerima kereta mainan merah berkenaan.
“Katanya ini hadiah untuk saya dan team ingati, bawa balik ke Malaysia. Rupa-rupanya anak kecil ini namanya Abdullah umur 7 tahun sedang bermain-main di luar rumah. Dia syahid kerana dibom.
https://www.instagram.com/nurhelizahelmi/p/BwSDy7engby/?utm_source=ig_share_sheet&igshid=4yihlhvf6mzz
Ini sahaja yang sempat dikutip di tempat mainannya. Allah, Abdullah telah syahid… yang tinggal hanyalah mainan untuk kita ingati betapa peritnya menjadi seorang rakyat Syria.
Mainan ini nampak biasa tetapi darah telah meliputi mainan ini. Kerana anak ini telah pun syahid.”
Bagi yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan, sumbangan boleh disalurkan menerusi Maybank Islamic SYRIA EMERGENCY APPEAL (Dana MAPIM), nombor akaun 5628 3463 6987 atau www.tabungsyria.com. Moga dengan bantuan ikhlas anda dapat memberi sinar keceriaan kepada mangsa dan bekalan saham akhirat untuk diri sendiri.
Kredit: Instagram Hazwani & Heliza Helmi
This website uses cookies.