Aduh, Hilang Selera Makan! Ketahui Masalah Pemakanan Pesakit Kanser & Cuba 3 RESIPI SIHAT Ini Untuk Mereka

Penghidap kanser, terutamanya mereka yang baru didiagnosis sering bertanya, “Apakah makanan yang patut dimakan? Makanan apa pula yang mesti dijauhi? Bagaimana cara memasak makanan tersebut?”

Apakah kaitan di antara diet dan kesihatan? Banyak kajian telah dijalankan untuk melihat kaitan ini dan pakar-pakar percaya bahawa makanan tertentu boleh meningkatkan risiko kanser terhadap seseorang. Contohnya makanan yang diubah suai secara genetik (GMO), daging proses, minuman bergas, tepung dan gula halus serta banyak lagi.

Namun bagi mereka yang telah menghidap kanser, lazimnya sering berdepan masalah pemakanan yang serius. Selera makan pesakit akan terjejas akibat kesan sampingan kemoterapi atau pembedahan. Mereka enggan makan walaupun sebenarnya ia amat penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan.

Dengan memahami masalah pemakanan yang mereka alami dapat membantu kita sebagai penjaga untuk menyediakan makanan yang sesuai. Semak juga 3 resipi sihat ini khusus buat pesakit kanser yang dijaga.

(a) Selera makan terjejas serta penurunan berat badan

Tak mengapa jika sikit asalkan kerap. Pesakit atau penjaga pesakit perlu memastikan agar makanan kerap diambil untuk bekalan sepanjang hari. Sediakan juga snek berkhasiat yang mudah dibawa jika anda mempunyai temu janji di klinik atau pusat rawatan.

(b) Loya tekak, mual atau muntah

Cuba ambil halia, air lemon, limau nipis atau makanan masam. Elakkan makanan yang kuat baunya untuk mengatasi simptom di atas. Anda juga boleh mengamalkan makanan berasaskan cecair seperti bubur atau jus untuk mengawal muntah.

(c) Sakit mulut, ulser dan masalah menelan

Pilih makanan yang lembut, mudah dikunyah dan ditelan. Makanan yang dimakan dengan sos atau berkuah juga sesuai pada masa ini. Hadkan makanan pedas, rangup atau berasid dalam diet anda bagi mencegah iritasi tekak dan mulut. Potong makanan pejal kepada saiz kecil.

(d) Kekeringan mulut atau air liur pekat

Cuba makanan yang mudah ditelan atau yang dimakan bersama kuah, sos atau dressing, puri yang dimasak, bubur dan sup. Elakkan makanan yang keras, pedas, masam dan masin. Segelintir pesakit suka menghisap ais dan buah-buahan beku pada masa ini untuk merangsang pengeluaran air liur.

(e) Perubahan rasa dan bau

Ambil makanan dan minuman yang masam serta tambah gula untuk memaniskan makanan masin, pahit atau masam. Makan dengan sudu plastik, bukan sudu besi bagi menghindari bau.

(f) Sembelit

Makan makanan berfiber tinggi seperti bijirin penuh, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mengurangkan sembelit. Tingkatkan juga pengambilan cecair melalui sup dan jus.

(g) Cirit-birit

Elakkan makanan berfiber tinggi, berminyak dan pedas. Pilih yang berlaktosa rendah atau bebas laktosa seperti soya atau nasi jika anda menghadapi masalah intoleran laktosa akibat rawatan kanser.

(h) Sel darah putih rendah dan imun sistem yang lemah

Pesakit yang melalui transplan sumsum tulang dan mereka yang mengalami masalah sistem imun akibat rawatan dinasihatkan agar berhati-hati soal keselamatan makanan. Pilih makanan yang dimasak, dipasteurkan dan bersih untuk menghindari pencemaran atau jangkitan. Elakkan makanan mentah.

Sewaktu ini, pengambilan makanan yang bernutrisi tinggi amat penting untuk melawan kanser dan membolehkan pesakit bertenaga untuk melalui kesan sampingan akibat rawatan yang dijalani.

Jus Strawberi

Bahan-bahan:

  • 200gm tembikai (kulit dan biji dibuang, dipotong kiub)
  • 80gm strawberi (dibasuh dan dibelah dua)
  • Kiub ais
  • 1/4 sudu kecil garam

Cara membuat:

Basuh semua buah-buahan dengan bersih dan masukkan ke dalam pengisar jus. Kemudian masukkan ke dalam gelas tinggi dan bubuh secubit garam. Letakkan ais dan hidang.

Salad Kentang

Bahan-bahan:

  • 1 biji kentang (direbus dengan kulit, dikupas dan dilenyekkan)
  • 1/4 cawan daun saderi (dicencang)
  • 1/4 cawan bawang besar (dicencang)
  • 1 biji telur rebus
  • 1/2 biji tomato (dipotong dadu)
  • 1/4 cawan plain yogurt
  • 1/4 cawan mayones
  • 1/4 sudu kecil lada sulah
  • 1/4 sudu kecil garam

Cara membuat:

Stimkan daun saderi, bawang dan tomato selama 3 minit. Kemudian dalam mangkuk besar, campurkan kentang dan sayuran stim tadi kecuali telur. Akhir sekali masukkan telur rebus yang dihiris dan sejukkan dalam peti ais. Sedia untuk dihidang.

Chicken Wrap

Bahan-bahan:

  • 200gm dada ayam
  • 3 keping tortilla wraps
  • 180gm capsicum (dibasuh dan dihiris)
  • 80gm daun salad Romaine
  • 75gm tomato ceri (dihiris)
  • 2 sudu kecil minyak zaitun
  • 3 keping keju cheddar
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1/2 sudu kecil lada hitam
  • Mayones/basil pesto

Cara membuat:

Perap dada ayam dengan garam dan lada hitam selama 10 minit. Sambil itu panaskan oven 200 darjah Celsius. Tuangkan minyak zaitun ke dalam kuali dan goreng ayam selama 5 minit atau hingga masak. Kemudian tunggu sejuk dan hiris nipis. Sapukan mayones atau basil pesto pada sebelah permukaan tortilla wraps, susun hirisan ayam, capsicum, daun salad, tomato ceri dan keju cheddar. Gulung dengan cermat dan bakar selama 10 minit atau hingga keju cair. Hidangkan panas-panas. Norzalina Mohd Alias

Share
Published by
Norzalina