Tiba-tiba perasan semua mata memandang. Oh malunya! Wajah berkilat dan berminyak umpama dilumur minyak menggoreng ikan. Rasa rendah diri dan tidak yakin terus menerpa. Apakah yang perlu dilakukan?

Sebenarnya semua orang mempunyai kulit yang berminyak cuma yang membezakan sedikit atau banyak. Ini kerana kulit menghasilkan minyak yang berfungsi sebagai pelindung kulit daripada bahaya luar seperti pencemaran dan debu. Bahaya luar ini boleh menerobos masuk ke dalam pori-pori kulit yang menjadi pemangkin pertumbuhan jerawat.

Selain itu, minyak pada kulit berfungsi sebagai cairan yang mampu menjaga keremajaan kulit serta menjadikan kulit lebih kenyal. Namun, jika minyak di bawah kulit berlebihan mewujudkan masalah baru dan mencacatkan penampilan.

Aduh, Stresnya Kulit Berminyak! Apa Punca-Puncanya, Genetik Atau Kosmetik?

PUNCA UTAMA

(a) Makanan berlemak

Makanan yang mengandungi lemak jika diambil secara berlebihan menyebabkan berlaku penimbunan lemak di bawah kulit. Lemak di bawah kulit ini merangsang lebihan minyak sehingga menyebabkan kulit berminyak.

(b) Hormon tidak seimbang

Wanita mengalami perubahan hormon dalam hidupnya seperti ketika menstruasi, hamil dan menopaus. Perubahan hormon dalam badan merangsang penghasilan minyak yang berlebihan di bawah kulit.

(c) Salah pilih kosmetik

Alat kosmetik mengandungi bahan kimia dan sebagai wanita perlu berhati-hati memilih kosmetik. Jika kosmetik tersebut tidak sesuai dengan kulit boleh menyebabkan kulit berminyak, iritasi dan kulit wajah sensitif.

(d) Genetik

Cuba perhatikan wajah kedua ibu bapa dan adik- beradik yang lain. Jika kebanyakan daripada mereka memiliki wajah yang berminyak ini bermakna faktor keturunan. Faktor ini tidak boleh dicegah tetapi boleh diatasi.

(e) Ubat-ubatan

Jika anda berada dalam pemantauan doktor dan perlu makan ubat-ubatan, kulit berminyak mungkin datang daripada pengambilan ubat-ubatan ini.

(f) Stres

Sebagai tindak balas terhadap stres, tubuh menghasilkan minyak berlebihan dan membuat wajah nampak berkilau dari jauh. Hamizatul Maizan Mohamed