AGONG Berkenan Berangkat Ke Majlis Menghadap Perpisahan Duta Besar Arab Saudi Ke Malaysia

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke Majlis Menghadap Perpisahan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussein Saeed Qattan, dan Duta Besar Qatar ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Fahad Mohammed Kafoud, di Istana Negara pada 19 Oktober 2022.


Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Seri Ahmad Fadil bin Shamsuddin, majlis menghadap perpisahan itu diadakan susulan kedua-dua duta besar berkenaan akan menamatkan penempatan mereka di Malaysia dalam masa terdekat, pada tahun ini.

Dalam kedua-dua sesi menghadap yang berlangsung secara berasingan bermula pada 11 pagi itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kedua-dua duta besar berkenaan atas peranan mereka dalam memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan serta kerjasama dua hala antara negara masing-masing dengan Malaysia ke tahap lebih komprehensif.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kedua-dua negara itu adalah sahabat yang penting dan akrab dengan Malaysia malah turut menzahirkan rasa suka cita dengan jalinan hubungan diplomatik serta dua hala yang kukuh di pelbagai peringkat khususnya, dalam aspek ekonomi.

Tuan Yang Terutama Mahmoud Hussein Saeed Qattan memulakan perkhidmatannya pada April 2017 dan akan berakhir pada 21 Oktober 2022 ini manakala Tuan Yang Terutama Fahad Mohammed Kafoud menamatkan penempatannya pada 4 November ini sejak mula berkhidmat di Malaysia pada November 2018.

Sumber: Istana Negara

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad