Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani prosedur dan pemeriksaan kesihatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari, bermula Isnin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Isnin berkata, baginda akan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara setelah menjalani pemeriksaan kesihatan itu yang dijangka selesai hujung minggu ini.
“Adalah dimaklumkan juga bahawa kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah dijadualkan menjalani prosedur itu pada pertengahan September lepas tetapi ditangguhkan.
“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda menjalani prosedur tersebut serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan lancar dan Baginda dikurniakan keafiatan yang berpanjangan,” kata Ahmad Fadil.
Sumber: Bernama
This website uses cookies.