
Ratu dan legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David telah mengasaskan Nicol David Organisation (NDO).
NDO adalah platform bagi membina masa depan yang positif melalui latihan skuasy dan tutorial Bahasa Inggeris secara bersubsidi untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, berumur antara 8 dan 12 tahun.


Semalam merupakan detik bersejarah buat Datuk Nicol David apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan merasmikan Nicol David Organisation (NDO).
Baginda berdua telah merasmikan Nicol David Organisation (NDO) yang berlokasi di Bukit Jalil Golf and Country Resort.


Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 11 pagi telah di disambut Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Nicol David dan bekas pemain skuasy Colombia, Mariana de Reyes, selaku pengasas bersama Nicol David Organisation (NDO).
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan sekumpulan kanak-kanak yang menyertai program utama NDO, ‘Little Legends’.


Seri Paduka Baginda berdua kemudian berkenan melawat pejabat NDO serta fasiliti lain iaitu bilik kelas serta pusat latihan skuasy.
Program skuasy menumpukan aspek pembangunan kanak-kanak melalui kelas dan modul yang disediakan di samping berpeluang menyertai pertandingan dan kejohanan peringkat kebangsaan.
Program tutorial Bahasa Inggeris pula dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebagai rakan program dan sejajar dengan kurikulum Kementerian Pendidikan untuk sekolah rendah.
Sumber: Instagram @istana_negara
“Penat Itu Terasa, Tapi Allah Bagi Kekuatan Untuk Bertugas” Luahan Jururawat Ini Buat Rakyat Terharu!

Berbeza dengan sambutan sebelum ini, Hari Jururawat Sedunia 2020 pastinya mencatat sejarah baharu dalam profesion kejururawatan termasuklah di Malaysia.
Ini kerana seluruh dunia sedang berperang melawan pandemik koronavirus (Covid-19) dan golongan jururawat merupakan antara wira barisan hadapan yang menjadi ‘benteng’ untuk membendung penularan wabak penyakit pembunuh ini.
Mereka sebenarnya bukan sahaja berkorban masa, tenaga serta perasaan bahkan ramai yang terpaksa berjauhan meninggalkan anak isteri/suami serta insan-insan tersayang yang lainnya demi menunaikan tugas untuk negara.
Tuntutan tugas

“Kali terakhir saya pulang ke Perlis berjumpa isteri dan anak-anak ialah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
Selalunya setiap minggu saya akan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Perlis tetapi kini sudah dua bulan saya tak dapat balik bertemu keluarga kerana tuntutan tugas selain arahan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan rakyat merentas negeri kecuali atas urusan tertentu.
Hanya panggilan telefon dan video menjadi pengubat rindu… Walaupun sedih, saya perlu tabah dan kuat demi tugas dan tanggungjawab,” demikian luahan hati Mohd Erwan Juslin, Ketua Jururawat Kesihatan yang bertugas di Unit Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya.
Mohd Erwan adalah antara ribuan petugas kesihatan barisan hadapan yang bertugas menjalankan ujian saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah Lembah Pantai termasuk dalam bulan Ramadan ini.
Beliau yang sudah berkahwin berasal dari Beaufort Sabah. Isterinya, Zurina Hamdan yang berasal dari Perlis juga adalah seorang jururawat, kini bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Pasangan ini yang sudah mendirikan rumah tangga selama 13 tahun mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu dua orang putera dan seorang puteri berusia dua hingga 10 tahun.
Paling mencabar
Berhadapan krisis Covid-19 Mohd Erwan berkata ia adalah pengalaman paling mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang 15 tahun beliau bertugas sebagai jururawat.
“Kerinduan terhadap keluarga di samping tugas yang perlu diselesaikan. Berpanas dan berhujan, ujian saringan tetap perlu diteruskan termasuk pada bulan Ramadan memandangkan masih ada kes kluster baharu yang direkodkan.
Memakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa berpuasa amatlah mencabar, peluh mencurah-curah dan basah lencun! Jika bukan pada bulan puasa memakai PPE selama satu jam pun sudah kepanasan, dahaga dan bermandi peluh, apatah lagi pada bulan puasa.
Namun begitu, mungkin keberkatan bulan Ramadan, penat tu terasa tetapi Allah beri kekuatan untuk terus bertugas. Alhamdulillah setakat hari ini saringan dapat dijalankan dengan lancar. Saya juga sebenarnya turut menjalani ujian saringan kerana contact dengan pesakit yang positif namun syukur kesemua ujian yang dijalani menunjukkan saya negatif,” kata Mohd Erwan berkongsi pengalamannya dengan Bernama menerusi perbualan telefon.

Saling menyokong
Kekangan tidak boleh bertemu anak-anak serta isteri, Mohd Erwan berkata, hanya doa dan kata-kata semangat sering diucapkan bagi memberi kekuatan antara satu sama lain.
“Selain kasihan terhadap isteri kerana perlu menguruskan anak-anak sendirian, saya juga sedikit bimbang kerana Zurina secara tidak langsung turut terlibat dengan Covid-19 kerana ada pesakit Covid-19 yang diarahkan untuk melakukan rawatan dialisis.
“Saya sentiasa mengingatkannya (isteri) agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan tugas bagi mengelak dari terkena jangkitan virus. Seluruh masyarakat juga perlu sama-sama menjaga diri dan mengamalkan normal baharu seperti lebih menitikberatkan soal kebersihan diri, sentiasa mencuci tangan dan amalan penjarakkan sosial dalam membendung penularan virus ini,” katanya.
Ditanya berhubung pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri untuk berjumpa keluarga, beliau berkata, ia ibarat satu rahmat buat dirinya sekeluarga.
“Di bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, pastinya pengumuman ini sesuatu yang amat kami nanti-nantikan,” katanya.
Kelmarin (10 Mei), dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen, Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan kelonggaran berkenaan kerana difahamkan ada pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan atas urusan kerja.
Semoga masyarakat terus menghormati serta menghargai jasa, bakti serta pengorbanan insan yang bernama jururawat ini. Bernama
Selamat Hari Jururawat Sedunia 2020!
Teknik PENCAHAYAAN Yang Betul Tambahkan Lagi Seri Dapur & Ruang Makan

Ruang dapur serta ruang makan umumnya menjadi sebuah tempat kita berkumpul dengan ahli keluarga. Selain itu, adakalanya banyak aktiviti yang dilakukan di kedua-dua ruang tersebut. Dalam dapur moden masa kini, kebanyakan wanita menghabiskan banyak masa di dapur dengan melakukan pelbagai aktiviti antaranya memasak, membuat kek atau mengajar anak-anak ketika sibuk menyediakan makanan untuk seisi keluarga.
Tidak dinafikan dapur memerlukan kaedah pencahayaan yang baik supaya suasana menjadi lebih selesa dan menyenangkan. Berikut adalah beberapa tips agar pencahayaan dapur kediaman anda menjadi lebih menarik dan bertepatan.
CHANDELIER
Lampu jenis moden ini semestinya masih sesuai digunakan di beberapa ruang dapur. Semakin banyak lampu chandelier yang ingin digunakan, sebaiknya anda memilih rekaan chandelier yang ringkas supaya persekitaran ruang dapur tidak kelihatan terlalu berlebihan.
LAMPU GANTUNG
Lampu gantung umumnya sesuai digunakan untuk ruang dapur yang berkonsepkan minimalis. Ini adalah kerana lampu gantung mempunyai karakter yang sangat ringkas seterusnya mampu menyerlahkan gaya yang elegan pada ruang dapur. Pastikan, sekiranya anda menggunakan lampu gantung pilihlah rekaan yang serupa agar selaras dengan keseluruhan dapur anda.
TRACK LIGHT
Lampu sorot yang menjalar bukan hanya berfungsi pada bahagian taman mahupun garaj sahaja. Kini, lampu tersebut boleh digunakan serta dikombinasikan dengan reka bentuk dapur moden anda. Bahkan, dengan menggunakan lampu tersebut ruang dapur anda akan terasa lebih luas serta lebar.
PLAFOND GANTUNG
Lampu jenis ini boleh menjadi pilihan terbaik untuk dekorasi pencahayaan ruang dapur anda. Kesan daripada penggunaan lampu jenis ini akan menyerlahkan suasana yang elegan serta ringkas. Plafond gantung tentunya boleh digabungkan dengan berbagai reka bentuk dapur yang anda miliki. Supaya kelihatan lebih menarik, anda bolehlah menambahkan lampu LED di setiap sisi plafond dengan warna-warni tertentu sehingga ruang dapur tampak lebih menarik dan moden.
TIP MEMILIH PERALATAN LAMPU
1. Sekiranya anda sedang mengubahsuai rumah serta mempunyai bajet yang terhad untuk peralatan lampu, mulakan pemilihan anda dengan peralatan lampu di ruang makan ataupun ruang tamu. Lampu yang paling menarik dan menyerikan rumah bermula di ruang utama ini. Dari situ, lebih senang untuk anda mula mencari lampu-lampu yang lain dan membahagikan bajet pada peralatan lampu untuk bilik-bilik yang lain.
2. Sertakan bersama dalam bajet pengubahsuaian anda beberapa jenis lampu meja dan lampu berdiri. Sekurang-kurangnya dua hingga empat jenis lampu sudah memadai. Lampu-lampu ini amat berguna apabila anda ingin melakukan quick makeover di ruang rumah anda. Mudah juga untuk anda mengalihkannya mengikut citarasa dekorasi anda, lebih-lebih lagi lampu meja dan lampu berdiri kerana ia boleh menjadikan ruang bilik lebih mesra suasana.
3. Jika inginkan daya tarikan pada dinding, anda boleh menggunakan sebuah lampu dinding yang menarik dan yang boleh memberikan sinaran cahaya lampu yang kreatif pada dinding. Pilihan anda tidak terhad pada kertas dinding, lukisan, panel papan kayu dan seterusnya. Anda boleh menggunakan lampu dinding untuk mencipta kesan pencahayaan dan membuat dinding lebih menarik.
4. Di kedai hardware terdapat banyak corak bal LED sentuh atau tap-on yang boleh dipasang siap dan menggunakan bateri. Jika kabinet besar ataupun almari baju anda malap dan gelap, lekatkan sahaja bal LED tap-on ini di dalam kabinet supaya anda senang melihat barang di dalamnya. Ia juga mudah dipasang dengan menggunakan pelekat sahaja tanpa memasang aliran elektrik kepada kabinet dan almari. Anda boleh menjimatkan kos memasang lampu di almari kerana menggunakannya sebentar sahaja. Kosnya amat minimal kerana menggunakan bateri biasa.
Perhatikan cara anda menggunakan lampu dalam kehidupan harian. Elakkan pembaziran kos pada peralatan lampu.
“Akhirnya Sempurna..” UYAINA ARSHAD Dan RAJA SYAHIRAN Akhirnya Dedahkan Wajah Putera Sulung

Uyaina Arshad selamat melahirkan bayi sulung pada tanggal 8 September 2022 yang lalu. Uyaina atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 29 tahun, berkongsi momen indah kelahiran bayinya menerusi Instagram yang dirinya selamat bersalin melalui kaedah pembedahan (Caesarean). Sewaktu itu, Uyaina dan suami masih lagi belum mendedahkan wajah putera sulungnya itu.
Dan sebentar tadi, Uyaina akhirnya mendedahkan pada umum wajah anak lelakinya menerusi gambar eksklusif yang dimuatnaiknya ke dalam akaun Instagramnya. Kelihatan Uyaina dan suami anggun dan segak mengenakan persalinan hitam dan emas yang nyata menyerlahkan kemanisan momen yang ditonjolkan.
Di ruangan kepsyen, Uyaina menulis ayat-ayat manis memperkenalkan anak kesayangannya itu kepada peminat mereka. “Bismillahirohmanirrahim.Akhirnya sempurna. Raja Urhan bin Raja Syahiran Anak sulung kami. Kebanggaan kami. Semoga dilimpahi rahmatNya selalu wahai anakku. Mama Baba sayang kamu sangat-sangat!”
Sewaktu di awal kelahiran putera sulungnya, Uyaina dan suami, Raja Syahiran memaklumkan Raja Urhan dipilih untuk putera sulungnya. Jelas Uyaina, ‘Urhan’ bermaksud seoranng pemimpin Yang Hebat. Selain dekat dengan nama ibunya yang tercinta ‘Noor Alhan’, nama ‘Urhan’ juga diambil dari nama Sultan Empayar Uthmaniyyah yang kedua iaitu Sultan Orhan Gazi.
Untuk makluman, Uyaina Arshad selamat bernikah dengan penyanyi Raja Syahiran pada jam 9.03 pagi di Colony Star Boulevard pada 21 Disember 2021.
Menjengah ruangan komen, ramai rakan artis serta peminat kedua-duanya cukup teruja dengan hantaran gambar yang dikongsikan Uyaina dan suami. Semoga putera sulung Uyaina dan Raja Syahiran ini menjadi insan yang soleh, dan berguna buat agama dan bangsa.
Kredit Foto: Instagram (@uyainaarshad)
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***