Ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, Kelantan pada 13 September 2022 lalu hari ini diserahkan polis kepada ahli keluarganya.
Kepulangan usahawan berusia 36 tahun ini disambut dengan tangisan kegembiraan oleh kedua ibu bapa serta ahli keluarga yang lain termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.
Menurut Datuk Muhamad Zaki Harun, dengan penyerahan mangsa kepada keluarga maka kes dianggap selesai dan kejayaan itu menunjukkan kesepaduan masyarakat dalam menangani permasalahan seperti ini.
“Ini adalah kejayaan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, Bukit Aman serta rakan setugas dari negara jiran.
“Kita tahu mangsa ditahan penculik melebihi 20 hari dan mungkin pengalaman dialami mangsa meninggalkan kesan emosi dan kejutan kepadanya. Sebaiknya, kita berilah ruang kepadanya dan keluarga buat masa sekarang,” katanya kepada pemberita.
Katanya, orang ramai perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini dan berharap perkara sama tidak menimpa ke atas orang lain.
Dalam kejadian pada 13 September lalu, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada pukul 5.10 petang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan sebelum ini berkata mangsa diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat serta perisikan antara PDRM dengan Poiis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.
Sumber: Bernama
This website uses cookies.