Luar biasa penangan masakan Cef Ammar! Saban tahun apabila tibanya Ramadan, pasti nama Cef Ammar meniti di bibir penggemar makanan. Semuanya kerana kelazatan juadah Nasi Arab dan Lamb Shank air tangan cef selebriti ini.
Seperti kebiasaan, gerai jualan Cef Ammar menjadi viral dan bualan hangat di media sosial. Hinggakan pelanggan sanggup beratur panjang di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13 dan USJ 4 semata-mata mahu menjamu menu istimewa tersebut. Tahun ini juga Cef Ammar menjual jus mangga keluarannya sendiri.
Khabarnya, gerai belum buka pun dah ramai yang berbaris. Melimpah ruah betul rezeki Cef Ammar bulan Ramadan ni. Alhamdulilah.
Di sebalik kemeriahan Cef Ammar berniaga di Bazar Ramadan dan menerima pujian pelanggan yang berpuas hati dengan masakannya, pemilik nama Ammar Al Ali ini turut tidak terlepas menerima kritikan.
Terbaharu, dia melahirkan rasa terkilan apabila ada segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan mengatakan harga makanan Cef Ammar tidak munasabah sampai dilabel harga Tel Aviv.
Perkara tersebut tentunya menyinggung perasaan cef kelahiran Palestin ini kerana sebagai penjual, dia merasakan harga yang dijual adalah berpatutan dan setanding dengan portion serta kualiti bahan-bahan yang digunakan.
Enggan omong kosong, Cef Ammar menerusi media sosial miliknya semalam mendedahkan kepada umum mengenai ramuan premium dan berkualiti yang digunakan untuk menyediakan hidangan tersebut.
Berkongsi live di media sosial semalam di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam, rakaman video siaran langsung berkenaan meraih hampir sejuta tontonan dan rata-rata pelanggan berpuas hati dengan masakan Cef Ammar.
Menerusi video live tersebut juga kelihatan Cef Ammar tidak menang tangan membungkus jualan sambil menyaksikan barisan pelanggan yang setia menanti untuk membeli juadahnya.
Malah, personaliti televisyen yang pernah popular melalui program ‘Masak Dari Hati, Masak With Iman’ ini ceria melayan para pelanggan dan mesra bergambar bersama mereka.
Nona sebelum ini pernah menemu bual Cef Ammar dan sememangnya dia memiliki peribadi yang menyenangkan. Masih ingat lagi amalan tip memasak yang dikongsikan Cef Ammar kepada Nona. Antaranya, berselawat dan menyediakan masakan dalam keadaan bersih. Tidak hairanlah, air tangan cef ini menjadi pilihan ramai.
Cukup bersahaja memasak dalam portion yang besar, Cef Ammar disifatkan seorang suami dan bapa yang penyayang.
Sepanjang lebih dua dekad di negara ini, Cef Ammar mempunyai studio masakan di Subang Jaya. Difahamkan, Cef Ammar menyediakan ratusan pek jualan makanan setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan ketika Ramadan.
Kredit: Facebook Masak With Hati Masak With Iman
This website uses cookies.