Menarik perkongsian Datin Belina Abdul Hamid yang mesra disapa sebagai Datin Belina ini. Maka tak hairanlah anak-anak sangat akrab dengannya walaupun beliau menyifatkan dirinya seorang ibu yang tegas.
Berusia 34 tahun, Datin Belina merupakan ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Shahputra Nasri berusia 10 tahun, dan sepasang anak kembar perempuan iaitu Shahirah Safiyya dan Shahirah Silfiyya, masing-masing kini berusia enam tahun.
“Saya mengamalkan menyuap anak-anak ketika makan seperti mana yang diajar oleh ibu saya sendiri. Amalan ini dapat mengeratkan ikatan kasih sayang dan ikatan adik beradik.
Alhamdulillah berkat amalan itu hubungan saya dan adik beradik akrab sampai ke hari ini. Itulah yang cuba saya terapkan terhadap anak-anak agar keakraban itu kekal sampailah mereka dewasa nanti.
Saya percaya air tangan ibu sangat berkat dalam kehidupan seorang anak. Walaupun ada pembantu rumah tetapi memasak tetap menjadi tugas utama saya. Ini juga antara pesanan ibu saya sejak kecil.
Selain memasak, jangan kedekut dengan jiran tetangga. Selalunya saya akan masak lebih untuk sedekah kepada jiran-jiran. Sama-sama kongsi rezeki.”
Datin Belina turut mengamalkan solat berjemaah setiap hari bersama suami dan anak-anak.
DIDIK ANAK HIDUP BERSEDERHANA
Saya dan suami menerapkan cara hidup Islam dalam mendidik anak-anak. Kami banyak membaca dan merujuk buku-buku berkaitan cara-cara didikan Islam termasuk amalan Rasulullah SAW.
Manakala dari segi pendidikan pula kami sangat tegas. Kalau waktu bermain mereka bebas bermain tapi kalau waktu belajar mereka perlu fokus betul-betul. Saya seorang ibu yang sangat tegas maka anak-anak mudah mendengar kata.
Satu lagi didikan kami ialah mengajar anak-anak agar tidak bermewah-mewahan. Kami ajar anak-anak bagaimana susahnya untuk mendapatkan sesuatu. Kena usaha sendiri dan hidup bersederhana.
INSPIRASI WANITA LAIN
Untuk masa depan anak-anak, saya dan suami mendoakan agar mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diminati.
Sebagai ibu bapa kami tak boleh memaksa asalkan mereka menjadi insan berguna di dunia dan akhirat.”
Walaupun bergelar suri rumahtangga sepenuh masa, Datin Belina menjadikan wanita lain sebagai inspirasi terutama wanita yang bekerja.
Apa yang membuatkan Datin Belina kagum ialah kebolehan mereka dalam menguruskan hal kerjaya, keluarga dan diri sendiri.