Ajaibnya Buah Delima, Berfungsi Sebagai Anti Oksidan. Malah Elak Penyakit Lemah Tenaga Batin.

Delima boleh menjamin kepuasan bercinta? Aneh, tapi menerusi kajian The University of California (UCLA), 47% daripada lelaki yang diuji mengakui ia memang meningkatkan nafsu di kamar tidur. Efek ini tercetus kerana kandungan delima yang tinggi antioksidan, lalu mencegah molekul radikal bebas daripada menghalang kelancaran darah di alat sulit.

‘Rumman’ atau delima, namanya tersohor di Mediterranean. Lahir dan tumbuh segar di tanah lembap, pohon delima mencipta suatu suasana teduh dengan gantungan buah-buahan merah menggiurkan. Masyarakat Cina menjadikannya sebagai simbol kesuburan, rezeki yang melimpah-ruah, keturunan yang ramai dan masa depan yang cerah. Namun dalam Islam, buah istimewa ini dikurniakan Allah SWT dari syurga sebagai rezeki yang boleh dinikmati, seperti yang tertulis dalam firman-Nya di dalam surah Al-An’am ayat 99.

Sebaik dikupas, kulit keras delima yang kemerah-merahan akan mengeluarkan inti pati manis berbentuk biji-biji kecil yang bersalut pulpa jernih. Begitu ranum laksana mata air Salsabil di syurga, khasiat perubatan delima sudah ditemui sejak 8000 tahun dahulu oleh masyarakat Parsi Purba (Iran). Merujuk buku perubatan Parsi, khasiat delima termasuklah mengurangkan alahan ibu hamil, mengimbangi hormon wanita menopaus, melancarkan aliran darah, mengelakkan penyakit lemah tenaga batin dan mencantikkan kulit.

DUNIA KULINARI

Rasa buah delima berbeza mengikut spesiesnya. Buah delima muda agak kelat dan masam, manakala buah yang masak mempunyai rasa manis dan sedikit masam yang tajam di hujung lidah. Jus delima sering kali menjadi minuman popular bagi masyarakat Parsi dan India, sebelum ia dikomersialkan secara meluas ke seluruh dunia. Sebelum tomato (buah Dunia Baru) tiba di Timur Tengah, sirap grenadine iaitu jus delima yang dipekatkan serta dimaniskan melalui adunan koktel menjadi bahan utama dalam pelbagai resipi tradisional seperti fesenjӑn dan ash-e-anar (sup delima). Biji delima liar pula digunakan sebagai rempah yang dipanggil anardana dalam hidangan India dan Pakistan. Di Azerbaijan, sos delima disaji bersama ikan atau kebab tikka, sementara masyarakat Turki menikmatinya bersama salad atau sebagai perapan daging.

NUTRISI

Sebagai permulaan, delima merupakan sumber vitamin C terbaik untuk meningkatkan pertahanan tubuh. Hanya sebiji buah dapat membekalkan 16% keperluan vitamin C harian yang disyorkan (malangnya ia tidak boleh didapati daripada jus delima kerana proses pempasteuran membunuh vitamin). Berikut empat khasiatnya:

1.SARAT DENGAN SERAT

Buah delima diperkaya dengan serat tinggi. Setengah cawan inti pati buah ini membekalkan lima gram serat yang baik untuk penghadaman. Selain dimakan begitu sahaja, anda boleh taburkan di atas salad, bijirin, lempeng, wafel dan yogurt beku.

  1. KESIHATAN JANTUNG

Menikmati inti pati delima dalam diet juga baik untuk jantung. Kajian mendapati kewujudan tannins di dalam jus delima untuk mengurangkan risiko penyakit jantung, merendahkan paras kolesterol LDL dan mengurangkan tahap tekanan oksida di dalam arteri. Untuk rasa smoothie enak, kisar jus delima dengan beri, yogurt asli dan serbuk protein.

  1. PENENTANG RADIKAL BEBAS

Seperti yang kita maklum, delima kaya dengan antioksidan. Pelbagai kajian telah menunjukkan keupayaannya dalam membantu meneutralkan radikal bebas, penyebab penuaan pramatang. Penyelidikan oleh UCLA juga mendapati ia mampu mencegah kemunculan semula kanser prostat.

  1. PADAT DENGAN POTASIUM

Lapan auns jus delima membekalkan 10% kuota potasium harian, sejenis nutrien penting untuk menghasilkan tenaga dan memastikan tekanan darah yang normal. Untuk membancuh jus, kisar inti pati delima sehingga halus dan tapis. Cara ini anda juga dapat menikmati vitamin C kerana ia tidak dipanaskan.

TIP

Pilih buah delima segar dengan kulit yang masih baik. Ia perlu disimpan di dalam suhu bilik, jauh daripada pancaran cahaya langsung. Buah delima boleh bertahan selama tiga bulan jika disejukkan, manakala inti pati dan jusnya pula selama tiga hari apabila disimpan di dalam peti sejuk. Inti pati yang disimpan di dalam bekas kedap udara dan dibekukan pula boleh bertahan selama enam bulan.

 

 

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu