Tiada apa yang diharap oleh seorang ibu melainkan melihat anak-anaknya berjaya di dunia dan akhirat. Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang juga ibu kepada selebriti dan usahawan Neelofa ini turut mengharapkan perkara yang sama.
Memiliki 10 orang anak di usia 54 tahun, wanita kelahiran Kelantan ini telah menyuntik inspirasi terutama kepada ibu muda lain untuk mendidik anak-anak. Peluang berjumpa dengan Datin Kartini di majlis pelancaran butik Naelofar baru-baru ini sempat bertanya bagaimana wanita anggun ini mendidik anak-anaknya.
“Cara saya mendidik mereka adalah dengan kata pujian. Sebagai contoh kalau ada masalah di sekolah saya akan cakap kepada anak-anak ‘wow, ini lebih bagus daripada dulu tapi kalau buat lebih sikit mesti lebih bagus’. Jadi apabila anak-anak tunjuk kat saya apa yang mereka buat saya macam tunjuk kepada mereka saya gembira dan sokong mereka. Contoh lagi, kalau mereka membuat teks ucapan saya akan beri mereka standing oviation.
Kemudian saya doakan anak-anak dan bagi anak-anak dengar apa doa saya. Sebagai contoh, doa saya, “Ya Allah Ya Tuhanku, Kau jadikanlah anak-anak (saya akan sebut nama anak terutama yang solat bersama-sama dengan saya). Saya akan berdoa kepada Allah perkara yang hebat-hebat tentang anak-anak supaya mereka yakin akan ‘dapat’ apa yang saya doakan kepada Allah. Memang dalam Islam doa ibu tiada hijab,” tutur Datin Kartini sambil memandang anak-anaknya.
View this post on Instagram
Wanita tinggi lampai ini turut menzahirkan rasa syukur dan gembiranya tentang perubahan Neelofa berniqab, Doa Datin Kartini, “MashaAllah mashaAllah Ya Allah aku tiada ungkapan untuk ku ucapkan syukur dengan karuniaMu mengamanatkan ku bidadari yang terindah untuk ku, yang banyak mengajar ku, yang menjadi inspirasi ku.
Ya Allah syukur atas hidayah untuknya yang Kau kurniakan dan ku mohon kurniakan hidayah yang terbaik untuk ku, seluruh keluarga ku dan seluruh umat manusia, amin,” coretnya di media sosial milik peribadinya.
Tertarik mendengar cerita Datin Kartini tentang 10 orang cahaya matanya. “Benar saya memiliki 10 orang anak. Dulu bila saya sudah memiliki 5 orang anak kemudian saya menjadi ibu tunggal. Kemudian saya mendirikan rumahtangga sekali lagi bersama suami saya sekarang ni.
Waktu itu suami mahu keluarga yang kecil tapi saya memang sukakan budak-budak dan tidak mahu merancang keluarga. Memang cita-cita saya nak ramai anak. Kalau ikut hati saya, saya nak 20 orang anak. Sampai sekarang ini, suami selalu cakap, nasib baiklah saya nak ramai anak kerana dahulu suami tak nampak apa yang kami ada hari ini,” bicara Pengasas Young & Glow ini.
“Harapan kepada anak-anak supaya mereka sentiasa bersatu hati bekerjasama sampai bila-bila walaupun sudah mempunyai keluarga sendiri. Impian saya anak-anak duduk dalam satu bumbung dan tidak ada perbezaan rezeki antara mereka,” doa Datin Kartini kepada anak-anaknya.